Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

14 August 2011

Ihya Ramadhan YAM Miri

Sempena bulan Ramadhan yg yang mulia ini, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak (Unit Miri) tidak melepaskan peluang untuk meningkatkan usaha keasyarakatnnya di kalangan masyarakat tempatan Miri. Program Ihya Ramadhan telah dijadualkan di beberapa buah surau dan masjid sekitar Miri, termsuk di Kompleks Anak Yatim Hamidah.

Jadual di bawah adalah program terdekat YAM Sarawak (Unit Miri)


Bil
Program
Tarikh
1
Majlis Ifta r& tazkirah di Masjid Nur Hijrah, Pulau Melayu
08/08/11
2
Majlis Iftar & tazkirah di Surau IKBN, Permyjaya
10/08/11
3
Majlis Iftar & tazkirah di Surau Kg Katong, Lopeng
11/08/11
4
Majlis Iftar tazkirah di Rumah Anak-anak yatim Kompleks Kebajikan Hamidah
17/08/11
5
Majlis Iftar & tazkirah di Surau Lambir
20/08/11
6
Majlis Iftar & tazkirah di Surau Tudan Fasa 4
25/08/11
7
Ziarah Raya Eidulfitri ke Ulu Kota, Pakan, Sarikei
16-18/08/11








Yayasan Amal Malaysia Unit Miri dengan menjemput penduduk tempatan di mana majlis akan diadakan untuk sama-sama mengimarahkan majlis iftar dan tazkirah ramadhan ini.




Pengerusi YAM Unit Miri



01 August 2011

Puasa Mengikut Cara Rasulullah s.a.w

Posted on Sunday, July 31 @ 08:40:59 PDT Oleh: zharifjenn

Sahabat yang dihormati Allah, Ramadhan yang kita nanti-nantikan telah tiba untuk sekali lagi kita berada di dalamnya. Ini tanda Allah masih sayang kepada hamba-hambanya dengan memberi sekali lagi peluang untuk kita bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan ini. Berpuasa adalah aktiviti terpenting dalam bulan ini. Persoalannya bagaimana tips-tips yang diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk puasa kita dinilai tinggi oleh Allah? Mari kita telusuri satu persatu.
Rasulullah s.a.w Bersahur
Rasulullah menganjurkan kita untuk bersahur sebelum aktiviti menahan diri dari makan dan minum di siang hari dimulakan. Bagaimana Rasulullah s.a.w bersahur? Bersahur bukanlah dilakukan ditengah malam, tetapi ia dilakukan di awal pagi, iaitu waktu yang sangat hampir dengan waktu solat subuh. Bersahur juga memberi kesegaran untuk kita menghabiskan hari siang kita dengan berpuasa. Rasulullah s.a.w bersabda: Dari Anas Bin Malik r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan. (HR: al-Bukhari)
Rasulullah s.a.w juga menekankan kepada kita untuk bangun bersahur kerana ia adalah salah satu dari cirri-ciri bersahur orang Islam. Sabdanya:  Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahlu al-Kitab adalah makan sahur  (HR: Muslim)
Rasulullah Menyegerakan Berbuka
Tidak melewat-lewatkan berbuka puasa adalah salah satu tips berpuasa yang di ajar oleh Rasulullah. Ini kerana, perbuatan itu sangat mendatangkan kebaikan untuk mereka yang menahan diri dari makan dan minum.  Rasulullah s.a.w di dalam hadithnya menerangkan kepada kita seperti mana yang dilaporkan oleh al-Bukhari & Muslim: Manusia itu akan terus berada dalam kebaikan selagi mana dia menyegerakan berbuka puasa. Perbuatan melambat-lambatkan berpuasa puasa adalah salah satu perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Masyarakat kita sering melihat perkara ini sebagai satu isu remeh. Apa yang terjadi dalam rata-rata masyarakat kita di Malaysia, ketika masuknya waktu solat maghrib (waktu untuk berbuka puasa), mereka masih lagi berada di bazaar-bazar ramadhan untuk membeli juadah mereka. Penjual juga masih lagi melayan pelanggan tanpa terus berbuka walaupun azan maghrib telah berkumandang. Ibu-ibu di rumah pula masih berada di dapur menyiapkan juadah berbuka puasa ketika azan maghrib bergema. Ini kerana melewat-lewatkan berbuka puasa adalah amalan Yahudi dan Kristian. Persiapan seharusnya dilakukan dengan segera agar seruan Rasulullah s.a.w untuk kebaikan umatnya dapat diamalkan sebaiknya. Rasulullah telah bersabda di dalam satu hadithnya yang dilaporkan oleh Abu Daud & Ibn Majah yang sanadnya berstatus hasan seperti yang dinilai oleh al-Albani r.h: Agama ini akan sentiasa zahir (jelas) selagi mana umatnya menyegerakan berbuka puasa, ini kerana orang-orang Yahudi dan Kristian, mereka melewat-lewatkannya. Dikeluarkan dari Musannaf Abdul Razzak dan Fathul Bari (kitab syarah sahih al-Bukhari) ‘Amr Bin Maimun r.h berkata:  Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling cepat (ketika) berbuka puasa dan yang paling lewat (ketika) bersahur.Dari Abi ‘Atiyyah katanya: Aku dan Masruq telah bertemu Ummu al-Mu’minin r.anha dan kami berkata kepadanya: “Dua orang lelaki dari sahabat Muhammad s.a.w, salah seorang darinya mempercepatkan berbuka dan mempercepatkan solat, manakala seorang lagi melewatkan berbuka dan melewatkan bersolat...” Ummu al-Mu’minin berkata: “Siapakah diantara mereka berdua yang mempercepatkan berbuka dan menyegerakan bersolat?” Kami berkata: “Abullah iaitu Ibn Mas’ud.” Kata (Ummu al-Mu’minin): “Perbuatan (menyegerakan berbuka) Itulah yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w”.
Berbuka Dengan Beberapa Biji Kurma
Antara kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w adalah memulakan memakan beberapa biji kurma basah ketika berbuka puasa. Ini untuk memudahkan dirinya bersolat dalam keadaan tidak terlalu kenyang. Pernah diriwayatkan dari Anas Bin Malik, seperti yang dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi katanya: Rasulullah s.a.w apabila baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dgn kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air.Ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Ramai diantara kita yang sering meninggalkan sunnah ini. Mereka menyegerakan berbuka puasa serta makan dan minum sehingga kekenyangan lalu melewatkan bersolat maghrib. Rasulullah makan dengan beberapa biji kurma, kemudian bersolat. Apabila Rasulullah s.a.w terasa lapar, Rasulullah s.a.w makan selepas baginda solat.
Tidur Qailulah
Nabi s.a.w mengajarkan kepada kita agar sentiasa cergas ketika berpuasa di siang hari dan bersemangat melakukan amal ibadat di malamnya. Antara kaedah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah dengan tidur sebentar sebelum solat zohor, perbuatan itu dinamakan dengan Qailulah. Ini untuk memudahkan kita bangun di waktu malam mengerjakan amal ibadat. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadith yang dilaporkan oleh Ibn Majah: Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda; Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari dan melalui Qailulah (tidur sekejap sebelum Zohor) untuk mendirikan ibadah malam. Apa yang terjadi hari ini pada sesetengah masyarakat kita, mereka tidak menerapkan sunnah ini bahkan perbuatan mereka menyalahi sunnah ini. Mereka terutama anak-anak muda menghabiskan waktu siangnya dengan tidur sepanjang hari dan hanya bangun untuk berbuka puasa sahaja. Berpuasa bukanlah bulan tidur kerana keletihan. Puasa adalah bulan untuk melakukan seberapa banyak amalan sunnah kerana padanya pahala dilipatgandakan.
Menjaga Lidah
Terlalu rugi jika kita berpuasa, tetapi tidak mendapat sedikitpun pahala dari amalan tersebut. Akibatnya, kita hanya mendapat lapar dan dahaga. Antara faktor berlaku kerugian rohani tersebut adalah kerana tidak menjaga lidah. Mengumpat, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, mengadu domba, banyak bercakap, berbohong, menyanyi lagu-lagu yang lagha juga dilakukan ketika berpuasa. Umumnya perbuatan ini adalah perbuatan haram untuk dilakukan walaupun bukan pada bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sepotong hadith yang dilaporkan oleh Ahmad dan al-Tabarani:  Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah mengantuk (tiada pahala) Rasulullah s.a.w bersabda lagi dalam sebuah hadith yang dilaporkan oleh Imam al-Bukhari:Apabila seseorang daripada kamu berada dalam hari puasa, maka janganlah ia memaki dan mengherdik orang lain. Andainya ia dicela oleh seseorang atau dimusuhi, hendaklah ia berkata "Saya berpuasa".  Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi sepertimana yang dilaporkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibn Majah: Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda : Sesiapa yang tidak menghentikan percakapan dusta dan terus melakukannya, Maka Allah s.w.t tidak mempunyai hajat pada orang tersebut untuk dia meninggalkan makan minumnya.
Memberi Makan Orang Yang Berpuasa
Antara amalan dan tips yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk meningkat neraca kita adalah dengan cara menginfaqkan sedikit harta dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka-mereka yang berpuasa. Terlalu besar ganjarannya seperti yang diberitahu Rasulullah di dalam hadith-hadith baginda yang mulia. Antaranya ialah seperti yang dilaporkan oleh Tirmidzi dan Ibn Majah: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya. Bagi mereka yang dijemput untuk berbuka puasa bersama, wajib baginya untuk memenuhi undangan tersebut. Ini kerana, berpuatan membelakangi undangan tersebut dicela oleh Rasulullah dan ianya seoalah-olah telah menentang Rasulullah s.a.w. Adalah sunnah mereka yang dijemput untuk berbuka puasa mendoakan orang yang menjemput dengan doa-doa yang baik setelah selesai berbuka puasa. Antara doa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah seperti berikut: Ya Allah, berilah makan orang yang memberiku makan, dan berilah minum orang yang memberiku minum (riwayat Muslim).Ya Allah, Ampunkanlah mereka, rahmatilah mereka dan berkatilah apa yang telah kau rezekikan kepada mereka(riwayat Muslim).
Doa Ketika Berbuka Puasa
Nabi s.a.w memberitahu kepada kita bahawa berdoa ketika berbuka puasa adalah mustajab berdasarkan hadith-hadith sahih yang warid dari baginda s.a.w. Kita disyorkan untuk berdoa apa sahaja yang kita ingini ketika menunggu waktu tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda seperti yang dilaporkan Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibn Hibban: Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Pemimpin yang adil, Orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa mereka yang dizalimi... Rasulullah s.a.w juga mengajarkan cara berdoa ketika berbuka puasa. Berikut adalah doa yang baik untuk dibacakan oleh kita sebagai memenuhi tuntutan ittiba’ al-Sunnah. Imam al-Darulqutni menilai sanad hadith ini sebagai hasan. Doa tersebut adalah: Telah hilang kehausan, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala-pahala insyaAllah.Marilah sama-sama kita berpuasa sepertimana puasanya Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang mulia. Semoga puasa kita pada tahun ini mampu mengubah dimensi hidup kita yang bercerminkan sunnah Rasulullah dalam beribadat. Perbanyakkanlah membaca al-Quran dan berzikir, nasihat menasihati serta berdakwah kepada Islam. Jadikan ramadhan kali ini penuh makna untuk diri kita dan masyarakat. Wallahu A’lam. - Sumber : zharifalimin blog
Ramadhan: meletakkan Islam dan perintah Allah mengatasi segala kepentingan
Posted on Sunday, July 31 @ 09:06:39 PDT Buletin Online
Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh umat Islam. Bulan kita dijemput menjadi tetamu Allah SWT, menyahut seruan Allah SWT dengan firmanNya yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa. Sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu di kalangan mengikut Nabi-nabi di zaman dahulu, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah Ta’ala”.
Di bulan yang mulia ini, kita dihidangkan oleh Allah SWT dengan rezeki makanan rohani dan jasmani, yang menyuburkan kehidupan kita di alam dunia dan menuju ke alam akhirat. Kita dihidangkan bukan sahaja dengan amalan puasa yang diwajibkan. Pahalanya, berlipat kali ganda tidak terhingga hanya diketahui oleh Allah SWT. Diampunkan dosa dalam masa setahun sekiranya kita menunaikan puasa dengan sempurna mengikut syarat rukun dan adap-adapnya.  Dihidangkan dengan ibadah-ibadah wajib yang telah sedia ada seperti sembahyang lima waktu dilipat-gandakan pahalanya. Disamping ibadat-ibadat yang sunat yang biasa dilakukan dan ibadat sunat yang dikhususkan di bulan Ramadan seperti sembahynag terawih, bertadarus al-Quran. Semua ibadah-ibadah ini ialah untuk membersihkan roh dan menguatkan rohani kita.  Kita dihidangkan juga dengan makanan-makanan jasmani seperti bersahur, berbuka puasa. Di mana makanan sahur dan buka puasa adalah makanan yang dikaitkan dengan puasa. Bukan sebarangan seperti makanan-makanan lain. Ianya, mengandungi keberkatan yang tersendiri.  Inilah ibadat yang merupakan hadiah yang sangat berharga daripada Allah SWT yang wajib kita terimanya. Di mana pulangannya, kembali kepada kita. Allah Ta’ala tidak berhajat kepada apa-apa faedah. Itu ialah sumbangan percuma yang mahal harganya daripada Allah SWT.  Kita hendaklah mengambil kesempatan ini dengan sepenuh-penuhnya. Kemuncak daripada ibadat yang kita tunaikan sepanjang sebulan. Sekiranya dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Maka, kita mencapai matlamat dan tujuan yang dinyatakan oleh Allah SWT.  Sifat “taqwa”, kepatuhan kepada Allah SWT sehingga menjadi sifat yang tertanam di dalam hati yang membentuk peribadi kita. Mengerjakan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang merupakan penentuan, martabat, harga diri manusia. Kerana Allah SWT meletakkan harga diri manusia bukan dengan keturunan, warna kulit, harta benda tetapi dengan ukuran ketaqwaan kepada Allah SWT.  Firman Allah yang bermaksud; “Wahai manusia, sesungguh kami telah mencipta kamu kepada seorang lelaki dan seorang perempuan. Berbangsa-bangsa, bersuku kaum supaya kamu berkenalan antara satu sama lain. Dan yang paling baik di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling banyak bertaqwanya kepada Allah SWT”. Ibadat puasa meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Apabila kita sanggup meninggalkan perkara-perkara yang dilarang walau pun perkara yang dihalalkan di masa yang lain. Sudah tentu melatih diri kita untuk meninggalkan perkara yang dilarang sepanjang hidup kita.
Sekiranya kita bersedia meninggalkan makan minum, meninggalkan hubungan antara lelaki dan perempuan atau suami dan isteri. Yang diizinkan oleh Allah SWT dibulan Ramadan, yang menjadi keperluan naluri manusia rukun hidup. Kita sanggup melaksanakan perintah Allah SWT dengan penuh kesabaran, dengan penuh keimanan. Percaya kepada janji Allah SWT. Maka, melatih diri kita menjadi seorang yang sungguh bertaqwa kepada Allah SWT. Ini merupakan suatu natijah yang sangat penting daripada keimanan seseorang itu kepada Allah SWT.   Di sinilah juga, Allah memilih dibulan yang mulia berlakunya peristiwa-peristiwa yang besar yang menguji umat Islam dalam menjalani kehidupan dunia sebelum bertemu dengan Allah SWT. Allah Ta’ala memilih dibulan ini diturunkan al-Quran Karim yang menjadi kitab petunjuk kepada umat Islam.
 Yang membeza antara perkara yang betul dan perkara yang salah.   “Bulan Ramadan yang diturunkan baginya al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia dan yang membezakan antara perkara yang betul dan perkara yang salah”. Oleh kerana berlakunya pertembungan di antara perkara yang benar dengan perkara yang salah. Maka, Allah Ta’ala memilih berlakunya perang Badar di bulan Ramadan. Peperangan yang memaksakan Nabi SAW dan para sahabatnya yang kecil jumlahnya, yang kurang kelengkapannya berdepan dengan musuh-musuh Islam. yang menegakkan kebatilan, kezaliman dan kejahatan.  Walau pun mereka tahu benarnya Islam. Baiknya diri  Nabi SAW, tidak ada kesalahan dan dosa yang dilakukan. Melainkan kerana melaksanakan perkara yang baik yang diperintah oleh Allah SWT. Perkara yang jahat, itu pun disanggah dan ditentang habis-habisan. Memaksakan berlakunya pertembungan secara bersenjata di bulan Ramadan. Yang menentang itu di kalangan bangsa Arab, keluarga Nabi SAW. Peristiwa yang sangat menguji perasaan hati nurani umat Islam yang dipimpin oleh Nabi SAW. Allah Ta’ala pilih peristiwa yang menyayat hati berlaku di bulan Ramadan. Mereka yang sanggup meletakkan Islam perintah Allah mengatasi segala kepentingan yang lain. Sanggup melakukan peristiwa Badar ini.  Maka Allah memberi keistimewaan kepada mereka yang terlibat dalam perang badar dengan firmanNya mengikut riwayat hadis Qudsi yang bermaksud, “Hai, ahli Badar buat apa yang kamu mahu lakukan. Aku ampunkan dosa-dosa kamu”. Keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada ahli Badar kerana mereka menjadi orang beriman sebenarnya. Yang sanggup sabar menghadapi ujian. Adalah menjadi suatu hikmat yang besar Allah pilih peristiwa ini berlaku di bulan Ramadan.  Marilah kita mengambil kesempatan ini bukan sahaja membentuk peribadi dengan mengerjakan ibadat yang diwajibkan dan disunatkan. Dalam masa yang sama kita membuka minda kita dengan mengkaji, mempelajari dan memahami kisah-kisah yang berlaku di bulan yang mulia ini. Supaya kita meninggalkan bulan yang mulia ini dengan keadaan menjadi orang Islam dan orang yang beriman yang sebenarnya dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.  Sekian, selamat berpuasa.  Dato’ Seri Abdul Hadi Awang  Presiden PAS

31 July 2011

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak

Sheikh Sambal mengucapkan kepada semua sahabat dan pengunjung, selamat berpuasa dan beramal ibadat sepanjang bulan Ramadhan yang penuh berkat ini.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa (Al Baqarah : 183)


Mari kita perbanyakkan membaca Al Quran pada Ramadhan ini. Juga zikirrullah dan solat malam. Bulan Ramadhan juga menjanjikan byk godaan makanan yang berbagai jenis muncul di Bazar Ramadhan yang tumbuh bagai cendawan, olehitu, berwaspadalah. Jagalah puasa kita betul-betul jgn sampai kita cuma dapat lapar dan dahaga sahaja.


Selamat Berpuasa kepada semua. Ramadhan Mubarak!!

10 August 2010

RAMADHAN MUBARAK!!

“Barangsiapa Yang Berpuasa Ramadhan Kerana Keimanan Dan Mengarapkan Rahmat Allah, Maka Diampunkan Dosa-dosanya Yang Terdahulu” – Hadith Riwayat Bukhari

Sheikh Sambal ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Berpuasa kepada seluruh umat Islam. Semoga amalan dan ibadah kita di bulan yang penuh rahmat ini diterima dan diberkati olehNya…..Amiin Ya Rabb!.


Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

"Sesungguhnya di dalam Syurga terdapat satu pintu yang dinamakan pintu 'al-Rayyan' yang hanya dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa. Ditanyakan (oleh pintu tersebut): 'Di manakah orang-orang yang berpuasa?' Maka mereka pun masuk dari pintu tersebut. Setelah semua orang yang berpuasa memasukinya, pintu itu pun ditutup dan tak akan ada lagi yang masuk melaluinya."
 (HR. Muslim, dari Sahl Ibn Sa'd).

Antara persiapan yang perlu dilakukan menjelang Ramadan ialah :

IMAN:

1. Bertaubat dengan taubat yang bersungguh-sungguh.

2. Berazam meninggalkan segala maksiat.

3. Sentiasa berdoa “Allahumma Ballighna Ramadhan”.

4. Perbanyakkan puasa di bulan Syaaban.

5. Membaca Al-Qur’an (meletakkan matlamat satu juz sehari misalnya).

6. Mujahadah untuk bangun malam (beberapa kali seminggu).

7. Berzikir setiap masa.

8. Membaca Al-Ma’thurat pagi dan petang.

ILMU:

1. Mempelajari hukum-hukum dan perkara-perkara yang bersangkutan dengan ibadah puasa, agar ibadah puasa itu dapat dijalankan dengan betul dan diterima oleh Allah SWT.

2. Membaca buku-buku penyucian jiwa.

3. Mendengar ceramah-ceramah tentang Ramadhan.

4. Mengulangkaji surah-surah yang telah dihafal, sebagai persediaan solat samada sebagai imam atau makmum di bulan Ramadhan.

DAKWAH:

1. Bersedia untuk memberi tazkirah/ ceramah tentang kelebihan bulan Ramadhan.

2. Meluangkan masa menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid samada sebagai penceramah atau pendengar.

3. Mengingatkan orang lain tentang kepentingan membuat persediaan untuk Ramadhan.

4. Menyediakan risalah/ majalah kecil untuk orang ramai tentang persediaan menyambut Ramadhan.



KEAZAMAN:

1. Membuka amalan baru yang jauh lebih baik.

2. Menjadikan hari-hari dalam bulan ini, lebih baik dari hari-hari biasa.

3. Sentiasa memakmurkan rumah Allah, pada setiap solat fardhu dan iktikaf.

4. Membersihkan puasa dari perkara yang merosakkannya.

5. Sentiasa berlapang dada.

6. Menghadirkan niat untuk amal soleh di bulan puasa.



JIHAD:

1. Merealisasikan matlamat “bersungguh-sungguh melawan nafsu”.

2. Menahan diri dari berlebihan dalam perkara harus (pakaian, tidur).

3. Menjaga lidah dari berkata keji, mengumpat, dan mencaci.

4. Menahan syahwat dari perkara yang haram.

5. Membuat semakan amalan di bulan Ramadhan tentang segala yang dibincangkan di atas.

“Allahumma Ballighna Ramadhan” merupakan doa dan harapan, menunjukkan betapa hamba-hamba yang soleh mengidam dan tamakkan limpahan Allah (Rahmat, Keampunan, Pelepasan dari Neraka) dalam bulan ini. Para ulamak dan solihin terdahulu bersiap menunggu kedatangan Ramadhan bagi tujuan mengharapkan keampunan Allah pada sepanjang Ramadhan. Oleh itu, kita hendaklah menghargai bulan Ramadhan yang bakal tiba beberapa hari lagi ini dan tidak mensia-siakannya dengan membiarkannya berlalu tanpa dimanfaatkan.

Semoga Ramadhan tahun ini lebih bermakna dari Ramadhan yang sebelumnya...

 
Oleh itu, dengan persediaan ini kita sematkan azam masing-masing untuk mencantikkan dan sempurnakan amalan fardu yang wajib dan membanyakkan amalan sunat pada Ramadan.
Ramadhan Mubarak




Nota: Ihsan dr PKPIP

24 August 2009

Ziarah & Da'awah YAM Di Kuala Segan, Bintulu

Pada 23hb Ogos bersamaan 2 Ramadhan Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak (YAM)Sarawak dan Bintulu Iqra' Cebtre (BIC) telah membuat satu program ziarah & da'awah di Kg Kuala Segan, Bintulu. Program ini adalah sebahagian dari program Karnival AMAL Merdeka dan Ihya' Ramadhan 2009 YAM Cawangan Sarawak.
Tujuan program ini adalah untuk menziarah saudara-saudaraIslam kita yang kurang berkemampuan sambil memberi sedikit sumbangan dari YAM dan BIC.
Kg Kuala Segan, adalah sebuah kampung tradisional yang terletak lebih kurang tak sampai 20 minit dari bandar Bintulu. Orang kampung ini kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan petani dan tak kurang juga yang bekerja di kawasan perindustrian yang berada tidak jauh dari kampung itu.
Berikut adalah laporan bergambar yang sempat Sheikh Sambal ambil semasa menyertai program YAM di Bintulu baru-baru ini.

Ustaz Abd Halim selaku ketua kontinjen sedang memberikan taklimat kepada para sukarewan YAM/BIC di perkarangan Masjid Asyakirin Bintulu

Muslimin dan Muslimat YAM/BIC sedang kusyuk mendengar talimat ketua kontinjen.


Signboard tunjuk arah jalan masuk ke Kg Kuala Segan...mmm biasa benda ni duk tepi tapi hok ni tengoh... itulah uniknya kampung ini...

Surau Darul Yakin, Kg Kuala Segan...terletak tidak jauh dari jalan utama..tapi agak terkeluar sedikit dari kawasan kampung sebenar.. mujahadah jugak bagi yang mahu memeriahkan surau ini.

Para sukarelawan baru saja sampai-azan asar pun berkumandang.


Ustaz Abd Halim memberikan sedikit taklimat lagi selepas solat asar.

Tazkirah ziarah dari Ustaz Salehudin....bersedia untuk kemana saja bagi memperjuangakan nasib saudara kita...

Penyampaian cenderahati oleh Ustaz Sardi sebagai Pengerusi YAM Unit Bintulu kepada Imam Kg Kuala Segan yang juga mewakili ketua kampung dan pengerusi JKKK

Dua orang pemuda tempatan sedang berbincang untuk membawa rombongan YAM/BIC yang dipecah kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan akan menziarahi 5 keluarga miskin/fakir di sini.



Sheikh Sambal menyertai kumpulan A dan inilah rumah pertama yang kami ziarahi. En Saddam (bukan nama sebenar) dan isteri hanya bekerja kampung dan mempunyai 4 orang anak. Yang sulung berumur 14 tahun. Olehkerana dihimpit kemiskinan, kesemua anak mereka tidak pernah menjejaki alam persekolahan (kecuali tadika yang ada dikampung itu). Untuk nota: tidak ada sekolah di kampung ini. Sekolah yang paling dekat adalah di bandar Bintulu. Murid-murid terpaksa keluar seawal 6 pagi untuk menganbil bas ke sekolah. Sudah sampai masanya kerajaan mendirikan sekurang-kurangnya sekolah rendah di kampung ini. Paling tidak anank2 seperti anak2 En Saddam ini berpeluang unutk bersekolah rendah. Sekolah yang jauh memerlukan duit yang banyak untuk menampung belanja tambang bas.
Kami singgah di rumah Nenek Norkiah yang berasal dari Kuching. Setelah kematian suami tinggal terus di kampung ini. Beliau tidak dapat berjalan lagi kerana sakit lutut. Cucu saudara lah yang tolong menjaga beliau.

Rombongan sedang mendengar rintihan nenek. Anggota muslimat seterusnya menyampaikan sumbangan dari YAM/BIC.
`
Kami juga singgah menziarahi seorang anak yatim. Adik ini (yang berbaju biru) kini dibela oleh kakaknya (satu ayah) yang mempunyai 6 orang anak yang lain.

Kes jejak kasih. Rupa-rupanya adik ini adalah bekas murid Cikgu Led di SK Orang Kaya, Bintulu. Kini tingakatan 3 bersekolah di SMK Bintulu. Cikgu Led yang pakai baju putih tu...merangkap jurubahasa Vai'e (Dialek Melanau Bintulu) YAM Cwg Sarawak Unit Bintulu. "Melau yak nyuqat ziarah selau utk merapatkan Silaturahim...eh! pengak aqau nyuqat diyak!"

Satu lagi rumah yang kami lawati. Malangnya tuan rumah yang sepatutnya kami ziarahi baru sahaja meninggal pagi tadi. Oleh itu rombongan YAM/BIC menyampaikan takziah dan sumbangan kepada anak beliau (yang berbaju biru, kanan sekali)
Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada Allah lah kita kembali....

Rombongan YAM/BIC juga menziarahi seorang balu/ibu tunggal. Kelihatan Cik Hafshah salah seorang mujahidah YAM/BIC yang aktif sedang menyampaikan sumbangan. Entah macamana nama balu malang ini tidak tersenarai dalam senarai bantuan JKM. Semuga JKM ambil perhatian.

Baik-baik melangkah tu....papan reput dan pangkin yang bergoyang....

Bergambar beramai-ramai dengan poster YAM Cawangan Sarawak.....


Satu lagi pos istimewa buat kenang-kenangan dalam kembara YAM Cwg Sarawak untuk sedikit menyumbang kepada masyarakat tempatan....


Sheikh Sambal
3 Ramadhan 1430







23 August 2009

Ramadhan - Peluang Untuk Bertaqwa Untuk Mendapat Petunjuk

Pagi tadi tazkirah Ustaz Ali dari Masjid Asyakirin Bintulu sangat memberi kesan kepada para jemaah. Gaya Ustaz Ali yang berasal dari Indonesia yang berkahwin dengan orang tempatan dan kini menetap di Bintulu, agak berlainan dari yang biasa kita lihat di masjid-masjid dan surau-surau. Biasanya kuliah subuh terutamanya, sangat mundane dan hanya satu hala. Penceramah akan mula berceramah mengupas isu dengan menyelitkan satu dua lawak untuk menarik perhatian pendengar.
Ustaz Ali pula menjadikan kuliah masjid seperti kuliah dalam kelas. Beliau menjadikan suasana muram dan mengantok pada subuh hari, hidup dan bermaya dengan mengajukan soalan spontan yang meminta pendengar menjawab. Maka kuliah subuh itu menjadi satu sessi dua hala antara Ustaz Ali dan pendengar atau mungkin boleh saya katakan peserta kuliah.
Tajuk yang dibawa oleh Ustaz Ali adalah tajuk biasa bulan Ramadhan iaitu berkisar dari ayat al Quran ;

"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semuga kamu menjadi orang yang bertaqwa.” - Surah Al Baqarah, ayat 183

Beliau menyoal apakah hikmah berpuasa kepada para hadhirin seorang demi seorang. Berbagai jawaban telah diberikan. Pada setiap jawaban itu diulas oleh Ustaz Ali dengan mengaitkannya dengan ayat-ayat Al Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Dengan bersahaja beliau menjadikan dewan solat itu aktif dengan timbal balas pendengar.
Ada hadhirin yang malu-malu memberi jawaban dan ada juga yang memberi sedikit ulasan dibelakang. Begitupun ada juga yang cuba mengelak dan tidak sedikit juga yang menundukkan muka takut disoal.
Akhirnya Ustaz Ali menggulung dengan menyatakan semua hikmah-hikamh puasa itu tidak akan dapat dihayati jika tiada TAQWA. Maka proses mendapatkan taqwa itu telah diberikan jalan oleh Allah swt dengan melalui ibadat puasa. Sesungguhnya puasa itu latihan untuk menjadi muttaqeen (orang-orang yang bertaqwa).
Dalam bulan Ramadhan ini diturunkan Al Quran yang menjadi petunjuk (al huda) kepada orang-orang yang bertaqwa. Ini dinyatakan dalam Surah Al Baqarah Ayat 1-5,

(1) Alif laam miim
(2) Kitab (Al-Qur'an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa
(3) (yaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebagian rezki yang Kami anugerahkan kepada mereka,
(4) Dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al-Qur'an) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat.
(5) Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Rabb-nya,dan merekalah orang-orang yang beruntung.


Jika seseorang itu tidak bertaqwa maka al Quran itu tidak ada makna apa-apa baginya. Ia sekadar buku yang dibaca dan tiada pentunjuk yang didapati. Padahal menurut Ustaz Ali segala kejayaan yang mahu dikecapi oleh manusia ada ditunjuk dalam al Quran.
Jadi mengapa umat Islam ramai yang tidak berjaya? Kerana sifat taqwa itu belum ada dalam jiwanya. Bagaimana untuk mendapatkan taqwa? Salah satu jalan ialah dengan berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan cara yang betul seperti diberi contoh oleh Nabi Besar Muhammad s.a.w.


Jadi kepada semua, marilah kita sama-sama berusaha untuk mendapatkan sifat TAQWA dalam hidup kita supaya Al Quran yang diturunkan kepada kita melalui Nabi Muhammad s.a.w menjadi al huda (petunjuk) kepada untuk kita berjaya di dunia dan akhirat.

Begitulah mahfum kuliah subuh Ustaz Ali Masjid Asyakirin Bintulu.



30 October 2008

Hari Raya Orang Kita (UPDATE 4nov )

Orang Melayu sangat menghairankan. Sifat suka berseronok sangat berakar umbi dalam jiwa raga mereka. Pantang ada majlis mesti ada makan-makan dan nyanyi-nyanyian. Tidak kira samada majlis orang agama atau sekular, perkara yang seronok-seronok ini pasti ada. Cuma upacara pengkebumian saja yang tak ada nyanyian, makan-makannya tetap sama.
Kemuncak semua perayaan dalam kalendar orang Melayu adalah sambutan Hari Raya Aidil Fitri atau Hari Raya Puasa. Semakin moden orang Melayu semakin canggih sambutan ini. Aku masih ingat zaman aku kanak-kanak dulu, mercun paling hebat ialah mercun tepek sebesar jari. Ada 'moonraker' yang bagai polong terbang melolong sebelum meletup di kaki langit. Agak canggih sikit adalah bunga api 'dush-dush' yang memuntahkan bunga api yang berwarna-warni. Kini bunga api berbagai jenis dengan mercun yang berbagai bentuk, bunyi dan rupa. Walaupun diharamkan kerajaan, bunga api dan mercun amat mudah didapati samada di pasaran gelap atau terang.
Hiburan hari raya sangat melampau. Semua stesen TV berlumba-lumba untuk menayang berbagai program Hari Raya. Lagu Raya lama dan ,dimainkan semahu-mahunya. Hiburan yang melampau-lampau ini telah sampai ke tahap memuakkan dan ada juga memualkan. Namun orang televisyen nampaknya seakan-akan syok sendiri dalam mempersembahkan program-program hiburan mereka. Bermula dari malam Hari Raya sampailah ke Hari Raya yg ke-10. Television dan radio kita tidak jemu-jemu memaparkan rancangan bersukaria menyanyi-nyayan. Rakyat Malaysia disogokkan dengan hiburan demi hiburan, nyanyian demi nyanyian sehingga menimbulkan kebosanan. Seakan-akan lansung tiada kesan puasa lapar dahaga slama sebulan!.

Ramadhan seperti tiada manfaat pada budaya berhibur orang Melayu. Kita nampaknya seperti melepaskan dendam kesumat bila datang Syawal. Bukankah matlamat ibadah puasa supaya kita bertaqwa. Cara kita beraya, Taqwa seperti makhluk yang salah alamat.

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa"
(Surah al-Baqarah:183)

Syawal 1429 baru sahaja berlalu. Semalam adalah hari terakhir bulan Syawal tahun ini. Tetapi jangan terperanjat kalau anda jumpa masih ada orang mengadakan majlis rumah terbuka pada hujung minggu ini. Boleh sahaja buat rumah terbuka dan panggil orang datang makan tetapi untuk bukan untuk meraikan Aidil Fitri. Jika niatnya untuk Aidil Fitri ini adalah sesuatu yang tidak kena, sesat. Lebih logik kalau rumah terbuka hujung minggu ini, adalah untuk meraikan Deepavali kerana Deepavali (Dewali) baru sahaja disambut dua hari lepas.
Tiada bangsa Islam lain di muka bumi ini melanjutkan sambutan Aidil Fitri selama sebulan penuh. Hanya bangsa Melayu Malaysia yang melakukannya dan budaya ini bukan datang dari turun temurun nenek moyang kita. Ia terbit sejak 10 ke 20 tahun kebelakangan ini. Baik puak-puak Islam UMNO mahu pun PAS, merayakan Aidil Fitri sepenuh-penuh bulan Shawal sangat berluasa. Dulu mungkin kita lihat hanya kebanyakan orang bandar yang balik dari kampung merayakan Aidil Fitri di rumah mereka pula. Sekarang Melayu kampung pun sudah mulai merayakan Aidil Fitri seperti orang bandar. Sebulan penuh.
Orang Melayu perlu kembali ke jalan sunnah. Kajayaan kita sebenarnya hanya berada dalam usaha kita menghidupkan sunnah di kala sunnah dipandang kuno oleh orang Islam sendiri. Para ulama dan ustaz-ustaz kita mesti memainkan peranan mereka memberikan ilmu yang hak kepada umat Islam. Jika tidak entah apa akan jadi pada generasi akan datang. Orgy di Hari Raya? Nau'zubillah.
Sekolah adalah tempat mula yang paling munasabah untuk membetulkan kembali minda umat. Kita perlu mengajar anak-anak kita bahawa hiburan berlebihan adalah salah. Hari Raya Aidil Fitri tidak sepatutnya disambut dengan berjoget dan bernyanyi-nyanyian yang melalaikan. Hari Raya sepatutnya dirayakan dengan takbir bersemangat seperti orang yang meraikan kemenangan. Bukan takbir yang mendayu-dayu sedih seperti orang meratapi sebuah kekalahan. Jiwa Melayu amat mendayu dalam takbir Hari Rayanya. (Satu kupasan analisis mengenai takbir sayu Melayu perlu dilakukan)
Anak-anak kita perlu diprogram semula agar generasi pelapis kita tidak melakukan kesalahan yang sama. Sekiranya anak-anak masih berbuat seperti kita sekarang, generasi akan datang akan lebih teruk lagi. Kita mungkin berhibur sakan dalam sepuluh hari pertama bulan Syawal, tetapi generasi kita nanti mungkin berdansa sebulan penuh di bulan Syawal. Kita mungkin mengadakan majlis rumah terbuka sapanjang Syawal, tetapi generasi akan datang mungkin merayakannya sebulan lebih awal dan sepenuh-penuh Syawal. Ingatlah, Shubahat pada hari ini besar kemungkinan akan jatuh kepada haram hari esok.
Akhirkata, Wahai umat Melayu Islam sekelian, keluarlah dari pelukan hedonisma ini kerana ia akan membawa kemusnahan. Isi lah dalam jiwa anak-anak kita dengan sunnah supaya generasi depan beroleh Falah. Itulah sebenarya kejayaan.

(Update 4 nov 08)
Betul tak aku cakap...ada lagi rumah terbuka aidil fitri pada 4 Zulkedah.. di lakukan oleh baik orang PAS atau pun UMNO.....majlis aidil fitri bersama exco kerajaan negeri pahang (BN) di Bukit Ibam dan majlis aidil fitri PAS/Parlimen Tumpat , kedua2nya diadakan pada hujung minggu lepas 2 nov 08 bersamaan dengan 4 Zulkaedah 1429...lihat link

11 September 2008

Kesilapan Kerap Muslim Semasa Ramadhan

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan
Oleh Utz Zaharuddin Abd Rahman
Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah.. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT. Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-
1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)
2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam.. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18) Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)
4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih. Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.
5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.
6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa.. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, terutamanya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)
8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.
9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)
10) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)
11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.
12) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain. Nabi Muhammad menceritakan :-
Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih) Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.
13) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :- Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih ) Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Sekian, SEBAR-SEBARKAN LAH.

01 September 2008

Ramadhan, Bazaar & Peniaga Segera

Selamat Menyambut Ramadhan. Bulan ini bukan setakat bulan puasa tetapi ia adalah bulan ibadat dan bulan kebajikan. Ramai yang beranggapan bahawa bulan ini ini khas untuk puasa saja, tapi perlu diingat bahawa ibadat puasa boleh dilakukan dalam bulan-bulan lain juga. Puasa sunat Rejab dan Shaaban ramai yang amalkan. Juga puasa sunat hari Isnin dan Khamis sepanjang tahun. Cuma bulan Ramadhan ini istimewa kerana puasa pada bulan ini adalah WAJIB.
Dan sesiapa yang ditangkap makan di khalayak ramai akan didenda. Maka bila dah jadi wajib adalah orang yang suka melanggarnya. Ini sifat manusia yang ada sakit dalam hatinya. Lagi disuruh lagi suka dia membantah. Maka sibuklah penguatkuasa jabatan agama membuat rondaan keliling negeri, mengintip dan mencari gerai yang dibuka ikut pintu belakang. Siapa yang tertangkap, nasiblah kena bawa pinggan dan cawan ke Mahkamah Shariah sambil tutup muka malu kerana langgar perintah Allah.
Telah menjadi adat pada bulan ini ramai orang Melayu ramai jadi peniaga segera. Lihatlah bazaar Ramadhan yang banyak bercambah di seluruh negara, ada yang berlesen ada juga yang tidak (jangan kata bazaar haram sudah lah). Bermacam-macam kuih muih dan berjenis-jenis makanan dan minuman boleh ditemui di bazaar Ramadhan ini. Kuih muih yang kita tak pernah jumpa pada bulan lain akan muncul pada bulan ini seperti kuih tahi itik, kuih kartun, badak berendam, abang balik gelisah, che abang guling dan lompat tikam. Benarlah, bulan Ramadhan juga adalah bulan rezeki. Benda-benda yang kita susah jumpa di masa lain akan kita temui pada bulan ini.
Tetapi janganlah kita jadikan bulan Ramadhan ini bulan pembaziran! Ramai orang berpuasa tapi hanya pada mulut bukan pada mata. Beli barang untuk berbuka bukan ikut keperluan tapi ikut sedap mata. Bila makanan tak larat nak dihabiskan, ditinggalkan basi dan dibuang begitu saja. Lihatlah di dalam tong sampah orang melayu dalam bulan ini. Kalaulah makanan yang dibuang itu dilihat oleh orang-orang Dafur atau Somalia, tentulah mengucap panjang mereka. Meleleh airmata mereka melihat makanan yang dibuang membusuk dan berulat dalan tong sampah orang-orang kita. Sedangkan mereka terpaksa berebut bermati-matian untuk mendapatkan sedikit kudapan.
Ramai peniaga segera yang muncul pada bulan ini lebih cenderung untuk mengaut keuntungan semata-mata. Kualiti dan kebersihan tidak berapa diendahkan dalam jualan mereka. Saya telah banyak kali melihat dan juga menegur para penjual roti canai dan murtabak bazaar Ramadhan yang tidak membasuh telur yang digunakan. Kebersihan telur ini pernah saya sentuh dalam posting yang lalu. Telur ayam yang masih dalam tray kertas itu biasanya datang terus dari ladang dan tidak bercuci. Kita akan nampak tompok-tompok najis masih melekat pada kulit telur itu terutamanya telur yang rendah grednya.
Perlu diketahui bahawa telur ayam keluar melalui saluran yang sama dengan tahinya itu keluar. Jadi telur ayam perlu dibasuh sebelum digunakan. Kalau tidak tahi ayam yang berpalit pada kulit telur itu akan teruli dengan doh roti canai atau murtabak bila penebar roti tersebut mengambil telur dengan tangan dan memecahkannya itu untuk dibuat roti telur atau murtabak (murtabak ramadhan biasanya lebih banyak telur dan bawang dari daging!) Maka orang yang telah berpusa sehari suntuk akan berbukalah dengan NAJIS.
Ramai orang tidak ambil kesah dengan hal ini munkin kerana ia remeh temeh tetapi ketahuilah bahawa makanan yang terpalit najis itu akan memberikan kesan yang buruk pada badan dan iman kita. Jadilah bulan Ramadhan kita tidak memberikan apa-apa kecuali letih dan dahaga, baik kepada penjual mahupun pembeli.
Olehitu kepada para peniaga bazaar Ramadhan sekelian, janganlah memikirkan untung sahaja. Jadikan usaha berniaga pada bulan ini sebagai ibadah dan khidmat kepada orang yang berpuasa. Banyakkanlah bersedekah, (kira lebih kurang sudahlah) kerana itu membawa berkah. Jagalah kebersihan dan kualiti kerana itulah sebenarnya penambat hati para pembeli. Jika hati telah suka ke situ jugalah pembeli akan menyua. Bersihkan hati dan maniskan muka, insyaAllah keuntungan akan berlipat ganda.
RAMADHAN MUBARAK & SELAMAT BERNIAGA