25 September 2008

Tabligh Tangkap Hati Orang

Betullah kata TGNA hati manusia takkan dapat dilentur dengan kekerasan. ISA mungkin boleh memenjarakan orang dalam jeriji besi tapi hati orang itu takkan dapat dipenjara. Jiwanya akan sentiasa berolah dan bebas memikir apa saja.
Hati perlu dibentuk dengan kelembutan. Orang-orang tua memang faham hal ini. Sebab itu kita ada pepatah yang berbunyi "air yang menitis batu lama-lam akan lekuk". Hati manusia boleh diibaratkan seperti batu. Ia amat keras dan sangat susah diubah. Umpama air yang menitis, pendekatan yang lembut dan berterusan akan dapat mengubah hati ke arah mana saja yang hendak ditujukan. Sudah tentu faktor lain seperti suasana sekeliling, pendidikan dan sosio-ekonomi memainkan peranan, tetapi pendekatan dengan tuturkata lembut dan nasihat berterusan lebih berupaya mengubah seseorang 180 darjah.
Jemaah Tabligh amat faham tentang hal ini. Kita lihat ribuan contoh dalam Jemaah Tabligh yang mengiyakan pandangan ini. Ramai kutu atau gengster tegar berubah menjadi pendakwah yang cukup komited. Saya sendiri pernah berjumpa dengan bekas banduan dengan hukuman rotan, penagih dadah dan pemuda liar telah menjadi pendakwah Tabligh yang 'joz' (bersemangat tinggi). Tabligh berjaya mengubah hati mereka kerana kerja yang berterusan untuk menangkap hati. Seorang purana sati (orang lama) pernah memberi tahu saya, "Tangkap Hati Dan Badan Akan Mengikut"
Falsafah tangkap hati inilah yang perlu dalam perjuangan PAS atau gerakan Islam yang lain. Para sahabat yang merantau menyebarkan dakwah keseluruh alam tidak tahu berbahasa orang tempatan tetapi dengan falsafah "tangkap hati" ini Islam tersebar ke seluruh alam. Saad Bin Abi Waqas r.a telah pergi ke China tanpa mengetahui bahasa China tetapi kini ada beratus juta China Muslim. Jauh lebih ramai dari umat Melayu Malaysia. Kalau hati dah terpikat, cakap apa saja pasti melekat.
Tugas kita sekarang adalah tangkap hati bukan tangkap orang (sumbat dalam ISA).

No comments: