Semalam K.U talipon marah-marah. "Apo yo lai yang ditunggu dek Nuar ni? Den nak balik kampung hujung minggu ni, kono isi minyak. Baju raya budak-budak bolum settel lai. Kuih rayo nak kono boli. Nak buek sendiri topong gula sumo mahal...boli lagi mahal!!" Terkedu aku mendengar celoteh K.U. Tak sempat aku nak balas, dia membebel lagi. "Hari tu kato 16 Sept, hari Malaysia konon...hah! sampai maso, sekor BN pun tak ado istihar masuk Pakatan. Anwar ni boto ko, waghih?. Aden harap bona dia jadi PM. Sok minyak turun kato eh..minyak turun yang lain-lain nanti ikut turun...gaji den jgn lak turun...he he he.." "Ni pelabur dah ramai keluar bawak duit RM120B. Habih ekonomi kito. Anwar kato Pak Lah dogil, tak nak bagi dio take over. Apo ingat Pak Lah tu anak ayam ko? Tontulah dio sayang kerusi eh tu. Lombong omeh tu..mano buleh lopeh.." kata K.U dalam ceramah panasnya.
Aku cuma boleh menyabarkan dia sekali-sekala. Aku faham. Anak K.U ramai, tinggal pulak di bandarraya Shah Alam. Semua perkara perlukan duit. Dengan gaji RM3,000 sebulan dikira K.U masih boleh bernafas. Bagaimana orang yang gaji RM1,500 dengan anak 4 orang tinggal di tengah-tengah KL. Hidup amat menyesakkan. Tidak hairanlah makin banyak kes bunuh diri di kalangan rakyat berpendapatan rendah.
"Kau tau wagih?" K.U menyampuk lamunanku. "Semalam den dongar dalam radio IKIM ado sorang ibu hilangkan diri di Kuching. 7 orang anak ditinggalkan eh. Bebudak tu sumo kocik-kocik lai. Akak yang tuo baru 16 tahun dan yang kocik sekali umur setahun setongah. Kesian den dongar berito tu. Apolah bebudak tu tau. Camano nak cari makan. Maso pemberito tu datang melawat, bebudak tu dah berapo hari tak makan." Suara K.U ada nada sebak tatkala menceritakan kesah yang didengarnya dari radio.
"Aden tak salahkan omak eh..mungkin dio poi cari kojo tompek lain..Aden marah dengan Anwar!" "Pulak!" itu saja yang aku dapat respon pada K.U "Kau tau sobab apo den salahkan Anwar? Sobab dio berlambek-lambek nak menyelamatkan Malaysia ni!. Kito toksah harapkan Pak Lah..dio tak kan buek apo-apo!. Abih cerito koridor yo.! Nasib negaro ni dalam tangan si Nuar tulah.." "Lagi lambek dio take over lagi menderito kito sumo!!" lalu K.U terus letak talifon selepas berbasa-basi denganku minta maaf sebab menjadikan aku tempat dia melepaskan marahnya.
Aku terpinga-pinga selepas bercakap dengan K.U. Memang Anwar janji 16 September. Tapi kita kena ingat perkara ini bukan mudah. Tukar kerajaan bukan semudah menukar baju. Kita faham hal itu tetapi harapan rakyat terlalu tinggi. Dengan keadaan harga barangan yang tinggi dan kos sarahidup yang semakin menyempit, kesabaran semakin menirus. Kita tidak mahu rakyat turun kejalanan merusuh disebabkan harga barang makanan seperti yang terjadi di Haiti. Amat malang kalau itu berlaku.
Setelah meletakkan harapan yang tinggi menggunung DS Anwar harus segera memujuk rakyat jelata. Jangan lagi beretorik tentang demokrasi dan kroni busuk. Jika Pak Lah tidak mahu memamggil sidang khas Dewan Rakyat, kenapa tidak DS Anwar membuat makluman khas bahawa dalam sidang yang akan datang PR akan mengusulkan undi tidak percaya pada PM dan kabinetnya. Lagipun 23 September dengan 13 Oktober bukannya jauh sangat.
Kita juga mengharapkan agar DYMM Agong melakukan sesuatu seperti yang disuarakan oleh pakar perlembagaan Prof. Abd Aziz Bari. Sehingga itu berlaku, kita harap rakyat bersabar, lebih-lebih lagi waris aku K.U. Kalau kita boleh tunggu 51 tahun, apa sangatlah 4, 5 bulan, waima 4 tahun lagi dalam PRU13.
No comments:
Post a Comment