01 September 2008

Ramadhan, Bazaar & Peniaga Segera

Selamat Menyambut Ramadhan. Bulan ini bukan setakat bulan puasa tetapi ia adalah bulan ibadat dan bulan kebajikan. Ramai yang beranggapan bahawa bulan ini ini khas untuk puasa saja, tapi perlu diingat bahawa ibadat puasa boleh dilakukan dalam bulan-bulan lain juga. Puasa sunat Rejab dan Shaaban ramai yang amalkan. Juga puasa sunat hari Isnin dan Khamis sepanjang tahun. Cuma bulan Ramadhan ini istimewa kerana puasa pada bulan ini adalah WAJIB.
Dan sesiapa yang ditangkap makan di khalayak ramai akan didenda. Maka bila dah jadi wajib adalah orang yang suka melanggarnya. Ini sifat manusia yang ada sakit dalam hatinya. Lagi disuruh lagi suka dia membantah. Maka sibuklah penguatkuasa jabatan agama membuat rondaan keliling negeri, mengintip dan mencari gerai yang dibuka ikut pintu belakang. Siapa yang tertangkap, nasiblah kena bawa pinggan dan cawan ke Mahkamah Shariah sambil tutup muka malu kerana langgar perintah Allah.
Telah menjadi adat pada bulan ini ramai orang Melayu ramai jadi peniaga segera. Lihatlah bazaar Ramadhan yang banyak bercambah di seluruh negara, ada yang berlesen ada juga yang tidak (jangan kata bazaar haram sudah lah). Bermacam-macam kuih muih dan berjenis-jenis makanan dan minuman boleh ditemui di bazaar Ramadhan ini. Kuih muih yang kita tak pernah jumpa pada bulan lain akan muncul pada bulan ini seperti kuih tahi itik, kuih kartun, badak berendam, abang balik gelisah, che abang guling dan lompat tikam. Benarlah, bulan Ramadhan juga adalah bulan rezeki. Benda-benda yang kita susah jumpa di masa lain akan kita temui pada bulan ini.
Tetapi janganlah kita jadikan bulan Ramadhan ini bulan pembaziran! Ramai orang berpuasa tapi hanya pada mulut bukan pada mata. Beli barang untuk berbuka bukan ikut keperluan tapi ikut sedap mata. Bila makanan tak larat nak dihabiskan, ditinggalkan basi dan dibuang begitu saja. Lihatlah di dalam tong sampah orang melayu dalam bulan ini. Kalaulah makanan yang dibuang itu dilihat oleh orang-orang Dafur atau Somalia, tentulah mengucap panjang mereka. Meleleh airmata mereka melihat makanan yang dibuang membusuk dan berulat dalan tong sampah orang-orang kita. Sedangkan mereka terpaksa berebut bermati-matian untuk mendapatkan sedikit kudapan.
Ramai peniaga segera yang muncul pada bulan ini lebih cenderung untuk mengaut keuntungan semata-mata. Kualiti dan kebersihan tidak berapa diendahkan dalam jualan mereka. Saya telah banyak kali melihat dan juga menegur para penjual roti canai dan murtabak bazaar Ramadhan yang tidak membasuh telur yang digunakan. Kebersihan telur ini pernah saya sentuh dalam posting yang lalu. Telur ayam yang masih dalam tray kertas itu biasanya datang terus dari ladang dan tidak bercuci. Kita akan nampak tompok-tompok najis masih melekat pada kulit telur itu terutamanya telur yang rendah grednya.
Perlu diketahui bahawa telur ayam keluar melalui saluran yang sama dengan tahinya itu keluar. Jadi telur ayam perlu dibasuh sebelum digunakan. Kalau tidak tahi ayam yang berpalit pada kulit telur itu akan teruli dengan doh roti canai atau murtabak bila penebar roti tersebut mengambil telur dengan tangan dan memecahkannya itu untuk dibuat roti telur atau murtabak (murtabak ramadhan biasanya lebih banyak telur dan bawang dari daging!) Maka orang yang telah berpusa sehari suntuk akan berbukalah dengan NAJIS.
Ramai orang tidak ambil kesah dengan hal ini munkin kerana ia remeh temeh tetapi ketahuilah bahawa makanan yang terpalit najis itu akan memberikan kesan yang buruk pada badan dan iman kita. Jadilah bulan Ramadhan kita tidak memberikan apa-apa kecuali letih dan dahaga, baik kepada penjual mahupun pembeli.
Olehitu kepada para peniaga bazaar Ramadhan sekelian, janganlah memikirkan untung sahaja. Jadikan usaha berniaga pada bulan ini sebagai ibadah dan khidmat kepada orang yang berpuasa. Banyakkanlah bersedekah, (kira lebih kurang sudahlah) kerana itu membawa berkah. Jagalah kebersihan dan kualiti kerana itulah sebenarnya penambat hati para pembeli. Jika hati telah suka ke situ jugalah pembeli akan menyua. Bersihkan hati dan maniskan muka, insyaAllah keuntungan akan berlipat ganda.
RAMADHAN MUBARAK & SELAMAT BERNIAGA

No comments: