Showing posts with label Da'awah. Show all posts
Showing posts with label Da'awah. Show all posts

24 July 2017

Ziarah Ramadhan Kelab Amal 4x4 ke KOA Pos Lenjang

Lama dah Sheikh Sambal tak menulis. Bukan berhenti menulis tapi lebih banyak mengulas status kawan-kawan di FB. Sekali sekala Sheikh Sambal ada juga memuatnaik status suam-suam kuku pedas. Pedas memang pedas tapi sedapnya tak boleh berenti... ;)

Sejak bermastautin di Perak ni Sheikh Sambal selalu juga ikut program jaulah ke kawasan pendalaman dengan Kelab Amal 4x4. Dulu masa di Miri, selalu ikut Yayasan Amal Malaysia Cwg Sarawak masuk ke rumah-rumah panjang. Bila pindah ke Perak ni rindu pula nak main-main bukit dan lumpur serta menziarahi sedara mara kita di pendalaman belantara.

Pada 2hb Jun  2017yang lalu, Sheikh Sambal sempat mengikuti rombongan Kelab Amal 4x4 untuk berprogram di Pos Lenjang, Ulu Lipis. Dari Perak ada 3 kereta pacuan 4 roda (selepas kita panggil Powil). Satu powil Sheikh Sambal sendiri dari Lumut, sebuah dari Trong (Powil Abang Bun Bukit Gantng) dan sebuah lagi dari Parit ( powil Yasser Pomen, Lambor Kanan). Dan dari KL ada 12 powil yang bergera dari ODOR House, Sg. Buluh.(port Kelab Amal 4x4)



SS masa jaulah di Pos Tuel, Gua Musang , baru belajar rendam powil...
Geng Powil Perak bertolak dari  tempat masing-masing selepas solat teraweh pada 2hb Jun, Jumaat malam sabtu. Janjinya berkumpul di Restoran Waritha, Simpang Pulai. Abg Bun sampai dahulu sementara kami dari Lumut sampai 2 jam kemudian. Maaflah Abang Bun, macam-macam hal pulak datang bila kita nak cepat.☺☺

Alhamdulillah, selepas minum-minum santai di Simpang Pulai, kami pun bergerak ke Cameron Highland untuk bergabung dengan geng Kelab Amal 4x4 KL. Dua powil saja dari Simpang Pulai. Powil Yasser pergi ke Kg Gajah untuk mengambil barang-barang sumbangan sahabat dan terus ke Tapah untuk terus bergabung dengan Geng Powil KL.( 12 Powil dari KL !!)

Kuda Merah Sheikh Sambal dinaiki oleh Hayat TKOM1 Lumut, Izwan KOM Pasir Salak, Nasser dan Hakeem. Kuda Kuning Abang Bun pula dua orang dengan Chef Pak Ak dan penuh dengan barang-dapur dan bahan-bahan mentah untuk dimasak di sana nanti.

Lebih Kurang pukul 3pagi kami bertolak dan sampai di Kampung Raja, Cameron Highland pukul 4.30pagi. Sepatutnya kami terus ke Masjid An Nur, di Ringlet tetapi  sebab Abg Bun tersalah ambik simpang maka kami putuskan untuk bersahur di Masjid Kg Raja saja. Suasana dingin malam di Cameron Highland sangat mengujakan. Suhu 18⁰C memerlukan jaket yang sesuai. Boleh pakai T-shirt tapi kenalah berkawat utk memanaskan badan....
Sahur @ Highlanders...

Sahur dengan roti cicah Ayam Masak Pedas yang kami beli di Restoran Waritha sungguh menyelerakan. Kami makan roti di wakaf masjid sambil menunggu air yang dijerang masak untuk pekena Kopi Amal yang Hayat bawa. Bayangkan, roti cicah ayam masak pedas dan disiram pula dengan kopi amal panas-panas di dinihari yang dingin mengelatuk, sangat tak dapat digambarkan kenikmatannya...!!

Tak lama selepas kami bersahur dalam suasana sejuk tanah tinggi, subuh pun masuk. Mengambil wudhuk juga menjadi satu perjuangan yang memerlukan ketahanan ampuh. Air yang hampir sama suhunya dengan air dalam peti ais hendak dibasahkan ke anggotra badan. Fuuhhh! Bagaimanalah agaknya orang Cameron Highland mandi wajib kalau heater rosak atau balck-out di subuh hening...

Selepas solat subuh baru nak bentang alas tidur, dapat panggilan dari Pak Kiyai (Pengerusi Kelab Amal 4x4). Kami harus segera sampai di Ringlet untuk berkonvoi ke Pos Lenjang. Dah la semalaman musafir, ingat nak rehat sebentar, tapi kena pula meneruskan perjalanan ke Ringlet dan seterusnya ke Pos Lenjang.Tapi arahan Amir Sahab dah datang, kenalah akur...

Masjid Kg Raja, Cameron Highland - ambil wudhu di subuh hening pun satu perjuangan.

Dari Kg Raja ke Ringlet mengambil masa lebih kurang 45 minit. Jaraknya lebih kurang 37km tapi perlu naik ke Brinchang dulu kemudian ke Tanah Rata dan turun ke Tringkap dan Habu, baru sampai ke Ringlet. Jalannya boleh tahan berkona baring. Walaupun tak seteruk jalan Ringlet-Tapah tapi pening juga bagi yang tak biasa.

Akhir sekali Sheikh Sambal singgah di Masjid An Nur Ringlet ialah pada bulan September tahun lepas. Jalan ke situ ingat-ingat lupa. Jadi kami gunakan khidmat applikasi WAZE. Perjalanan licin saja sampai ke Ringlet. Kemudian WAZE megarahkan kami ke simpang taman perumahan. Rasa hati macam tak betul tapi kerana ia WAZE, pakar cari jalan, kami turutkan saja. Dari jalan besar masuk jalan kecil, masuk simpang kiri kemudian kanan, naik bukit dan bila hampir ke destinasi barulah kami yakin kami memang telah disesatkan oleh WAVE. Atas skrin masih tunjuk Masjid An Nur ada atas bukit tu. Padahal taman tu taman perumahan Orang Cina. Itulah bahana menurut saja kata pakar kununnya. Kalaulah WAZE itu syaitan, sudah pasti dah dihangkutnye kami ke neraka!.

Kami pun patah semula ke stesyen Minyak Petronas di Pekan Ringlet. Memang dari situ tak jauh dah dengan Masjid Annur. Abang Bun talipon Pak Kyai kata kami tersesat tapi dah dekat. Oleh kerana rombongan KL pun dah mula bergerak keluar dari Masjid Annur , kami Geng Perak memutuskan untuk menunggu saja di tepi jalan arah ke Raub.

Jam dah pukul 8.30pagi. Cuaca amat baik. Langit biru terang dengan awan yang berkapas. Suasana masih sejuk. Jaket tebal masih Sheikh Sambal pakai sejak dari Kg Raja tadi. Sahabat-sahabat Powil dari Kl sudah mula sampai dan memakir di belakang kami. Ada orang baru. Ada juga kawan-kawan lama seperti Hj Bahari, Hafiz Tokey Kebab dan Cikgu Hafizal. Lama betul tak jumpa kawan-kawan seperjuangan powil ni. Kami pun salam-salam dan peluk-peluk melepaskan rindu sahabat lama.

Inilah rupanya langitt biru yang berkapas

Jumpa kawan lama kita cerita hal dulu bersama...

Selepas menunggu beberapa ketika bagi sahabat-sahabat memberi kuda masing-masing mengisi disel, Kami pun mula bergerak ke arah Sg Koyan untuk meneruskan jaulah ke Pos Lenjang, Ulu Lipis. Dari jalan besar Ringlet - Sg Koyan tu, tak jauh selepas Empangan Hidro Ulu Jelai di sebelah kiri jalan, kami pun sampai di simpang ke Kg Simoi. Jalan masuk ke Kg Simoi ini ialah jalan balak yg dah di tinggalkan. Dulu masa balak masih lagi dituai dari hutan sekitar, jalan balak ini diselenggara oleh syarikat tetai sekarang ia hanyalah jalan tinggal yang semakin teruk. Musim hujan jalan ini akan jadi agak mencabar denga 'geli-geli' powil yang mengujakan.

Perjalan dari Ringlet ke simpang Simoi ambil masa lebih kurang 1 jam dan dari simpang jalan balak itu ke Kg Simoi pula mengambil masa 1 jam. Kalau hujan dan jalan licin berselut boleh jadi 2 jam. Jalan balak yang melalui hutan kadang-kadang ada pula pokok tumbang. Kalau terjadi begitu lagi lamalah masanya.

Kampung Simoi adalah kampung yang pertama kita jumpa dalam Pos Lenjang jika kita guna jalan balak ini. Satu lagi jalan ialah melalui Pos Betau.Tapi jaln Pos Betau jauh dan terlalu teruk. Walaupun kerajaan dan tar jalan Pos Betau ni, tapi kualiti yang tidak amanah membuat jalan itu berlubang dan berlopak-lopak. Bayangkan tar diturap atas tanah yang dipotong gtanpa ada pasir dan batu 'crusher run' dijadikan asas jalan. Memang masa baru siap nampak cantik. Tapi selelpas digunakan sebulan dua, lubang dan lopak mula menjelma sehingga menjadikan jalan itu sangat merbahaya. Semasa Team Riki Amal 4x4 melalui jalan ini tahun lepas, kami terserempak dengan sebuah lori membawa getah terbalik disebabkan jalan yang berlopak dalam dan tidak stabil. JKR haru kembali memantau jalan yang dibina oleh kontraktor mereka. Periksa betul-betul. Jangan aniaya orang-orang kampung.!!

Jalan Pos Betau - Pos Lenjang ; baru sikit ni..
Jalan Pos Betau - Pos Lenjang; jalan kampung yang terbiar sehinggakan  pokok-pokok buluh dan pokok-pokok hutan lain dari kedua-dua belah jalan hampir bertemu dan bertaut. Untuk memudahkan perjalanan, seorang terpaksa duduk di atas bunbung kereta untuk menepis dan meleraikan batang-batang dan akar yang tersnagkut pada kereta.

Dari Kg Simoi kami meneruskan perjalanan ke Kg Rakoh, Pos Lenjang. Tapi kena mengharung sungai dulu. Lebar sungai Kg Simoi lebih kurang 80kaki dan 3 kaki dalam. Alhamdulillah semua powil dapat melintasi sungai dengan selamat.


Mula-mula cuak jugak...

Tak dalam pun...

Misi Ziarah Ramadhan Kelab Amal 4x4 tahun ini adalah untuk menziarahi beberapa keluarga mualaf Orang Asli di sekitar Pos Lenjang. Kampung Rakoh telah mempunyai sebuah surau yang dibina dari kayu kayan hutan dan berdindingkan buluh. Ada 10 keluarga yang telah memeluk Islam di kampung ini. Yayasan Khalifah, sebuah NGO yang banyak membuat usaha dakwah di kalangan Orang Asal, telah banyak berusaha mengajak orang-orang kampung ini memeluk Islam. Mereka juga telah mengusahakan untuk membina surau di Kg Rakoh ini. Walaupun ala kadar tapi amat bermakna kepada usaha dakwah. Khabarnya mereka akan membina surau baru yang lebih baik di atas tapak yang sama dengan prasarana yang cukup. Semuga dipermudahkan oleh Allah Azzawajalla.

Surau Kg Rakoh

Bahagian dalam surau Kg Rakoh. Lantai dinding

Muallaf Kg Rakoh mula memeluk agama Islam sejak 3 tahun lepas. Yaysan Khalifah telah memulakan misi dakwah di sana. Bila semakin ramai orang kampung masuk Islam, maka keperluan sebuah surau untuk kegunaan para muslim beribadat dan sebagai pusat mayarakat. Untuk itu Yayasan Khalifah telah mengupah orang kampung untuk membina sebuah surau sementara yang diperbuat dari buluh dan kayu kayan hutan. Maka terbinalah sebuah surau yang sederhana mengikut standet Pos Lenjang.

Setiba kami di Kg Rakoh lebih kurang pukul 12.30tghari, kami terus memasang khemah. Team Masak yang di ketuai oleh Abang Bun Bukit Gantang, pasang khemah untuk memasak. Pak Ak the Chef pun terus bersiap sedia dengan perkakas memasak. Cuaca di tengahari itu sangat panas. Sungai yang mengalir dengan air yang deras memukul batu-batu bongkah yang besar memberikan bunyi yang hingar tetapi menyenangkan. Bunyi air memang menenangkan jiwa, setiap kali.

Sungai Jelai Kecil - jeram yang deras dengan bongkah-bongkah batu, kombinasi yang sangat mengujakan bagi pemandi sungai tegar!



Anak-anak KOA bermain dan belajar tentang kehidupan

Geng Powil KL pun sibuk menyediakan khemah masing-masing.Hari itu pulak panas. Deruan bunyi air sungai seakan-akan mengajak kami yang kepanasan terjun menyejukkan badan.Tapi kerja harus disiapkan dulu. Makanan untuk berbuka mesti disiapkan cepat. Team masak Perak mula mengupas bawang dan sebagainya selepas khemah siap. Menu pertama untuk makanan berbuka ialah nasi minyak lauk daging masak korma dan untuk sahur pula Chef Pak Ak buat Ayam Masak Merah.
Hj Othman sempat berswafoto dengan Team Perak yang sedang mengupas untuk masak makanan berbuka dan sahur nanti

Petang itu aktiviti dibahagikan kepada memasak, acara kanak-kanak dan lepak santai bersama orang-orang kampung. Cikgu Hafizal dan team Help Project seperti biasa giat mengajar dan melayan anak-anak Orang Asli tentang penjagaan diri dan kebersihan. Ahli-ahli ekspidisi yang pula berlepak santai dengan Tok Batin dan orang-orang kampung. Orang-orang Asli di sini adalah dari Kaum Semai. Mereka sangat menghormati tetamu dan berperwatakan lembut dan santun. Mereka mempunyai dialek sendiri tetapi hampir semua mereka boleh bertutur bahasa Melayu.
Program mewarna bagi anak-anak KOA. Mereka sungguh teruja dengan permainana dan pelajaran santai yang mereka sertai.

Petang juga bermakna masa untuk mandi sungai. Air Sungai Jelai Kecil yang mengalir di hujung kampung yang sejuk. Sungai ini yang lebih sesuai di panggil jeram kerana mempunyai banyak bongkah-bongkah batu granit yang besar-besar berselerakan di dalam sungai. Ada bahagian-bahagian sungai yang dalam berlubuk dan ada bahagian yang dengkat. Air sungai ini agak deras dan menjadi sangat deras dan berbahaya di celah-celah bongkah batu yang sempit. Jika tidak berhati-hati semasa mandi-manda boleh menyebabkan kita hanyut dibawa oleh arus deras.

Penulis sendiri ada sekali tergelincir semasa memijak bebatuan yang licin dan hampir ditarik arus deras. Nasib baik penulis sempat berpaut pada sebuah bongkah yang berdekatan. Kalau tidak mungkin penulis tak sempat menukilkan kisah ini. Walaupun penulis reti berenang, keadaan arus begitu deras boleh saja menenggelamkan seorang perenang olimpik.

Sungai adalah sumber air dan makanan (ikan) kepada kaum Orang Asli dan kebanyakan kampung-kampung Orang Asli dibina di tepi-tepi sungai. Sungai Jelai Kecil ini mempunyai lebih kurang 20 buah kampung dibina di belah kiri atau kanan sungai ini.


Amaran: Jangan  main mercun!!

Ziarah Ramadhan ke Kg Rakoh seterusnya direalisasikan dengan program berbuka puasa bersama-sama dengan muallaf kampung ini. Ada 48 rumah di kampung ini dan setakat ziarah ini, 10 keluarga telah memeluk Islam. Kebanyakan kaum Semai di Pos Lenjang masih menganut agama nenek moyang mereka. Ada juga yang telah memeluk agama Kristian hasil usaha "missionary"yang telah awal lagi menjejakkan kaki mereka di sini.

Senarai muallaf Kg Rakoh yang dipamirkan di dinding surau.


Selepas berbuka dan solat maghrib, kami makan malam bersama para muallaf. Kanak-kanak telah diberikan makan awal lagi. Selepas makan kami berborak santai saja dengan ahli kariah surau. En Azami, ketua orang-orang Islam Kg Rakoh duduk bersembang bersama kami menceritakan hal ehwal kampung dan keadaan Islam di kampungnya.

Rata-rata kefahaman Islam masih lagi lemah. Kelab Amal 4x4 sedang mencari seorang da'i yang sanggup tinggal di kampung ini untuk mengajar penduduk Islam tentang agama yang baru mereka anuti. Peruntukan bulanan telah ada orang yang sanggup menajanya tapi orang yang sanggup tinggal di sini sahaja yang masih belum ada. Maklumlah hidup dalam hutan yang jauh dari tamadun 4G dan internet.

Setakat artikel ini ditulis kami masih lagi mencari seorang da'i yang sanggup duduk mengajar orang-orang Kg. Rakoh.

Selepas solat Isyak dan teraweh malam itu sahabat-sahabat Help Project buat program santai, wayang pacak, untuk orang-orang kampung

Alhamdulillah, team muslimat dan Yayasan Khalifah beruntung dapat menshahadahkan seorang penduduk pada malam itu.

Dalam perjalaann balik kami keesokannya licin sahaja kecuali 2 buah powil terlajak baik ikut Pos Betau yang membawa mereka keluar melalui simpang ke Sg Koyan. Patutlah kami lama menunggu di Kg Simoi., tak kunjung-kunjung tiba. Rupa-rupanya mereka telah terus lajakan mereka ke Pos Betau. Terima kasih kepada anak Tok Batin Kg Simoi, yang tolong menurut mereka dengan motorsikal diperjalanan ke Pos Betau. Oleh kerana mereka telah agak jauh melimpasi simpai ke Kg Simoi, mereka memutuskan untuk teruskan saja keluar melalui Pos Betau.

Tok Batin Kg Simoi, Bah Jong, sangat ramah melayan Sheikh Sambal dan Hj Zamri berborak mengenai kawasan pos dan kehidupan penduduknya. Sejak pencen dari bekerja di jabatan pemetaan, beliau telah dilantik menjadi tok batin di Kg Simoi ini. Agak menarik, Tok Batin Bah Jong mempunyai iras-iras arwah Mohammad Ali bekas juara tinju dunia. Beliau agak kritis dengan ahli politik tempatan yang banyak menabur janji. Jaga-jaga ahli politik di Dun dan Parlimen sini, pengundi-pengundi kamu mahu mengajar kamu tentang janji.

Hj Zamri , Tok Batin Bah Jong & SS berbual santai sambil menunggu berita tentang 2 powil yang terlajak simpang. 
Ada satu permintaan Tok Batin Bah Jong yang memeranjatkan kami. Beliau meminta dibina sebuah surau di kampungnya kerana telah ada sebuah gereja di situ.Walaupun beliau dan anak-anak buahnya belum memeluk Islam, beliau menimbangi pengaruh Kristian di kampunya. Tok Batin ini amat senang dengan kedatangan orang-orang Islam dan mempunya anak angkat seorang ustaz yang kerap datang singgah menziarahinya. Semuga Allah memberikan hidayah kepada beliau dan anak-anak buahnya dan semuga sebuah surau dapat di bina di sana. Amiin.

Program akan datang adalah Program Korban di Kg Rakoh ini. Sebagai kampung angkat kepadaKelab Amal 4x4 di Pos Lenjang ini, segala aktiviti ziarah dakwah kelab akan bertapak dari Kg Rakoh.

Kami amat-amat mengalu-alukan sumbangan berbentuk apa saja daripada para dermawan untuk menjayakan berbagai program Kelab Amal 4x4 dan ziarah ukhuwah & dakwah Kelab Amal 4x4 di KOA seluruh negara.

Sumbangan bolehlah di masukkan ke dalam akaun:-
1. Tabung Amal Maybank 5621 0662 9999
2. Tabung Amal Bank Islam 1203 8010 1132 24


Sila like FB page kami di https://www.facebook.com/Kelab-AMAL-4x4-232789406737556/

Juga page perniagaan kami di  https://www.facebook.com/odor4x4/  dan https://www.facebook.com/Zero-Carbon-Sg-Buloh-076-7279698139099288/

Anda juga boleh melawat blog Kelab Amal 4x4 di https://kelabamal4x4.blogspot.my


Sekian . Wasalam.

Sheikh Sambal.




22 February 2012

Catatan Ziarah Ukhwah Sempena Sambutan MaulidurRasul s.a.w 1433H (4-6 Feb 2012)

Safar Bermula
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak telah sekali lagi mengadakan  Ziarah Da’awah Ukhwah fillah ke atas Saudara Kita di Kampung Nur Azhar,  Ulu Kota, Pakan.  Satu rombongan dengan menaiki sebuah Kenderaan 4WD  yang diketui oleh Timbalan Pengerusi YAM Sarawak, Saudara Mohd Ali Murad dan disertai oleh Akhi Zahin (Miri), Ustaz Fadzli (Sibu) dan Akhi (Dr/Ustaz)Nuzul (Kuching)
Perjalanan dari Miri bermula pada pukul 7.23pg. Singgah di Bintulu jam 10pg untuk berjumpa dengan Pengerusi Amal Sarawak Ustaz Ibrahim untuk taklimat safar kali ini dan mengambil sumbangan pakaian untuk diagihkan kepada orang-orang Islam Ulu Kota dan Pakan nanti.

Alhamdulillah cuaca amat baik. Sepanjang perjalanan tiada hujan tetapi banyak kali Akhi Zahin yang memandu terpaksa mengelak lubang dan tampalan jalan yang teruk. Jalanraya antara Bintulu dan Sibu sangat menyedihkan. Ia tidak menggambarkan lansung negeri Sarawak yang kaya raya dengan hasil bumi ini.

Kami tidak singgah mana-mana, hatta untuk mengisi perut sekali pun kerna waktu hampir pukul 2ptg tatkala  kami tiba di Sibu. Destinasi kami, Sarikei hanya 40minit saja dari Sibu jika ikut Jambatan Tol Lanang (ya! di Sarawak pun ada TOL).

Sampai di Sarikei
Kereta  4WD kami sampai tepat pukul 3.23ptg dipinggiran Sarikei. Ustaz Fadzli telah pun lama menunggu di Pejabat Hikmah Sarikei. Bekalan ayam dan ikan untuk dibuat kenduri Maulud Nabi telah pun dibeli, cuma menunggu kami sampai sahaja.

Saudara Zahin mencadangkan agar kami berdua makan tengahari dahulu. Ustaz Fadzli dah makan, jadi kami berdua sahaja pergi menjamu selera di ‘Foodcourt’ atas Pasar Tamu Sarikei, tempat kami sering makan bila singgah di bandar pinggiran Batang Rejang ini.

Saudara Nuzul dari Kuching dijangka sampai pada pukul 5ptg. Jadi selepas makan tengahari (makan petang sebenarnya) kami pun pergi ke pasar untuk menggambil dan membayar ayam dan ikan yang ditempah oleh Ustaz Fadzli dan juga membeli bekalan lain untuk urusan makan minum di Ulu Kota dan di Rh Julin nanti.

Cuaca Bertukar
Cuaca terang benderang semasa kami dalam perjalan ke Sarikei telah mula bertukar rupa. Awan hitam makin pekat dilangit Sarikei. Ustaz Nuzul masih dalam perjalanan dari Kuching. Pukul 4.17ptg beliau masih di Simanggang. Memang pukul 5ptg lah beliau sampai. Mahu tidak mahu terpaksalah kami menunggu beliau dan sementara itu hujan pun turun dengan lebatnya di Bandar Sarikei.

Perasaan risau mula menghantui lubuk fikiran kami. Kalau hujan begitu lebat  memang tak dapat naik ke Ulu Kota seperti perancangan, iaitu pergi Ulu Kota tidur semalam di sana – ceramah Maulidur Rasul dan keesokan harinya baru pergi ke Rumah Julin @ Zulkarnain. Semasa menungu Sheikh Nuzul, Ustaz Fadzli membeli barang-barang keperluan untuk makan maulud malam nanti.

Hujan pun turun selebat-lebatnya, Selepas mengisi minyak kereta, Sheikh Nuzul pun sampai. Rupanya beliau datang seorang sahaja. Saudara Abd Rahman Kuching tak jadi datang. Ada hal penting pada minit akhir. Itulah namanya ketentuan Allah. Ada orang mahu datang tak dapat tapi yang tak terfikir nak datang sampai pula.

Berlumba Dengan Angin
Kami teruskan perjalanan ke arah Pakan. Angin pula kencang bertiup membawa awan mengarah ke Pakan. Hujan lebat mencurah-curah agak mengahalang pemandangan. Seribu doa dapanjatkan dalam hati masing-masing minta dimudahkan perjalanan. Dari pengalaman yang lepas-lepas, hujan lebat begitu memang mustahil dapat digagahi Bukit Amal @ Alum yang curam. 4WD berbunga OFFROAD pun tak dapat naik inikan pula tayar berbunga pekan seperti ‘kuda perang’pinjam kami ni.

Semakin dekat pekan Pakan hujan semakin ringan. Suasana kering sahaja bila tiba di Pakan. Hati kami sedikit gembira tetapi tetap ada sedikit gusar kerana awan hitam berarak laju ke arah tuju yang sama. Kami singgah di Pakan untuk membeli beberapa keperluan dapur yang tak sempat dibeli di Sarikei tadi.
Nuzul yang memandu kereta Unser dari Kucing kelihatan bersemangat dan gembira. Setelah berbasa basi beliau terus memunggah barang-barang sumbangan dari Kuching untuk diagihkan kepada para Muallaf Ulu Kota dan Rumah Julin, Sungai Amut Pakan.

Masuk ke Ulu
Kami bergabung dalam satu kereta dan kereta Unser Sheikh Nuzul ditinggalkan di Pakan. Nasihat sahabat elok kereta ditinggalkan di Balai Polis Pakan atau di laman rumah penghulu, tetapi selepas beberapa kali pusing tak jumpa kereta pun diparkir saja didepan kedai. Kata pekedai di situ, kereta tu selamat tak ada siapa pun akan usik. Memandangkan hujan dah mula lebat pula di Pakan ini, maka kami pun meninggalkan kereta yang dibawa Sheikh Nuzul di depan kedai tempat kami membeli barang dapur dan jajan.

Hujan lebat seperti mengekori kami. Tak sampai 15minit kami di Pakan, awan Kumulus Nimbus yang berarak ditiup angin kencang ke arah Pakan mula membaraikan kandungannya. Kereta  Pacuan 4Roda yang diinfaqkan oleh Sheikh Muhtar Suhaili untuk program ziarah kali ini meluncur laju membelah Pakan.  Doa tidak henti-henti dipanjakkan kepada Ilahi agar memudahkan safar kami. Langit yang pekat mendung hitam seperti mahu menghimpap kereta dalam hujan lebat yang membingitkan.

Pertolongan  Allah
Makin jauh kami masuk ke ulu makin kurang awan hitam dan hujan, namun kelihatan di langit gerakan awan laju berarak. Sampai di simpang Rh Julin, hujan tiada lagi. Lalu kami teruskan perjalanan ke Kampung Nur Azhar, Ulu Kota. Alhamdulillah, berkat doa sahabat agar perjalanan kami dimudahkan, rupa-rupanya yang nampak seperti rekahan terang dari gerombolan awan hitam pekat di ufuk langit tadi, itulah Ulu Kota. Jalan balak yang kami lalui kering dan baru di’grader’.  Pemanduan  mudah dan selamat. Alhamdulillah.....

Sampai di Bukit Amal @ Alum, kami tidak berhenti seperti kebiasaan. Takut juga kalau berhenti, awan yang kami tinggalkan tadi akan sampai pula. Syukur kepada Allah lebih kurang waktu maghrib kami pun sampai di Surau AMAL Al Azhar, Ulu Kota.

Berprogram di Kpg Nur Azhar, Ulu Kota
Tuai Azhar yang telah menunggu sejak pagi tadi bersama-sama anak-anak buahnya  kelihatan lega. Beliau bimbang kalau apa-apa berlaku kerana kami sepatutnya sampai sejak Asar tadi. Beliau amat bersyukur kerana rombongan kami selamat sampai ke kampung beliau.
Ceramah Maulidirrasul oleh Usaz Nuzul dari YAM, Unit Kucing 
Selepas Solat Maghrib yang dijamakkan sekali  Solat Ishak, Ust Nuzul telah memberikankan Ceramah MaulidurRasul sempena sambutan maulud Nabi keesokan hari. Beliau menceritakan semula sirah Nabi Muhammad dari hari kelahirannya sehingga beliau dilantik jadi Nabi dan Rasul dan seterusnya berhijrah ke Yathrib untuk mendirikan Negara Islam, Madinah.
 Selepas ceramah, mesuarat pendek dibuat untuk membincangan aktiviti di Rh Julin esoknya.  Rombongan diputuskan untuk bergerak ke Rumah Julin selepas zohor jika cuaca baik. Jika Nampak hari macam nak hujan, akan pergi lebih awal.
Selepas ceramah Ustaz/Dr (H) Nuzul buka klinik pula. Beliau sangat popular di Ulu Kota. “ngececk darraahh meh ....”
Selepas makan malam, kami beramah mesra dengan penduduk kampung. Ustaz Nuzul yang juga seorang pengamal rawatan Alternatif Hemeopathy, merawat orang yang datang untuk berubat. Penduduk rumah panjang Bandok (rumah panjang asal penduduk kampung Nur Azhar) ada juga yang datang menziarahi rombongan kami. Memang begitulah selalunya. Bila mereka mendengar ada orang luar datang, terutamanya dari Yayasan Amal, mereka akan datang untuk berjumpa kami walaupun mereka belum memeluk agama Islam lagi. Semuga Allah memberi mereka hidayah dari minat yang mereka tunjukkan
Suasana hening dipagi Ulu Kota ; mentari mula menyinsing memukau indah. 
Esok paginya, Ahad  5 Feb 2012 bersamaan 12 Rabiul Awal 1433, kami mengadakan gotong royong mengangkat pasir dari anak sungai berdekatan. Pasir itu nak digunakan untuk membuat ‘pavement’ jalan naik ke surau. Kalau dah siap nanti tidaklah licin lagi jalan naik ke surau jika hari hujan.

Mengaut pasir anak sungai untuk membuat jalan simen naik ke Surau Amal Al Azhar 

Berposing dengan Abu Bakar, muslimin termuda di Ulu Kota 
Anak sungai yang berbatu kerikil dan berpasir...jernih dan bersih dari pencemaran.Kolam dibina untuk kemudahan penduduk kampung mandi dan membasuh pakaian...

Beli Tanah Untuk Pindahkan Rumah Dari Lereng Bukit
Malam sebelumnya juga diadakan perbincangan berkenaan pembelian tanah untuk membesarkan Kampung Nur Azhar. Rumah-rumah penduduk sekarang semuanya dibina di lereng bukit. Keadaan ini sangat merbahaya terutamanya pada musim hujan. Sebahagian dari rumah panjang mini 5 pintu yang dibina dengan biaya YADIM telah mula menunjukkan runtuhan tanah. Jika rumah ini tidak dipindahkan, kita risau sesuatu boleh berlaku dan menyebabkan malapetaka.
Tanah yang  hendak dibeli. .
Kanan: Kelihatan Tanah dah mula meruntuh rumah di sebelah tepi panjang kampung Nur Azhar, bertambah bahaya bila hujan
Cadangan tanah yang hendak dibeli adalah tanah ayah kepada salah seorang muallaf di sini, iaitu ayah kepada Saudara Musa, Apai Musa. Beliau pernah menyatakan hasrat untuk menjual tanah tersebut. Olehkerana kekangan kewangan Tuai Azhar tidak dapat membelinya.









Setelah berbincang, YAM Sarawak bersetuju untuk membeli tanah tersebut dan mewakafkannya untuk digunakn sebagai tambahan kepada kawasan kampung. Untuk tujuan itu, kami menghantar Ustaz Fadzli dan Tuai Azhar disertai juga oleh Tim. Pengerusi AMAL Sarawak,  untuk berunding dengan tuan tanah Apai Musa. Lawatan tapak juga dibuat pada masa yang sama. Selepas berunding panjang dengan Apai Musa, harga tanah itu pun dipersetujui. Apai Musa setuju untuk menjual tanahnya yang seluas 3 ekar lebih itu pada harga yang sangat berpatutan. Ia seperti infaq Apai Musa lah kepada kampung.

Tanah NCR memang murah tetapi tidak boleh dibeli oleh orang luar terutamanya orang Semenanjung. Hanya untuk orang Sarawak sahaja. Cara jual beli pun dengan surat dari Ketua Kampung yang mengesahkan transaksi dan tuan tanah yang baru.

(AMAL Sarawak sekarang membuka tawaran waqaf sebanyak 20 bahagian dengan RM500/bahagian, kepada sesiapa yang berminat nak beramal jariah bolehlah menghubungi Yayasan AMAL Malaysia (Sarawak). Duit yang terkumpul akan digunakan untuk membeli dan memajukan tanah tersebut , Rujuk AMAL Sarawak)

Meneruskan Ziarah Ke Rumah Julin @ Zulkarnain
Selepas selesai memeriksa tanah yang hendak dibeli dan berunding dengan Apai Musa, kami terus bersiap-siap untuk bertolak ke Rumah Julin kerana langit mula menggelap. Takut kalau hujan turun kereta tak dapat mendaki sebab jalan licin. Hati bertambah risau bila rintik-rintik hujan mula jatuh padahal kami baru nak berkemas.

Tak sampai 5 minit hujan pun turun selebat-lebatnya. Saling berpandangan kami pun letak semula beg dan duduk semula menunggu hujan berhenti. Sambil Akhi Zahin mengambil gambar Ulu Kota dalam hujan, Ustaz Fadzli mengesyorkan kalau tak dapat pergi hari itu, kami masih ada lagi sehari untuk ke sana. Yang penting kita bersyukur kerana hujan adalah rahmat Allah.

Alhamdulillah, selepas setengah jam hujan turun, ia pun berhenti dan matahari keluar semula menghangatkan suasana. Tak sampai satu jam jalan pun kering semula. Kami pun bersiap untuk bertolak ke Rh Julin. Ucapan selamat tinggal dan pesanan akhir pun diberi kepada ahli kariah Surau Amal Al Azhar. Sungguh pun dah beberapa kali kami berziarah ke sini, perpisahan masih terasa sayu di hati. Semuga Allah kurniakan lagi rezeki untuk kami berukhwah dengan para muallaf di sini.

Rumah Julin @ Zulkarnain
Perjalanan ke Rh Julin berjalan lancar. Hari panas yang menyengat meruntun rasa kesian pula kepada Tuai Azhar dan Ismail yang duduk di belakang pick-up. Tuai Azhar gunakan kanvas penutup  sebagai pelindung dari panas terik mentari. Ismail koboi jer, memang dia selamba sahaja menahan panas. Jalan sedikit lembat dek hujan tadi tetapi tidak licin. Bagus juga begitu kerana habut tidak naik melempias bila dilalui kereta.

Tak sampai satu jam kami pun sampai di simpang  ke Rh Julin tetapi perjalanan diteruskan ke pekan Pakan kerana semalam kami lupa untuk membeli bekalan minyak disel. Kita tak mahu kedatangan kita menyusahkan mereka yang baru masuk Islam itu. Setelah membeli tong gelen dan membasahkan tekak dengan air tin di Iban Cafe, kami pun bergegas ke kedai Penghulu yang menjual minyak disel. Harga disel di sini lebih mahal dari Sarikei sebab tiada stesen minyak yang biasa seperti Shell atau Petronas. Kedai Penghulu itulah satu-satunya tempat menjual minyak di Pakan, maka sebab itulah dia mahal. Pandai penghulu ni berniaga.

Saudara Kita Ulu Kota; dari kiri, Tuai Azhar, Ismail, Jeffery dan Abd Rahman. Jeffery dan Abd Rahman adalah bekas pelajar Pusat Dakwah Serantau, Bangi.

Dalam perjalan ke Rh Julin kami singgah di Rh Entingi untuk menjemput Tuai Julin yang bekerja menebang pokok dengan saudaranya di situ.  Kami sampai di Rumah Julin lebih kurang pukul 1.30pm. Seperti biasa Orang Iban yang amat ramah menyambut kami dengan gembira. Bahkan mereka komplen kerana tak datang awal lagi kerana musim durian dah di penghujungnya. Pakan memang terkenal dengan durian. Bahkan maskot pekan itu pun Buah Durian besar yang dibina di persimpangan masuk pekan itu.

Anak Tuai Azhar, Jeffry dan sepupunya Abdul Rahman datang juga ke Rh Julin dengan menaiki motosikal. Dua pendakwah muda graduan Pusat Dakwah Serantau (PDS) ini amat bersemangat untuk mengembangkan Islam di kalangan kaum Iban mereka. Berkat usaha mereka jugalah ramai ahli Rh Julin masuk Islam.

Kanak-kanak ini amat dahagakan ilmu. Sedang mengajar baca Al Fatihah.

Rumah Julin adalah sebuah rumah panjang 7 pintu. Ia adalah serpihan dari rumah panjang yang lebih besar dan tua tidak jauh dari situ. Tidak diketahui mengapa mereka berpecah tetapi Tuai Julin dan anak-anaknya telah berpindah dan mendirikan rumah panjang mereka sendiri di pinggir Sungai Amut. Semua anak-anak Tuai Julin dah berkahwin dan mereka menyambung rumah panjang itu. Bila cucu-cucu Tuai Julin berkahwin pula nanti mereka juga akan menyambung dan menambah satu lagi pintu untuk setiap keluarga baru.

Dari 7 pintu itu, 4 pintu telah mengucap dua kalimah shahadah. Pengislaman telah dilakukan oleh pegawai JAIS yang datang ke sana. Unit Saudara Kita (USK) juga sudah 2 kali datang berziarah ke sana. Walaupun begitu mereka masih terlalu baru dan belum mengatahui seluk beluk agama Islam. Belum ada yang tau bersolat dan bacaan kalimah pun masih belum betul. Anjing masih berkeliaran di ruai.

Surau Amal Zulkarnain

Inilah tugas kita untuk mengajar mereka. Ilmu sangat diperlukan di sini. Atas keperluan inilah Yayasan Amal Malaysia (YAM) pusat memperuntukan RM30k untuk membina surau di Rh Julin ini. Salah satu tujuan kedatangan kami ke sini ialah untuk berunding berkenaan pembinaan surau tersebut. Siap nanti surau ini akan dikenali sebagai Surau AMAL Zulkarnain. Ia akan menjadi pusat ilmu untuk penduduk sekitar Sg Amut dan Pakan.
Berunding dengan Tuai Julin@Zulkarnain (3 dari kiri) dan Ngadan@ Mohd Safar (baju putih kanan sekali) 


                              
Tapak cadangan pembinaan Surau Amal Zulkarnain   

Kebun lada hitam kepunyaan Tuai Julin yang di waqafkan untuk surau. 

Setelah berbincang dengan Tuai Julin, Ustaz Fadzli dan Tuai Azhar, YAM (Sarawak) selaku pemegang amanah bersetuju untuk melantik  Mohd Safar @ Ngadan Ak Julin sebagai kontraktor pembinaan surau ini. Kontrak ini hanyalah upah membina manakala segala bahan-bahan binaan akan dibeli oleh YAM.
                             
Penyerahan kontrak upah membina dan menyiapkan Surau Amal  Zulkarnain
Pecah tanah oleh wakil Yayasan Amal Malaysia dan Tuai Julin @ Zulkarnain
Majlis menandatangi kontrak dilakukan pada sebelah malam dan majlis pecah tanah pula dilakukan pada pagi Isnin sebelum rombongan YAM balik.

Durian Pakan - kuning dan lazat
Durian Pakan
          
Satu keistimewaan Pakan ialah duriannya. Pakan ialah nama sejenis durian yang berasal dari Pakan. Warnanya sangat kuning dan sangat sedap! Semasa kami berandau di ruai Rh Julin sambil berbincang soal surau dan kontrak pembinaan, kami dijamu dengan durian pakan dan juga kampung. Walaupun dah di hujung musim, durian yang dijamu boleh tahan banyaknya. Bayangkan kalaulah kami datang sebulan sebelum, dah tentu santak makan durian saja. Isinya sedikt nipis tapi warna nya kuning bak durian tembaga.


Sambil ’berandau’ di ruai makan durian pakan...sungguh mulia sifat memuliakan tetamu orang-orang Iban.

Berangkat Pulang
Kedatangan kami ke Rh Julin selain dari ziarah ukhwah dan dakwah, adalah untuk mengatur pembinaan surau di sana. Objektif perlantikan kontraktor dan mengadakan perasmian pecah tanah sudah pun tercapai. Oleh kerana cuti hanya sehari, maka kami perlu berangkat pagi Isnin  untuk sampai di Miri dan Kucing dalam hari masih siang.
Foto kenang-kenangan bersama dengan ahli Rh Julin  
Sebelum bertolak pulang kami tak melepaskan peluang untuk mengambil gambar kenang-kenangan. Selepas mengucapkan selamat dan bersalaman dgn penduduk Rh Julin, kami pun berangkat pulang. Azam kami akan datang lagi untuk berandau (berbual mesra) dan bergulai (beramah mesra) bersama kaum Iban yang sangat baik budi dan sangat menghormati tetamu. Walaupun baru berkenalan rasa ukhwah amat terasa. Seguni buah embang dan beberapa kontena tapawey tempoyak diberikan oleh Kakak Ngadan. Terima kasih banyak-banyak.



 “Kak datai baru”



Mohd Ali Bin Murad
Timbalan Pengerusi YAM (Sarawak)

19 February 2012

Tipu Daya Jin Untuk Menyesatkan Manusia





Asalamualaikum semua,

Ketahuilah makhluk jin tak boleh dipercayai 100%, lebih2 lagi yang suka mengganggu orang. Kalau manusia suka menipu, jin yang tak nampak tu lagilah kuat tipu. Sebab dia halimunan dari pandangan kita maka amat senanglah dia menipu kita.

Begitu juga dengan kerja keji titnah memfitnah. Ia adalah mainan syaitan dari golongan jin dan juga manusia. Syaitan tidak mahu orang Islam hidup aman damai. Lebih-lebih lagi pada golongan orang yang mahu menegakkan Islam di muka bumi ini.

Syaitan ini akan cuba sedaya upaya menipu dan berhelah untuk memecah-belahkan ukhwah dan kasih sayang manusia. Salah satu cara syaitan jin ini menghuru-harakan silaturrahim manusia ialah dengan merasuk dan mengaku dia adalah belaan si fulan si fulan.

Kalau Johan Raja Lawak boleh meniru gaya cakap dan lengok bahasa Dato' Fadzilah Kamsah, syaitan jin ini apa lagi!! Olehitu janganlah mudah mempercayai kata-kata jin jahat ini. Sesungguhnya dia hanya mahu hubungan manusia rosak. Biar manusia saling tuduh menuduh dengan dendam kesumat. Jemaah Islam akan punah kalau kita mudah termakan tipu daya mereka. Kalau tidak berhati-hati iman pun boleh terjunam. Itulah yang dikehendaki oleh jin syaitan ini.

Kuat pertahanan diri dengan quran dan zikir. Jangan sekali-kali percaya dengan kata-kata yang keluar dari jin jahat itu. Amalkan zikir al mathurat pagi dan petang. Mintalah perlinduingan dari Allah sentiasa.

Semuga kita semua selamat dari gangguan dan tipu helah golongan jin jahat ini.

Wasalam.

Sheikh Sambal

26 December 2011

Ziarah Da'awah ke Ulu Kota Siri - 9

Berikut adalah laporan ziarah da'awah YAM Cwg Sarawak yang ditulis dalam dua bahagian. Pertama oleh Zahin Razak yang melaporkan tentang aktiviti yang dijalankan semasa berada di Kpg Nur Azhar, Ulu Kota. Manakala laporan yang kedua disediakan oleh Uhkti Hakimah Mohammad yang berkisar tentang aktiviti muslimat dalam ziarah da'awah Siri ke-9 ini.

Sheikh Sambal.

Ziarah AMAL ke Ulu Kota, Pakan, Sarikei
oleh Zahin Razak

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala kekuatan dan keinginan untuk terus berjalan di atas muka bumi diberikan kepada hamba-hambanya yang rela berkorban tenaga, masa dan harta dalam menyebarkan dakwah.



Para Mujahid AMAL sedang bersiap untuk bernujahadah ke Ulu Kota, Pakan

Segala puji bagi Allah, Ziarah AMAL ke Ulu Kota, Pakan kali ini adalah misi ziarah kali ke-10 anjuran Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak. Dengan ahli ziarah seramai 13 orang, kami menuju ke destinasi yang dituju. Perjalanan yang panjang bermula pada hari Jumaat, 25 November 2011 pada jam 8.15 malam. Kami berkumpul di Masjid Al-Ehsan, Piasau untuk solat maghrib dan Isya’ terlebih dahulu.  Saudara Ali bin Murad selaku Amir Zairah memberi sedikit taklimat dan taujihad dan bacaan doa diketuai Ustadz Al-Amin bin Daud, Pegawai Agama PETRONAS Carigali, Sarawak Operation. Kami berangkat dengan 4 buah kenderaan termasuk 3 pacuan empat roda.
Berhenti di BIC (Bintulu Iqra' Centre) makan malam pukul 11.30pm







Suadara Addy, pemandu 4WD import. Dalam perjalanan ke Sarikei, berhenti  rehat di  restoran sebelum simpang Mukah.
Pada jam 11.30 malam, kami tiba di IQRA’ Center Bintulu untuk berehat sebentar sambil menjamu makan malam kami. Selesai makan, Ustad menyampaikan sedikit sumbangan dari IQRA Center. Perjalanan kami diteruskan menuju ke daerah Sarikei. Tepat waktu Subuh, kami tiba di Masjid al-Muttaqin Sarikei. Selepas menunaikan solat fardhu Subuh, kami mencuri sedikit masa untuk menhilangkan penat selepas hampir 6 jam perjalanan. Pada jam 7.30 pagi, kami mengadakan sedikit perbincangan mengenai perjalan kami seterusnya. Turut bersama dalm perbincangan itu ialah Ust. Fadhli selaku orang yang sangat berpengalaman dalam misi-misi dakwah di Sarawak. Ust fadhli merupakan seorang Pegawai Agama dalam HIKMAH. Turut bersama adalah En. Azhar bin Abdullah selaku Tuai Rumah, Perkampungan Nur Al-Azhar. Beberapa perancangan telah dijalankan utntuk memastikan perjalanan kami sepanjang hari berjalan lancar.
Beli ayam segar di Pasar Basah Sarikei utk buat kenduri di Ulu  Kota
Selepas selesai perbincangan ringkas kami, kami meneruskan perjalanan. Namun sebelum kami sampai ke destinasi sebenar kami iaitu Ulu Kota, Pakan, kami singgah sebentar di Pasar Sunagi Rejang untuk membeli bekalan makanan utama seperti ayam dan beberapa bahan lain. Kami meneruskan perjalana kami terus ke Ulu Kota. Tiba di Pakan dalam pukul 10 pagi. Alhamdulillah, dengan kemampuan kenderaan pacuan 4 roda, kami berjaya mandaki dan menuruni  beberapa bukit yang curam dan merbahaya.


Jalan ke Ulu Kota melalui kem balak...semakin kecik saiz pokok balak yg ditebang. Banyak hutan  kena tarah  hidup  penduduk semakin parah.



Tetapi ganjaran yang diterima sangat berbaloi. Kami sempat berhenti di puncak bukit dan kami dihidangkan dengan pemandangan yang sangat cantik. Subhanallah, Maha Suci Allah yang menciptakan langit dan bumi dengan sangat indah.
Pemandangan di Tanah Tinggi Ulu Kota, Pakan...segala penat lelah perjalanan yang mencabar berbaloi dengan suasana alam sekeliling yang indah.
Surau AMAL Al-Azhar, Ulu Kotan, Pakan., azan bergema di tengah hutan


Alhamdulillah kami tiba di Perkampungan Nur Al-Azhar pada jam 12 tengah hari. Perkara pertama yang kami lakukan adalah menurunkan semua muatan yang kami bawa dari Miri dan beberapa tempat lain termasuklah tong cat, bekalan makanan dan sumbangan pakaian. Kehadiran kami disambut ramah oleh penduduk perkampungan ini. Kepada yang baru pertama kali tiba di sini, sempat juga berkenalan secara ringkas dengan penduduk kampung. 


Muslimat Yayasan Amal sedang beramah mesra bersama dengan  muslimat tempatan Kampung Nur Azhar, Ulu Kota



Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.. para muslimat sedang bergotong royong memasak untuk makan kenduri.
Kemudian kami mengadakan aktiviti memasak beramai-ramai yang dikendalikan oleh penduduk kampung wanita dan dibantu oleh beberapa peserta ziarah. Menu yang dicadangkan mudah, sup ayam dan sayur goreng. Masa yang diambil tidaklah lama untuk menyiapkan hidangan apabila kerja-kerja memasak dilakukan bersama-sama. Dengan sedikit rezeki yang Allah beri kepada kami, kami dapat menikati makanan yang lazat tambahan pula dimasak oleh penduduk kampung di sini. Semau aktiviti memasak dijalankan di kawasan Surau AMAL Al-Azhar.  Selesai menjamu selera, kami bersiap-siap mendirikan solat secara berjemaah. Selepas solat, kami dibawa berjalan-jalan sekitar kawasan perkampungan. Di sini terdapat 6 biji rumah dan kebanyakannya adalah ahli kaum keluarga En Azhar.


Bila kerja berjemaah, makan pun berjemaah juga, lebih berkat.
Di sebelah malam pula, kami mendengarkan tazkirah yang disampaikan oleh Ust Fadhli. Tazkirahnya disampaikan dalam bahasa Iban. Selepas itu majlis diambil alih oleh Ust Amin untuk majlis penyerahan sumbangan dari PETRONAS Carigali, Sarawak. Turut hadir bersama dalm majlis penyerahan sumbanagn ini adalah Tuai Rumah Julin dan anaknya. Selepas selesai majlis, kami dihidangkan dengan makan malam yang menyelerakan. Kemudian, kami sempat berborak panjang dengan penduduk kampung di sini. Ada yang mengambil peluang untuk mempelajari bahasa Iban.


Projek mengecat surau untuk para muslimin..
Warna baru utk Surau AMAL yang baru...



Keesokan harinya, kami menjalankan kerja gotong-royong di kawasan perkarangan surau termasuklah mengecat surau. Alhamdulillah, dengan kerjasama semua penduduk kampung, kerja-kerja mengecat tidak mengambil masa yang lama. Turut bersama kami ialah penduduk kampung yang belum menerima Islam. Kepenatan dan keletihan kami segera dapat dihilangkan selepas kami menjamu makan tengah hari. Alhamdulillah. Keesokan harinya ialah hari kami berangkat pulang ke Miri. Alhamdulillah banyak urusan dapat kami laksanakan sepanjang kami berada di sana. 

Rumusan Slot Bersama Muallaf Muslimat
oleh Hakimah Mohammad

Seramai 3 orang muslimat terlibat dalam ekspedisi Ziarah Amal kali ini, iaitu Mardhiah (ahli BAKIP, PETRONAS), Hasmawati (daripada Sarawak Shell Berhad) dan Hakimah (AJK Yayasan Amal Unit Miri).
Sepanjang program, muslimat banyak terlibat dengan aktiviti masak-memasak bersama para muslimat muallaf di samping beramah-mesra dan mendekati mereka.

Pengisian khas bersama muslimat saudara-saudara baru ini dibuat pada hari kedua ziarah, sementara para muslimin bergotong-royong mengecat Surau Al-Azhar. Pada jam 10 pagi, semua muallaf muslimat diajak untuk duduk bersama di ruang tamu Rumah Encik Azhar untuk slot pengisian  yang dikelolakan oleh Hakimah, Hasma dan Mardhiah.

Slot dimulakan dengan taaruf ringkas dan kata2 aluan. Seramai 10 orang muallaf yang bersama untuk slot itu, iaitu Makcik Supinah, Makcik Fatimah, Kak Syafiqah, Kak Noraini, Kak Aminah, Razziah, Asyikin, Maryam, Adik Baiyah dan Adik Fatimah. Hakimah memulakan pengisian dengan bertanya kepada hadirin tentang Rukun Islam dan Rukun Iman. Maryam dan Asyikin menjawab soalan dan membantu mengingatkan saudara-saudara yang lain tentang rukun-rukun tersebut. Hakimah menekankan kepentingan Rukun Islam dan Rukun Iman bagi seorang muslim dan kewajipan berpegang kepada kedua-dua rukun ini.

Slot kemudian diteruskan dengan pengisian fardhu ain yang menyentuh topik wudhu, tayammum, istinjak dan mandi wajib. Rukun-rukun dan cara-cara berwudhu dan bertayammum diajar dengan cara demonstrasi dengan bantuan daripada adik-adik. Kemudian mereka diajar tentang rukun-rukun dan cara-cara menunaikan solat. Demonstrasi solat dilakukan untuk memudahkan penerangan setiap rukun. Kemudian kami membincangkan perkara-perkara yang membatalkan wudhu dan solat. Kepentingan solat ditekankan berkali-kali kepada para muallaf dengan mengaitkan keperluan bergantung dan mengabdikan diri kepada Allah dalam kehidupan seharian.

Selepas itu, pengisian disambung dengan memeriksa bacaan Surah Al-Fatihah setiap orang. Bacaan Al-Fatihah diperdengarkan oleh mereka seorang demi seorang dan ulasan diberikan untuk motivasi dan penambahbaikan. Kemudian kami membahagikan mereka kepada 3 kumpulan kecil, mengikut tahap kelancaran bacaan masing-masing. Pendekatan yang diambil adalah dengan cara menghafal, melancarkan dan membetulkan bacaan yang salah.

Secara umumnya, adik-adik (Fatimah, Baiyah, Maryam dan Asyikin) kelihatan lebih mantap dari segi ilmu pengetahuan agama dan praktis kerana mereka mendapat pendidikan agama di sekolah masing-masing. Muallaf dewasa kelihatan masih belum mempunyai pengetahuan yang cukup jelas dan mantap tentang asas-asas fardhu ain dan masih perlu memperbaiki kelancaran dan ketepatan bacaan Al-Fatihah masing-masing. Makcik Supinah dan Makcik Fatimah sangat memerlukan perhatian kerana mereka langsung tidak dapat membaca Al-Fatihah. Namun, semasa sesi latihan hafalan dalam kumpulan, kedua-dua makcik ini dapat dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk belajar menyebut dan menghafal. Perasaan sebak tidak dapat ditahan apabila mendengar Makcik Supinah beriya-iya mengikut setiap ayat yang diperdengarkan walaupun banyak perkataan yang dituturkan tidak berjaya disebut dengan betul olehnya.

Pengisian diakhiri dengan menjawab sebarang persoalan daripada mereka dan memberikan kata-kata semangat kepada saudara-saudara baru ini untuk terus belajar walaupun secara perlahan-lahan mengikut tahap dan kemampuan masing-masing. Kami juga mencadangkan agar anak-anak yang mendapat pendidikan agama agar menolong ibu bapa dan nenek mereka dalam memahami dan melaksanakan ibadah seperti yang dituntut. Hafalan dan pelajaran akan lebih berkesan jika ada usaha yang berterusan, dan ini mungkin tidakk mampu dilakukan oleh sumber tenaga dari luar yang mempunyai limitasi untuk datang melakukan ziarah secara berkala.