Showing posts with label TGNA. Show all posts
Showing posts with label TGNA. Show all posts

03 February 2011

Isu Nasionalisme : Jawapan TGNA Untuk Tun Mahathir


Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?”

Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.

Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24

Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.

Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi. 

Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.

Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.  Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. 
Firman Allah SWT yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)

Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya. 

Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh? 

Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?

Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46. 

Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.

Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya. 

Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!

Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang? 

Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas  wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO? 
Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama  jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.

Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? 

Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?  Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?

Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar. 

Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta  menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!

Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT.  

Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar. 

Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan.  

Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?

Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT. 

Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)


HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.

Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011

02 February 2011

Kebangkitan rakyat Mesir: Saat sekutu Israel dijatuhkan Allah

Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut. Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam. Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti dengan rahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas). Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini? Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa. Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat. Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasih umat Islam di tanah yang bersempadan dengan Mesir iaitu Palestin. Padanlah kalau pihak yang kecut perut sekarang ini dengan perkembangan yang berlaku ialah Israel.

Sekian, wasalam.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS.
Bertarikh : 27 Safar 1432H bersamaan 1 Februari 2011M

19 August 2010

Di sini, Dinar dan Dirham : Di sana, Dengki dan Dendam

by Nik Abdul Aziz Nik Mat on Wednesday, 18 August 2010 at 16:07

Kadang-kadang tingkah laku pemimpin UMNO ini sangat mudah untuk dijangka. Apa saja yang baik datang dari Kelantan,itulah yang akan dibangkang habis-habisan oleh UMNO. Sebut saja apa jua perkara yang datang dari Kelantan, berduyun-duyunlah pemimpin UMNO 'menunjuk cerdik' memberi komen. Kalaupun nampak janggal, tiadalah mereka peduli asalkan nampak hebat di mata pandangan gerombolan mereka.

Seingat saya, sepanjang dua dekad usia kerajaan PAS di Kelantan bermula tahun 1990 ini, itulah yang sentiasa kami hadapi. Cuti dua hari seminggu digelar sebagai 'budaya pemalas', akhirnya orang yang sama menelan kembali ludahnya. Cuti 60 hari kakitangan wanita yang bersalin turut dipandang sinis, kemudiannya tanpa segan silu ditiru. Jangan lupa pemerkasaan perbankan Islam turut bermula dengan langkah kerajaan Kelantan memindahkan wang kerajaan dari bank riba ke perbankan Islam. Itu belum termasuk program-program kebajikan seperti Skim Takaful Kifalah, Skim Armalah, Ladang Rakyat dan panjang lagi senarainya.

Terbaru apabila kerajaan Kelantan melancarkan mata wang syariah Emas Dinar dan Perak Dirham (D&D) 12 Ogos lepas, maka bersatulah pemimpin UMNO untuk menghentam langkah ini. Ramadhan yang sepatutnya menjadi bulan damai dan pesta ibadat menjadi pesta menghentam kerajaan Kelantan.

Saya ingin nyatakan, apakah salahnya Kelantan ingin memulakan jihad ekonomi ini? Jika UMNO / BN enggan memulakan,jangan pula menidakkan usaha pihak lain. Saya ulangi penegasan yang dibuat sebelum ini oleh ahli Exco saya, Datuk Haji Husam Musa bahawa apa yang dilancarkan oleh Kelantan bukanlah mata wang, ia hanyalah pengenalan kepada sistem barter trade.Tukar suka sama suka dengan kerelaan tidak pernah dihalang di negara demokrasi ini. Setiap orang berkuasa ke atas barangannya dan berhak membuat keputusan.Apa yang salah ialah membuat keputusan ke atas barangan yang kita tidak berhak.Contohnya, memberi percuma dua blok minyak minyak milik rakyat yang berharga ratusan billion ringgit kepada kuasa asing. Atau merompak hak milik rakyat Kelantan ke atas telaga minyak dengan menafikan royalti!

Seperti yang saya nyatakan di dalam ucapan perasmian pelancaran 12 Ogos lepas, sistem wang kertas diperkenalkan oleh penjajah untuk menguasai ekonomi umat Islam. Hasilnya,seluruh manusia di dunia diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa besar untuk mempercayai nilai yang ada pada sekeping kertas. Kertas tersebut hakikatnya langsung tidak mempunyai sandaran yang didakwa. Jika kita menaiki bas atau keretapi contohnya, kita membayar dan diberikan resit. Resit tersebut ialah tanda kita telah membayar kepada perkhidmatan yang diberikan, ertinya resit tersebut tidak mempunyai nilai apa-apa kecuali setelah bayaran diberikan. Hari ini, bank mengeluarkan wang kertas tanpa sebarang sandaran nilai. Kononnya ia disandarkan pada nilaian emas, hakikatnya ia disandarkan kepada keadaan ekonomi semasa sesebuah negara. Ini sebenarnya lebih teruk dari resit bas dan keretapi tadi.

Realitinya mata wang tidak berharga melainkan jika Kerajaan memberi nilai kepadanya. Wang kertas RM1.00 bukan bernilai RM1.00 daripada segi harga kertasnya. Ia bernilai RM1.00 kerana itulahnilai yang ditetapkan oleh Kerajaan. Jika Kerajaan mencetak angka lima atau sepuluh maka nilai kertasnya tidak naik kepada RM5.00 atau RM10.00. Hanya pengakuan dan jaminan Kerajaan yang menjadikannya bernilai sebanyak mana yang ditentukan. Itulah hakikatnya wang kertas.

Tertarik saya apabila seorang Timbalan Menteri yang baru-baru ini heboh telah meluluskan lesen judi tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa Dinar Emas dan Perak Dirham ini boleh menyebabkan kerugian. Terlintas di benak saya, jika begini taraf pemikian seorang timbalan menteri, apapula jenis pemikiran yang ingin diasuh kepada rakyat.

Emas merupakan komoditi yang paling stabil harganya. Ia akan terus meningkat jika dibandingkandengan wang ringgit. Bukankah Tun Dr Mahathir sendiri pernah melancarkan gold coin yang dinamakan Kijang Emas keluaran Bank Negara Malaysia satu ketika dahulu? Mari kita semak harganya. Pada 18 Julai 2001, sekeping syiling Kijang Emas seberat 1 auns harganya ialah RM1, 082.00. Hari ini pada tarikh 1 Julai 2010, ia sudah boleh dijual dengan harga RM4,104.00. Ertinya jika seseorang melabur sebanyak RM 108,200.00 dengan membeli seratus keping Kijang Emas pada tahun 2001, kini ia boleh dijual dengan harga RM410,400.00. Keuntungan 400% dalam masa 9 tahun! Butiran ini boleh dilayari di (http://www.bnm.gov.my/). Ini bukti harga emas tidak akan turun. Paling tidak pun, lebih baik daripada sebuah syarikat penerbanganyang rugi RM535 Juta pada suku kedua tahun ini!

Di dalam al-Quran sendiri menceritakan kisah Ashabul Kahfi yang tertidur selama 309 tahun di dalam sebuah gua. Apabila bangkit mereka menggunakan duit perak yang ada di tangan mereka untuk membeli makanan. Ertinya, selepas 309 tahun, duititu masih elok dan mempunyai nilai seperti sedia kala.

Justeru, saya nasihatkan kepada pihak-pihak tertentu, janganlah terburu-buru menidakkan usaha-usahakerajan Kelantan. Tidak cukup tenaga di Malaysia, diambil pula tulisan kolumnisyang beraliran orientalis untuk menghentam kami. Sehingga langkah kami mengasingkan kaunter bayaran di pasar raya disifatkan sebagai 'aparteid agama'.Bagaimana pula langkah Keretapi Tanah Melayu menyediakan gerabak khas bagiwanita? Itu aparteid apa namanya?

Saya ingin bertanya, apa kurangnya kami di Kelantan dengan anda yang berada di Pusat. Jika anda mempunyai pakar ekonomi, kami pun mempunyai pakar ekonomi. Takdirnya bertukar teraju di Putrajaya nanti, kami juga mampu mentadbir bahkan lebih baik dari anda, Insya-allah. Janganlah dibiarkan hasad dengki menguasai menyebabkan ternafinya segala kebaikan yang kami lakukan. Jangan pula kami di sini melancarkan Dinar dan Dirham (D&D), anda di sana melancarkan dengki dan dendam!

Akhir kata, jika datanglah bertadarus dengan kami di Kelantan di bulan Ramadhan ini. Salah satu ayat yang menjadi menjadi bacaan kami sekarang ialah ayat 63 dari Surah al-Furqan yang bermaksud :

"Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu(ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan."


Salam Ramadhan.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 8 Ramadhan 1431H / 18 Ogos2010M

26 April 2010

SARAPAN PAGI BERSAMA TGNA: Pengalaman Yang Terindah...

Aku malas nak layan berita petang ni , so periksa email je lah. Dapatlah satu email seorang kawan Cina, aku panggil Chew, dia forward satu email yang dia dapat dari kawan dia. Mungkin ramai yang dah baca email ni atau baca blog si pencerita, tapi aku nak kongsikan juga di sini...
Bila aku baca isinya..tak semena-mena, meleleh air mata aku. Aku seorang yang sangat susah menitiskan airmata. Tapi karektor TG ni sungguh menyentuh perasaanku.... Kalau hangpa tak percaya...sila baca...sapa sayang TG pasti tersentuh hatinya..

..........>>>>>>>>>>><<<<<<<<<.............


SARAPAN PAGI SEORANG MENTERI BESAR.



Sewaktu kami sekeluarga berkunjung ke Kota Bharu Kelantan pada cuti sekolah bulan lepas, kami sekeluarga sarapan pagi di gerai berhampiran hotel penginapan.. Kami sekeluarga terkejut dan rasa terharu bila kami dapati MB Kelantan tengah sarapan pagi di gerai tersebut berseorangan tanpa pengawal peribadi dan pegawai kerajaan Kelantan..



Malah beliau terlebih dahulu menegur dan menberi salam kepada kami sekeluarga serta mengajak kami sekeluarga makan bersama-sama dimeja beliau sambil berborak menayakan dari mana, bagaimana perasaan kami bila berada di Kelantan dan banyak lagi.. Ketika berborak, beliau tiada sedikit pun menyentuh soal politik atau cerita perkembangan terkini di Negeri kami (Negeri 9).. Malah beliau berterima kasih kepada kami kerana sudi datang dan lihat sendiri keadaan di Kelantan daripada membaca di akhbar atau melihat di TV.. Malah kami sekeluarga rasa lebih terharu bila beliau bayar kami sekeluarga makan pada pagi itu..





* MB Negeri saya sendiri pun susah nak jumpa.. kecuali ada majlis rasmi yang ada publisiti sahaja..

06 April 2010

Surat TGNA kpd Nga Kor Ming..... Buat Peringatan Pada Yang Lupa...

13 Rabiul Akhir 1430

9 April 2009



YB Encik Nga Kor Ming

EXCO Kerajaan Negeri Perak

Pejabat EXCO Negeri Perak

30000 Ipoh

PERAK DARUL RIDZUAN.





Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera





Yang Berhormat,



Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”



Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.



Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.



Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.



Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.





* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *





(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)

Menteri Besar Kelantan

Merangkap

Mursyidul Am PAS

11 January 2010

Kan Tok Guru Dah Kata....

Tok Guru dah nasihat supaya semua golongna bertenang dan bawak berbincang. Ulama-ulama Islam dan Cendikiawan Kristian elok duduk berbincang cari penyelesaian dan titik kefahaman terbaik tentang isu kalimah "ALLAH". Itulah pendirian yang diambil opleh PAS dan Pakatan Rakyat.
UMNO tak mahu dengar. Digerakkan seluruh NGO pengampunya untuk berarak dan menyemarakkan kemarahan orang Melayu Islam. Orang Melayu ni pulak ramai yang emosional. Ikut suruhan dan hukum-hakam Allah tak mahu tapi bila tang berarak untuk menunjukkan dialah orang paling sayang Allah dialah nombor wahid. Bertakbir sana sini bawak plakad dan kain rentang mengajak orang Kristian berkonfrontasi.
Dulu diaraknya kepala lembu. Warning orang Hindu jangan kurang ajar. Sekarang berarak pula keliling negeri warning orang Kristian jangan pakai nama ALLAH. Macam-macam tulis atas kain rentang. Menteri pula tak halang. "Kalau mereka nak berdemo dalam kawasan masjid kita tak boleh halang" kata Hishamuddin. Najib pula sokong.
Eh... kalau UMNO buat demo boleh. PAS berdemo untuk rakyat marhein tak boleh pula, walaupun dalam kawasan masjid. Ingat dulu masa Demo BERSIH, FRU kejar pendemo sampai dalam Masjid Negara, dengan kasu-kasut dan gas pemedih mata.
Tup-tup... meletup bom petrol dalam gereja di Lembah Kelang pada hujung minggu lepas. 4 buah gereja kena serang. Hishamuddin kaget. Dia kata itu cuma kejadian terpisah (isolated). Hairan, 4 serangan yang isolated itu berlaku pada hari yang sama. Modus operandi pun sama. Isolated? Semalam 2 buah gereja di Taiping pula kena baling cat. (Berita lanjut sini.)
Bagaikan orang tersentak dari mimpi ngeri, UMNO/BN mengelabah. Baru dia sedar suasana agama sentitif. Orang yang emosional telah bertindak. Kalau begini pekancung asing yang membawa banyak tukaran wang asing akan menjauhkan diri dari Malaysia. Pelabur-pelabur pula akan menarik semula pelaburan mereka. Yang baru-baru nak berjinak dengan kita terus lari. Maka berbuih-buih pula mulut mereka mengutuk serangan-serangan itu.
Najib pun ishtihar beri peruntukan kilat RM500k untukdibina semula gereja di Desa Melawati yang terbakar. Hah! Marah sangat pada orang Kristian, bom api gereja mereka, akhirnya mereka yang dapat peruntukan besar buat gereja baru. Surau nak bina pun liat nak dapt peruntukan sebanyak itu.
PPIM pula segera menggerakkan 150 NGO Islam dan RELA untuk menjaga keselamatan gereja-gereja Kristian. Baru minggu lepas PPIM lantang menyatakan marah pada orang Kristian jangan sekali menggunakan nama ALLAH dalam akhbar mereka. Bunyi marah mereka bagaikan mahu berperang. Hari ini bersedia pula jadi jaga untuk gereja.
Dan keluarlah hadis dan ayat-ayat Al Quran bahawa rumah-rumah ibadat tidak boleh diganggu. Ini semua selepas gereja-gereja itu diserang. Kenapa tak baca dulu sebelum menyimbah minyak petrol ke atas api kemarahan Orang Melayu terhadap Mahkamah Tinggi yang membenarkan orang-orang Kristian menggunakan kalimah ALLAH? Memang tabiat orang-orang ini sudah terhantuk, baru tengadah!
Apapun, kita tetap mengatakan pada mereka, "tulah..kan Tok Guru dah bagi tau. Tapi tak nak dengar... sekarang baru sibuk cuba memujuk oarang yang dah mengamuk..."
..
..

30 December 2009

Tok Guru: Blog Celaka !

TGNA memang tepat menuding celaka kepada bloggers yang membuat fitnah dan berita palsu. Spekulasi yang dibangkitkan oleh sebuah blog yang mengatakan bahawa Dato' Husam akan meletakkan jawatan membuat TGNA naik hangin.
Tok Guru kata beliau sayang pada Husam kenapa bloggers ini mengapi-apikan berita yang tidak benar. Nyata fitnah yang disebarkan terkena muka mereka bila Tok Guru menyumpah celaka ke atas mereka. Dalam sidang medianya semalam TGNA menegaskan bahawa Dato' Husam tidak akan melepaskan jawatan dan menemplak blogger yang membuat berita palsu itu.
Berikut adalah petikan berita Harakandaily dari sidang media beliau semalam..
Nik Aziz juga menolak spekulasi kononnya Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa akan meletakkan jawatannya ekoran rombakan dalam pentadbiran pejabat menteri besar.
Sebaliknya Nik Aziz memberitahu, Husam yang merupakan bekas setiausaha politiknya sebenarnya pemimpin kesayangan beliau. “Mana boleh dia (Husam) letak jawatan...Datuk Husam ini antara yang saya sayang, dia punya kebijaksanaan,” kata beliau selepas mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan di sini petang ini.
Ketika ditanya mengenai desas-desus bahawa Husam akan meninggalkan Kabinet kerajaan negeri dan kerusi Dewan Undangan Negeri, Nik Aziz berkata, “siapa kata dia (Husam) nak letak jawatan? Karut semua itu.”
Dimaklumkan perkara itu dilaporkan oleh blog sejak beberapa hari lalu, Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan menegaskan, “celaka blog itu. Tak ada kerja lain... tau nak laga-lagakan orang.”
“Suka buat dosa. Berdosa menulis perkara bukan-bukan tanpa bukti dan fakta jelas,” tambah beliau.

01 December 2009

Tindakan Nik Aziz gambarkan ikhlas dan jiwa besar

Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Keputusan yang diambil oleh Tok Guru Mursyidul Am PAS dengan meminta menantu beliau Ir. Abdul Ariffahmi Abd Rahman untuk meletakkan jawatan dari kedudukan sebagai CEO PMBK adalah jelas merupakan satu tanda keikhlasan dan jiwa besar yang ditunjukkan oleh Tok Guru yang bersedia menerima keputusan parti.
Sifat berjiwa besar ini juga ditunjukkan oleh seluruh ahli keluarga beliau yang bersabar dengan ujian yang dan ini sangat berbeza dengan konsep kronisme yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang tidak boleh dirombak dan dirungkaikan.
Kita juga berhadapan dengan undang-undang manusia yang seringkali menjatuhkan hukuman dengan tidak adil – iaitu hukuman telah dijatuhkan sebelum maklumat sepenuhnya diperolehi dari sumber yang amanah dan benar.
Benarlah keadaan yang digambarkan oleh Rasulullah saw “Akan berlaku di akhir zaman keadaan yang celaru, orang amanah dikatakan khianat, orang khianat dikatakan amanah, orang benar dikatakan bohong dan orang bohong dikatakan benar”.Kita dapati Tok Guru selaku Pengerusi PMBK telah menjalankan pelantikan yang ikhlas.
Apa yang kurangnya ialah mereka yang bertugas di sekeliling yang tidak memberi nasihat perundangan dan politik yang betul kepada Tok Guru.Kita dapati bahawa selama 19 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, Tok Guru selaku Menteri Besar dan ahli keluarganya tidak pernah mengambil peluang dari jawatan yang diamanahkan ini.
Seluruh ahli PAS menjunjung tinggi keikhlasan Tok Guru dalam menjalankan amanah yang sangat besar dan berat ini.Kita juga sangat hairan dengan sikap orang yang menyerang Tok Guru ini kerana mereka berdiam diri pula dengan membiarkan kesalahan dan ketidakadilan terhadap rakyat yang dilakukan oleh para pimpinan UMNO dan BN sewenang-wenangnya.
Kita berharap agar Tok Guru dan keluarga bersabar dengan ujian masyarakat yang tidak memahami keadaan sebenar yang berlaku.
Kita mengharapkan agar mereka yang suka menyebarkan api kebencian agar segera bertaubat kerana sabda Rasulullah saw “Barangsiapa yang bermusuh dengan orang-orang yang mentaati perintahku maka aku mengisytiharkan kemurkaan yang sekeras-kerasnya”.
Saya juga menyeru seluruh ahli PAS agar berbangga dengan keputusan Tok Guru beserta ahli keluarganya yang bersedia menerima keputusan parti, dan marilah kita bersama-sama dengan Tok Guru dalam menghadapi ujian fitnah media yang tidak putus-putus dan cubaan musuh untuk meletakkan kerajaan PAS di Kelantan dalam keadaan tidak tenteram.
Marilah kita sama-sama mempertahankan kerajaan yang telah dibina di atas dasar amanah Allah ini dengan seluruh tenaga yang kita ada.

Presiden PAS
Abdul Hadi Awang

19 August 2009

Tok Guru...Saman Jangan Tak Saman!!

TGNA belasah Utusan Melaysia(UM) lagi sekali sebab salah lapur. Harakahdaily melapurkan bahawa TGNA berkata kenyataan beliau telah diputar belit oleh UM. Ha.. ha.. ha.. dah memang kerja UM putar belitkan kenyataan sapa saja yang tak sehaluan dengan UBN.
Eloknya kalau TGNA atau sapa saja dari PR jangan jemput UM bila buat press conference. Sebab dah tentu apa yang saja kenyataan yang patut dilapur disembunyikan dan yang mana boleh diputarbelit akan dimainkan segaban-gabannya. Itulah UM.

Takkan TGNA tak tau, Kan hanya beberapa minggu yang lalu baru UM minta maaf secara terbuka pada TGNA sebab salah lapur. Kini nampaknya sekali lagilah UM terpaksa menyiarkan permintaan maaf kepada TGNA di muka depan akhbarnya.

Memang dasar UM dan UBN tak tahu malu. Olehkerana sekarang adalah musim PRK Permatang PAsir, maka UBN perlukan satu isu hangat untuk dijadikan peluru. Maka kenyataan kononya "Ahli UMNO Tak Masuk Syurga" itu akan menolong untuk mendapatkan undi dari kalangan orang Melayu di Permatang Pasir. Selain itu, isu ini mahu digunakan oleh UBN untuk menutup pekong calon UBN yang sudah terbuka!.

Maaflah UBN, sebab pengundi Permatang Pasir tak bodoh. Pengundi zaman IT kini punyai banyak maklumat. Kalau nak menang eloklah bermain secara adil. Kalau kamu adil wahai UBN, harapan untuk menang tetap ada.

02 August 2009

APABILA TOK GURU GUNA KAEDAH KETIGA

Oleh Annuar Kamaruddin

Dalam apa jua urusan, kita mempunyai pelbagai kaedah. Apabila berdepan dengan masalah kita punya pelbagai kaedah untuk mengatasinya. Apabila berdepan dengan UMNO, Tok Guru gunakan kaedah ketiga. Biar saya perjelaskan.

Dalam mendisplinkan pelajar, seorang guru mempunyai tiga kaedah. Pertama kaedah lembut iaitu suruhan, nasihat, teguran. Kaedah ini sesuai untuk pelajar menengah atas atau yang mempunyai IQ tinggi. Kedua kaedah marah dan amaran. Kaedah ini sesuai untuk pelajar sederhana. Ketiga ialah kaedah rotan atau maki. Kaedah ini sesuai untuk pelajar yang degil, tidak mahu mendengar nasihat, teguran, atau amaran.

Dalam perubatan tradisional Melayu juga ada kaedah iaitu kaedah rohani dan jasmani. Kaedah jasmani melalui urutan dan makan ubat-ubatan (akar kayu, daun kayu, dan herba-herba). Manakala kaedah rohani, ada tiga kaedah. Pertama kaedah jampi, menggunakan doa-doa berasaskan ayat-ayat al Quran. (sesuai untuk penyembuhan sakit-sakit biasa). Kaedah kedua menggunakan jampi Mantera. (sesuai untuk gangguan makhluk halus). Kebiasaan jampi mantera menggunakan bahasa Melayu dengan seruan-seruan tertentu dengan tujuan memujuk.

(Selain pengubatan, jampi mantera juga digunakan untuk tujuan ilmu pemanis, pengasih dan sebagainya. Saya ingat satu jampi mantera untuk memancing berbunyi begini:

Hai ikan si bapa ikan si raja ikan dengarlah kata.
Bukan kata sebarang kata kata perintah dari beta
Ulur-ulur si arik-arik aku menghulur engkau menarik
Ulur-ulur si ambut-ambut aku menghulur engkau menyambut
Kalau engkau tidak mendengar kata derhakalah engkau
Berkat doa Lailah Ha IlalLah Muhammadurasullullah.

Berbalik kaedah ketiga dalam perubatan tradisional Melayu iaitu kaedah jampi serapah. Kaedah ini merupakan kaedah caci maki. Sesuai untuk menghalau makhluk halus yang merasuk mangsa. Biasanya jampi serapah bahasanya kasar dan keras. Persoalannya, apabila bomoh menggunakan kaedah ketiga ini untuk menyesuaikan dengan situasi, adakah orang akan menganggap bomoh tersebut seorang yang suka mencaci maki orang lain padahal dia menggunakan kaedah serapah ini untuk mengubati pesakit ? Tentu tidak.

Dalam menghadapi karenah UMNO, Tok Guru juga ada kaedahnya. Apabila UMNO semakin merasuk dan semakin degil, semakin menganaiyai orang Melayu dan orang Islam, semakin menggunakan kekerasan terhadap rakyat, semakin hari semakin membenci dan menekan rakyat, maka kaedah serapah sebagai kaedah ketiga adalah kaedah yang tepat. Pergi jahanam dengan UMNO.

Nota: Dipetik dari Blog Cina Isam - YB Idham Lim



30 July 2009

UTUSAN MOHON MAAF PADA TGNA


PERMOHONAN MAAF
Utusan Malaysia memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di atas kesilapan laporan mengenai kenyataan beliau yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009.YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz sebenarnya bermaksud bahawa "nasihat beliau tidak semestinya didengar" ketika mengulas mengenai cadangan kerajaan perpaduan pada sidang media itu.Oleh itu, tajuk atas sebelah kiri, muka surat hadapan Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009 iaitu Nasihat saya mesti didengar adalah salah serta bukan menggambarkan apa yang dimaksudkan oleh YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz pada sidang media itu.Begitu juga fakta berhubung perkara yang sama pada berita penuh mengenai kenyataan beliau itu pada muka surat 7, Utusan Malaysia keluaran 15 Jun 2009, adalah salah.Utusan Malaysia dengan ini menarik balik dengan sepenuhnya kesilapan tersebut dan secara tulus ikhlas memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu dan atas apa jua kedukaan atau pengaiban yang mungkin diakibatkan kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz daripada kesilapan tersebut.
Nota: Tempelan dari Utusan Online 30/7/09
Sheikh Sambal - Mintak maaf mintak jugak...tapi dalam masa yang sama tak habis2 kutuk lagi TGNA lihat sini
Memang dasar pencacai UMNO!.