Showing posts with label Tulisan Kreatif. Show all posts
Showing posts with label Tulisan Kreatif. Show all posts

17 April 2011

Hikayat Sheikh Sambal


Maka setelah seminggu Sheikh Sambal berkampung di Kota Kuching, maka berkemas-kemaslah dia untuk balik ke Uatara Negeri Kenyalang itu. Gegak gempitalah alam Kota bila mendapat berita bahawa Sheikh itu mahu pergi. Bertangisanlah segala soldadu dan dayang-dayang apabila mendapat berita itu. Maka disuruh oleh Sheikh itu bertenang lalu berhemahlah dia dengan mereka. Walaupun jerih berhempas pulas berperang melawan Sang Uban masih terasa, akan sheikh itu tiadalah sampai hatinya melihat para soldadu dan dayang-dayang itu bersedih hati. Setelah habis dipujuk dengan taujihah perjuangan, maka kembalilah mereka tenang dan sabar.

Setelah siap berkemas, maka dipanggilah orang menggangkat segala barang dan ghanimah yang dapat diangkut. Pada sheikh itu tiadalah gunanya semua itu kecuali mahu ia memberi hadiah kepada sanak saudara bila berjumpa dia nanti di Kota Minyak. Satu persatu barang disusun dengan zikrullah. Yang berat dengan Allahuakbar dan yang ringan dengan Alhamdulillah. Pada yang pelik rupanya dikirimkan Subhanallah pula.

Maka sibuklah sheikh itu memikirkan akan perihal perang yang baru berlalu. Kata pujangga, menang jadi arang, kalah jadi abu. Tetapi pada sheikh itu menanglah dia sentiasa kalaupun dilihat orang kalah pada zahirnya. Bahawa para mujahid sentiasa saja menang dia disisi Allah. Tiada arang atau abu, kecuali mendapat pahalah semuanya di sisi Tuhan Azza Wajalla. Tiada Tuhan itu melihat akan menang atau kalah tetapi dilihatnya daya usaha dan ikhlas manusia. Pada sheikh itu tersa ia sebak dalam dada. Muhasabahlah ia akan dirinya, di manakah letak ikhlasnya. Lalu bersyukurlah dia memuji akan Tuhan kerana masih ia dapat bernafas dan dengan segala ni'mat yang ada padanya.

Sabar. Itulah kalimat yang tersebut apabila sheikh itu terkenang akan musibah yang menimpa kepada jundullahnya di medan Maro, Tuang, Datu, Sebuyau dan Sadong. Tiadalah dapat diucapkan melainkan sabar sahaja. Sabar ia dari berhenti akan kerja-kerja da'awah yang telah dimulakan. Sabar ia dalam meneruskan da'awah illallah. 

Maka sheikh pun berdoa ia setelah bersyukur dan bersabar dia itu. Maka sekali lagi gegak gempita cakerawala sebelum tiba-tiba pula ia senyap membeku dan segala makhluk di laut dan darat mahu mendengar dan mengaminkan doa sheikh itu.

" Ya Allah ya Tuhanku..tiadalahlah aku layak kepada syurgaMu melainkan Engkau kurniakan rahmat\Mu..."

Setelah sampai waktu berangkat, turunlah Sheikh Sambal ke tanah lalu diangkatnya akan tangannya ke langit mrmohon Allah memberi dia perlindungan dan hidayah pada sekelian alam. Bertangisanlah para dayang dan soldadu yang akan berpisah dengan sheikh itu. Setelah bersalaman Sheikh Sambal pun melompat naik ke atas kuda perangnya yang telah bersedia, dengan sekali pacu, terbanglah kuda itu ke arah mentari terbit.

Sebelum ghuyub dari penglihatan, terdengarlah kepada para orang yang ditinggalkan...." Wahai manusia, bertaqwalah kamu kepada Yang Esa. Syukur, Sabar dan Doa...." berluang-ulang sebutan itu sehingga tiadalah terdengar lagi...

Wasalam...

11 April 2011

Seloka Tok Uban





Ada seorang Ketua Menteri,
Negeri Kenyalang tempat semadi,
Bertahkta lama tidak terperi,
30 tahun lama menyakat negeri.

Umur dah lanjut poket membusut,
Segala projek dia yang cekup,
Rakyat jelata mengikat perut,
Hidup melarat makan tak cukup.

Anak dan kroni semuanya kaya,
Mahligai megah merata rata,
Intan berlian tidak terkira,
Hidup mewah rakyat derita.

Tanah rakyat dibuat sesuka,
Beri pampasan ala kadar saja,
Itu pun yang dapat cuma ketua,
Orang bawahan hanya menganga..

Mandat kuasa rakyat yang beri,
Janji ditabur manis berinti,
Bila dah menang sunyi menyepi,
Janji dahulu entah mana pergi

Negeri Sarawak teramat kaya,
Minyak dan Gas hasil utama,
Balak dan Sawit berjuta-juta,
Malangnya rakyat tak dapat apa

Tanah NCR terus dijarah,
Kaum asal mendapat padah,
Sumber rezeki terputus sudah,
Tok Uban gelak berdekah-dekah.

Menteri keliling tak dapat diharap,
Mulut terkunci bagai diturap,
Rakyat miskin menangis meratap,
Terbiarlah mereka dalam mengharap

Sungai Sarawak banyak buaya,
Darat, Tembaga semuanya ada,
Yang paling ganas di Demak Jaya,
Pantang tersua kena libas punya.

Batang Rejang ke Bandar Kapit,
Bot ekspres bukannya rakit,
Nak pakai jalan tentulah perit,
Seksa badan tercirit birit

Rumah Iban di tepi sungai
Orang Ulu di atas gunung,
Tok Uban menangis sedih berderai,
Bagaimana tanah kubur hendak di kepung,

Tanah temuda tanah pusaka,
Tempat rakyat bertanam lada,
Dirampas Tok Uban dengan selamba,
Tokey ladang mendapat laba.

Semakin hari semakin tamak,
Tanah pusaka juga di gasak,
Kebencian rakyat makin memuncak,
Bakal meletup dalam Pilihanraya Sarawak.

Hati Tok Uban semakin kecut,
Bomoh dan bini tak boleh diturut,
Benci rakyat bertambah kabut,
Tok Uban terasa mahu mencarut.

Rakyat tak reti bersyukur rasa,
Sarawak membangun di bawah beta,
48 tahun sudah merdeka,
Apalagi yang rakyat pinta?

Rakyat meminta sedikit kasihan,
Agar anak cucu diberi makan,
Bukan janji dan gempar wawasan,
Projek mega mahu pun empangan.

Kini rakyat dah punya kuat,
Pakatan Rakyat datang menyelamat,
Ikhlas bekerja memberi khidmat,
Luhur rakyat memberi mandat.

Akhir Tok Uban dah makin dekat,,
Suara jelata semakin kuat,
“Jom Ubah!!” Jerit keramat,
“Nyah kau masa dah tamat!”


Sheikh Sambal
12 April 2011
Matang Jaya

12 April 2010

Kita.......dan Mentari

Mentari berlabuh
Di ufuk Barat
pada kita
Tapi terbit pula di ufuk Timur
pada mereka..
Begitulah rasa manusia
Tentang alam fana...
hanya melihat diri
sendiri..

Tidak pada Mentari..
cahayanya beri pada alam...
tiada kenal pada Timur atau Barat
sinar meluas untuk semua
hingga ke hujung waktu
tiada jemu




Sheikh Sambal
12 April 2010 /
27 Rabiul Akhir 1431


.

09 April 2010

Ingin Ku Tulis Sebuah Puisi Merdu (Buat Ummi Tercinta)

Telah lama tergenang di hatiku
Sebuah puisi merdu untukmu
Tapi pena tiada mahu bertamu
Lalu ku pendam beku sehingga kini
Walau Ku tahu dikau selalu singgah di sini
Di sudut kalbuku, menulis nota rindu
Lalu ku balas dengan puisi merdu
Yang tiada tertulis
Hanya tergenang di situ
Di hatiku
Usahlah kau jemu menjenguk lagi
Menulis nota di pintu hati
Akan ku balas dengan puisi
Pada menyatakan rindu ini
Sebuah puisi merdu
Untukmu...



Ali Almurady
24 Rabiul Akhir 1431
9 April 2010

08 April 2010

APCO UMNO.....UMNO APCO Hey!

Kal se Malaysia Parlimen mey,
UMNO APCO bohot dajlij hey,
Isko APCO Isko UMNO,
APCO ke maksud UMNO ta?
Dono APCO orr UMNO baraber hey?
Mey pata nahi...
Bas bas... UMNO orr APCO
Dono log
Wapas chalo!!
Mera watan...
dono sika NAHI!!!!


Sheikh Sambal
8 April 2010

.

09 February 2010

Seloka Memanda Negeri Sebuah

Ada negeri emas sebuah,
Letaknya dia di Semenanjung Indah,
Rakyatnya ramai rezeki melimpah,
Negerinya makmur Sultannya ramah.

Datanglah musim memilih ketua,
Berebutlah yang mahu mendapat kuasa,
Rakyat memilih yang berkenan di jiwa,
Membeli janji yang ditabur mesra.


Ada yang ikhlas memberi diri,
Berkhidmat untuk rakyat sendiri,
Hukum nan adil bekalan hakiki,
Rakyat menilai undi diberi.


Ramai juga yang kelinking berkait,
Manis dimulut bukan sedikit,
Janji ditabur berbukit-bukit,
Bila menang mengumpul duit.


Arakian berlalu pesta mengundi,
Kertas dikira berkali-kali,
Memanda lama bersedih hati,
Undinya kurang tidak terperi.
Sultan berkenan terima mengadap,
Memanda baru penuh beradab,
Ilmunya tinggi tawaduk bersikap,
Gembiralah rakyat negeri segenap.


Cina India Mamak Melayu,
Hidup harmoni bersatu padu,
Yang tiada bertanah dapat selalu,
Pelabur datang berpusu-pusu.

Memanda pandai banyak bahasa,
Rakyat sayang tidak terhingga,
Adil saksama dasar terbuka,
Walaupun pembangkang diberi juga.


Hasad dengki orang yang kalah,
Benci dan marah mendidih menanah,
Helah diatur strategi diolah,
Tampuk perintah mesti dijarah.


Mesyuaratlah mereka sambil menjeling,
Jangan didengar walaupun dinding,
Lompatan katak harus dirunding,
Umpan dihulur katak menginding.


Memanda Perdana memasang tuba,
Katak bertiga sudah terkena,
Dilarikan sampai ke Putra Indra,
Jurutulis dipanggil berita disua.


Huru hara haru biru,
Negeri sebuah tidak menentu,
Memanda dilucut Sultan yang satu,
Hemat baginda sokongan layu.


Dititah Memanda menanggalkan dusturnya,
Arahan perdana sudah diterima,
Walhal negeri akan bencana,
Maka baginda disembah derhaka.


Memanda memujuk Sultan yang kasa,
Dibubarkan sahaja Dewan yang mulia,
Tetapi di mana entah silapnya,
Nasihat berguna tiada mengena.


Memanda Lanun pula dilantik,
Jika melawan akan dijentik,
Si kepala merah sedia membidik,
Rakyat diluku berbijik-bijik.


Merayulah Memanda yang sah,
Supaya Sang Lanun segera diubah,
Tetapi rintihan sentiasa disanggah,
Jentera negeri dipesong arah.


Memanda melawan berkali-kali,
Di bawah pokok bersidang sendiri,
Hendak ke Dewan tiada diberi,
Si Kepala Merah tegak berdiri.


Cubalah pula pergi mengadu ,
Lembaga Hakim rajuk diseru,
Hujah diberi bertalu-talu,
Gembira sekejap Lanun mengutu.


Pergi pula ke Lembaga Agung,
Keadilan di situ sentiasa disanjung,
Tetapi kecewa bertambah murung,
Kalah jua dengan dengan lima kosong.


Rakyat jelata sedih meratap,
Memanda Lanun mengetap-ngetap,
Mana dinar mahu disonglap,
Negeri sebuah biarlah bankrap.


Sultan dipujuk supaya sejuk,
Rakyat patutnya memegang tampuk,
Menentu siapa Memanda yang elok,
Supaya aman tidak direngkuk.


Bersambung.......


Sheikh Sambal

9 Feb 2010

Nota: Seloka di atas hanyalah rekaan semata-mata dan tiada kena-mengena dengan sesiapa pun yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.

10 November 2009

Sajak Untuk Nur

Nur
Pertama kali
Ku lihat kau di raya lalu
Senyum terukir di balik remos keningmu
Tiada tangis kau ...
Dalam ribaku
Ya Nur...
Panggilku kau mahu...
Lembut namamu begitu..
Tajam matamu di redup mansu
Jauh menikam kalbuku
Memahat rindu
Ya Nur....
Ya Nur....
Ya Nur....
.
.
.
Almurady
22 Zulkaedah 1430
10 Nov 2009

08 October 2009

Darah Pejuang di Bagan Pinang


Sememangnya merah darah pahlawan,
Mengalir panas di Bagan Pinang
Demi kalimah yang satu..
Biar tersembur darah wira
Parti Islam tetap dijunjung dipertahan jua..

Datanglah samseng !
Datanglah 3 jalur mega !
Bawalah besi, belantan dan senjata
Darah merah biar mengalir
Hatta nyawa pejuang wangsa
Islam tetap wahid tempatnya

Walaupun kau tetak
Kau pancung putus!
Pejuang akan terus cekal
Membawa bendera kalimah
Biar tegak menongkah langit Bagan Pinang..

Amuklah samseng berjalur-jalur
Bawa olehmu perang tempur
Parti Islam kan tetap menang
Atas korban darah merah pejuang
yang mengalir di Bagan Pinang....
....


Sheikh Sambal
19 Shawal 1430


18 August 2009

Bila Topeng Jadi Barang Kawalan...

Kabinet akan bermesyuarat hari ini untuk membincangkan harga yang patut bagi topeng penutup hidung dan mulut dan akan menjadikan topeng itu sebagai barang kawalan. Begitulah hebatnya penangan Selsema Babi H1N1. Topeng dah jadi setaraf dengan gula, roti, beras dan lain-lain bahan keperluan penting masyarakat.

Topeng peunutup hidung/mulut (surgical mask) ini dulu harganya cuma RM0.40 sahaja sekeping, kini melambung tinggi harganya hingga sampai RM5 sekeping. Asalnya babi punya angkara topeng bodo ni pun boleh naik pangkat jadi bahan kawalan. Sehingga menteri-menteri kabinet terpaksa bermesyuarat untuk berbincang bagi mengawal harga dan pasaran topeng ini. Patutlah babi haram dalam Islam...(lihat posting SS tentang Angkara Babi)

Tak lama lagi mungkin akan dilahirlah sebuah syarikat GLC diberikan AP Khas untuk mengimpot topeng dan kerajaan akan memberikan status halal dan dicop 1Malaysia di atas topeng itu. Nama GLC itu mungkin saja "Syarikat Topeng Negara" atau STN. Dan kita tentunya mahu kerajaan berhati-hati terhadap pembelian saham syarikat STN oleh syarikat asing. Kita tidak mahu lagi kes Bernas terjadi pada STN.

Mana tahu Temasek Holding akan beli 50% saham STN. Bukankah liberalisasi yang dicanang PM Najib membolehkan ini berlaku. Kalau Temasek Holding sudah pegang saham yang besar dalam STN apa akan jadi pada kepentingan rakyat Malaysia untuk mendapatkan topeng. Nanti Temasek sesuka hati saja menyekat topeng diimpot masuk Malaysia. Ini boleh sahaja berlaku kerana Singapura kan sentiasa mencari pasal dengan kita.

Bayangkan kalau topeng tak ada atau mencukupi dalam pasaran, nanti lebih ramailah rakyat Malaysia mati kerana terkena virus selsema babi H1N1. Semua disebabkan STN jatuh ke tangan Temasek!. Aduh... mudah sekali Singapura nak ganyang kita!.

Permintaan topeng semakin bertambah dari hari ke hari. perniagaan topeng sangat lumayan. Elok juga STN menjenamakan topeng yang dipasarkannya sebagai Topeng 1Malaysia. Ungkapan 1 Malysia sangat popular sekarang. Tentu sahaja STN akan dapat menjual Topeng 1M dengan mudah. Bayangkan keuntungan yang akan STN dapat. Dengan keuntungan STN nanti, boleh sahaja menaja program melancong sambil belajar menteri ke Disneyland dan Eropah. Belajar bagaimana topeng muka 1M boleh dijual di sana pula. Satu misi MITI yang sangat teruja.

Jika ada saingan dari jenama lain, naikkan saja cukai dan levi. Jenama 1M katalah RM3 tapi jenama lain kan terpaksa dijual pada harga RM8.
(Oh ya... kalau anda ke Bangkok boleh saja mendapatkan topeng jenama yang sama pada harga RM0.40 )

Hai...topeng oh topeng.. angkara selsema babi kini kau berpotensi jadi mesin pembuat duit pula..

Mmmm... siapakah yang akan jadi CEO Syarikat Topeng Negara?? Anda jawab sendiri...





09 July 2009

Bangunan Baru DUN Sarawak: Pembaziran Atau 'Masterpiece'?

Bangunan DUN Sarawak yang baru siap. Akan dirasmikan pada hujung julai dan pertama kali akan digunakan untuk Persidangan Raja-Raja Melayu hujung bulan ni.

Nota: Bangunan putih sebelah DUN itu ialah Astana bekas tempat kediaman Rajah Brooke, kini diduduki oleh TYT Sarawak

Sore di tebingan Sungai Sarawak

Mentari makin berlabuhdi balik Gunung Serapi

Pemandangan DUN Baru Sarawak waktu senja.... di tebingan Sungai Sarawak yang mengalir manja..



DUN baru
Tampak dari kamarku...
Aku pun terfikir
Bagaimanalah nasib nelayan di sebelah tebing sana
Hidup miskin dihimpit fana
Berjirankan DUN mewah melata
Sepinggan nasi terpaksa dikira
Tapi negeri kaya raya
Punya DUN baru
Yang berharga beratus juta
Nelayan Sungai Sarawak
Mata sedap memandang
Hati geram
Nasi hari ini
Berlauk apa...
Ikan masin? Kalau ada..
Mungkin juga Siput babi
Di celah paya.....
.
.
.
.
.
Sheikh Sambal
16 Rejab 1430












25 June 2009

Seloka Bekenu


Ada tempat nama Bekenu,
Tanah subur beralun-alun,
Ada Kedayan Iban & Melayu,
Hidup bersama bertahun-tahun.

Setengah jam dari Miri,
Ladang sawit berselang kampung,
Pembangunan ada sikit sekali,
Jalan masuk ke ladang dan gedung.


Pengangkutan di Miri memnag hebat,
Jalan yang cantik diturap lagi,
Bekenu hanya kampung berkarat,
Jalannya dhaif berlopak bergerigi.


Orang kampung dibuai janji,
Manis bunyinya sungguh sempurna,
Pilihanraya datang dan pergi,
Jauh kemudahan penduduk ternganga.


Pejuang rakyat akan ke sini,
Datang membela itu yang pasti,
Segala hak yang patut diberi,
Akan dibising di dalam DUN nanti.


Bekenu akan mendapat bela,
Parti Islam akan ke sana,
Masyarakat dibela dan diperkasa,
Bak kata pepatah 'Pas Untuk Semua'.

(bersambung.....)







18 June 2009

K.U: Tok Guru vs Nasha?

Pagi-pagi lagi K.U talipon ana. Risau benar bunyinya. Dalam nafas yang tercungap-cungap dia tanya betul ke Tok Guru suruh Ustaz Nasha keluar Pas masuk UMNO. Ana pun baru saja dengar cerita gempar tersebut. Nak komen banyak-banyak kang kok salah. Tapi apa-apa hal pun ana suruh sahabat ana tu bertenang dulu.
"K.U kau bawak duduk dulu. Bertonang. Napeh kau dalam talipon macam ribut!. Dulu den dah kobar kan. Isu Kerajaan Perpaduan ni jorek UMNO. Kapal tongah nak tenggolam. Macam-macamlah jaharo eh. Dalam Muktamar Pas hari tu pun bukan ado pun cerito nak berpadu dengan UMNO. Presiden tak sontuh lansung pasal Kerajaan Perpaduan (KP) ucapan dasar.
Cumo maso sidang akhbar ado lak tukang pencachai UMNO hulur soalan pasal Kerajaan Perpaduan. presiden komen sikit dan huru haro negaro lopeh tu.
Macam Tok Guru cakaplah, idea KP ni cumo lontaran peribadi semato-mato. UMNO gunokan segalo media yang ado untuk memporak perandokan PR. Memang huru-haro. Tengok kau K.U, tak pasal-pasal tercungap-cungap gelabah.
Orang surat kabar memang suko bondo sensasi ni. Ontah iyo ontah tidak Tok Guru suruh Ustaz Nasha beronti. Putar bolit BERNAMA tak kan kau tak tau. Kok iyo pun, ni kiro tingkah anak beranaklah. Sok Ustaz Nasha poi lah jumpo Tok Guru. Cium tangan elok-elok mintak mahap. Kang ok lah tu. Ala cam cerito Dato' Mustafa Ali ngan Tok Guru dulu. Jumpo balik ompek mato dah setel." berbuih mulut ana menonangkan K.U (tapi tak la sampai cam Dato Shabery dalam TV hari tu....he he he..)
"Iyo ko?" kato K.U. " Den bukan apo...takut kang tak pasal-pasal masuk UMNO botul2 si Ustaz Nasha tu! Maklumlah cakap-cakap Tok Guru ni masin" " Kau tengok apo jadi ngan Ustaz Nakhaie...masuk UMNO tak yo dapek jadi mentori...." sambung K.U lagi.
Ana kata pada K.U biarlah kita serahkan pada pucuk pimpinan untuk menyelesaikan perkara ini. Pas ada Majlis Syura. Maka Majlis Syuralah yang patut bincang hal-hal segenting begini.
K.U masih tak berapa puas. " Kau ingat memang Ustaz Nasha nak jadi mentori ko?. Sampai nak berpadu dengan UMNO."
"La... kan den dah bagi tau...dalam muktamar hari tu Ustaz Nasha torang-torang cakap tak ada niat Pas nak berbaik ngan UMNO. Kau bacolah Harakah. Mano ado cerito pasal nak kawin ngan UMNO. Ini sumo putar bolit mdia UMNO!" jawab ana. Hati mula panas dengan sikap K.U yang seakan-akan percaya dengan 'spining' yang dibuat oleh media UMNO.
"Kito kono siqah dan wala' pada pimpinan" Ana mula bersyarah. "Adab kito pado gerakan Islam adalah kita percaya dan taat kepado pimpinan. Kalau pimpinan kato tak ado pakatan atau perbincangan dengan UMNO pasal KP, tak adolah tu. Jangan kito percayo pulak pado media dan internet yang cerito macam-macam". " Jemaah kito ni jemaah Islam. Jemaah UMNO jemaah sekular. Mano buleh bersamo. Kecuali UMNO tukar dasar dio kepada Quran dan Sunnah. Hah..maso tu..Pas nak bubar masuk UMNO lako sado eh pun tak po!. Dio dah jadi Islam cam kito. Perjuangan kito dah samo untuk mendapekkan redho Allah di mukobumi ni. Mentadbir bumi ni macam yang Allah suruh. Hah...tu baru bulih berpadu..."
"Ohh...cam tu ko..." kata K.U " Kok camtu den sorah pada Tok Guru lah, Presiden dan sumo saf pimpinan..." "Cilako UMNO ni...buek sosak kepalo otak den yo!" lalu K.U terus letak talipon.
Ana masuk bilik air ambil wuduk dan solat dhuha dan solat hajat. Semuga keruh politik dalam Pas cepat jernih semula....

27 May 2009

Mari Berkaraoke! Rock Serrrabai....

Aku dapat rock serabai ni dari seorang kawan. Rasanya elok diletak di sini untuk hiburan sahabat-sahabat dan para pengunjung yang pening dengan suasana politik dan demokrasi tanahair. Angaplah ini sebagai satu 'escapism' sahaja. Kepada rakan-rakan Tamil jangan ambil hati, sekadar gurauan manja.

Makhal Sakhti!!

29 April 2009

1 Malaysia

Jika;
Melayu+Cina+India+Lain2 = Malaysia

Melayu = Malaysia - (Cina+India+Lain2) = UMNO
Cina = Malaysia - (Melayu+India+Lain2) = MCA
India = Malaysia - (Cina+Melayu+Lain2) = MIC

Tetapi;
Malaysia = Melayu+Cina+India+Lain2 = PR

Jadi;
Melayu+Cina+India+Lain2 = PR = 1 Malaysia

17 April 2009

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur
17-26 April 2009
.......................................
MASA UNTUK BERPESTA
DENGAN BUKU
BUKAN ARTIS PUJAAN
DENGAN ILMU
BUKAN NAFSU
MARILAH RAMAI-RAMAI HADIR
BELI BUKU HARGA SPESEL
ADA PENGARANG
ADA PENERBIT
MINTA AUTOGRAF
SAIN SIKIT.

14 April 2009

'Satu Denderam. Pembeli Didahulukan. Selera Diutamakan'

Sejak memperkenalkan slogan 'Satu Denderam. Pembeli Didahulukan. Selera Diutamakan' Mak Mah yang berniaga kuih denderam di Pasar Malam Jalan SS6/1, Kelana Jaya, mulai mendapati jualan denderamnya meningkat dengan mendadak, dan gerainya 'Dunkin Denderam' dihurung pembeli.
"Mak Cik dah berniaga lama. Mak Cik akan ikut apa sahaja slogan yang diperkenalkan oleh ahli politik." Kata Mak Mah yang nama sebenarnya Semah Manis.

Menurut beliau antara slogan yang diperkenalkan untuk menarik perhatian pembeli di pasar malam tersebut ialah 'Denderam Hadhari', 'Denderam Harapan Baharu', 'Denderam For All', 'Membangun Bersama Denderam', 'Pandang ke Denderam', 'Mohon Restu Denderam', 'Denderam 2020', 'Denderam Berani', dan bermacam-macam lagi.
Ditanya apakah slogan yang ada tersebut akan mengelirukan pembeli, Mak Mah dengan tersenyum memberitahu, "Mak Cik akan tengok dululah. Kalau pembeli tu nampak muka macam orang PAS, Mak Cik akan kata; silalah rasa dan beli 'Membangun Bersama Denderam' atau 'Denderam For All'. Kalau dia orang Pak Lah, Mak Cik akan kata kepadanya, belilah 'Denderam Hadhari'.
Sekarang kerana ramai orang sukakan Perdana Menteri baharu, Mak Cik pun perkenalkan slogan 'Satu Denderam'. Untuk mereka yang masih mencintai Tun Dr Mahathir, Mak Cik juga perkenalkan slogan 'Denderamisme'. Jadi Mak Cik kena pragmatik sikit. Nak hidup jadi biasalah.
Kalau nak kata sedap, biasa je. Bahan denderam ni senang nak buat; tepung beras dan gula Melaka saja tapi bila kita beri nama yang berbeza orang pun macam terpukau dan lupa daratan. Padahal semua denderam sama saja. Sebab itu Mak Cik kata, 'Pembeli Didahulukan. Selera Diutamakan.' Kita beri apa yang pembeli mahu dengar, padahal bendanya sama. Macam kena tipu hidup-hiduplah sikit-sikit."
Apabila ditanyakan apakah keistimewaan 'Satu Denderam', Mak Mah menjelaskan denderam beliau tersebut dihasilkan menerusi satu paradigma bagi tujuan mengekalkan mutu kesedapannya terjamin.
"Denderam ini mengutamakan prestasi dan pencapaian. Bahkan Mak Cik lantik beberapa orang sepupu, sedara-mara, kawan baik yang tak mungkin berani mengkritik Mak Cik; di mana Mak Cik siap-siap sediakan satu pendekatan Petunjuk Rasa Utama atau Key Tastery Indicators secara menyeluruh. Orang bila dengar benda-benda macam ni, mereka menganga buaya selalunya. Media macam rancangan 'Jalan-Jalan Cari Makan' pun meleleh bila dengar, akhirnya propa Mak Cik jugak diterima."
Usahawan berjaya tersebut menegaskan petunjuk tersebut akan menekankan impak, bukannya input; hasil, bukannya output dan akan memastikan pembelian pelanggan yang berbaloi (value for money).
Menurut Mak Mah sebelum ini, kali terakhir jualan denderamnya meningkat ialah apabila beliau memperkenalkan 'Denderam 16 September'. Namun sebaik sahaja tarikh 16 September itu dilepasi dan tiada apa berlaku Mak Mah mengambil tindakan drastik. Menurut beliau lagi, sebaik sahaja mendapati ahli politik tersebut menipu rakyat beliau segera menukar slogan tersebut.
"Dia tu temberang lah. Susahlah kalau bohong-bohong macam tu. Mak Cik kan bergantung kepada slogan-slogan tu. Jadi kalau tak jadi Mak Cik pun dapat susah. Kita orang berniaga tak suka spekulasi."
Mak Mah bagaimanapun berpendapat perbuatan beliau yang menipu pembeli dengan slogan berbeza itu sebagai, 'wajar dan tidak berapa berdosa', "Mak Cik contohi perangai tok guru. Kalau ulama pun boleh ubah-ubah pandangan dan hukum atas dasar ijtihad dan syura, Mak Cik pun nak jugaklah buat begitu. Itulah rahsia Mak Cik kekal berniaga di sini. Orang lain berniaga lingkup sokmo, tapi Mak Cik berniaga terus maju."
Sebelum pulang, wakil media dihadiahkan 'Satu Denderam'. Sesungguhnya denderam dapat diketengahkan ke peringkat antarabangsa kerana mempunyai banyak persamaan dengan donut. Semoga usaha Mak Mah tersebut akan beroleh kejayaan.
Dipetik dari blog Faisal Tehrani

05 April 2009

Masjid Tanahairku

Masjid Tanahairku

Masjid terapung tapi kosong,
Memang mega tapi untuk siapa
Hari Jumaat ramai orang, penuh kantung
tapi hari biasa imam bilal, yang lain pelancung
tengok mimbar tengok seni
harap pelancung beri puji
Masjid dhirar pun tak begini,
mukmin tiada munafiq apa lagi!

Dah ada Masjid Putra,
tak sampai sebatu Grand Mosque pula dibina
Tak cukup Masjid Terapung, Masjid Kristal naik pula,
Belum lagi dikira replika tamadun di Pulau Wan Man,
sibuk monsoon cup , rakyat airliurlah telan

Biarlah rakyat kebulur tapi Malaysia kununnya masyhur
Penggerak dunia Islam yang dia ingat bagus
tapi hakikatnya hancus
dek korupsi dan tidak telus
ekonomi lembab menunggu mampus
Jika tak berubah ke jalan lurus....

almurady
12.39am 9/4/09

06 March 2009

Pantun Untuk Sultan

Ayam Belanda kenyang berdiri,
Cuba berkokok tubi-bertubi,
Kumam Baginda mengenang negeri,
Huru hara akibat dua MB.

Legam sungguh bagai dibakar,
Senyum sedikit nampaklah gigi,
Sudah keruh negeri terbiar,
Belumkah DUN dibubar lagi?

Mandat rakyat izin keramat,
Sultan menambah tinta rasmi,
Pilhanraya umum rakyat munajat,
Mengapa Sultan tidak berbunyi?



Sheikh Sambal
6 Mar 09

14 February 2009

Kesah Asal Usul Valentine's Day

Suatu masa dahulu sebelum Revolusi Perindustrian hebat melanda Eropah, seorang penjual kad ucapan, Valentino Charuti mendapati perniagaannya tidak berkembang kerana tiada sambutan kepada kad-kad ucapan. Orang ramai pada masa itu lebih suka mengunjungi orang yang tersayang secara pertemuan fizikal.
Valentino merasakan sesuatu harus dilakukan secara drastik jika dia mahu berjaya dalam bisnis penjualan kad ucapan. Pada masa itu orang Eropah mendapatkan bekalan kertas dari Negara China. Eropah ketika itu belum berjaya menciplak teknologi membuat kertas dari pedagang China yang datang dengan rombongan kapal Admiral Zheng He di Pelabuhan Venice.
Valentino melihat banyak hasil seni lukis dan khat orang-orang China dan Arab banyak dijual di pasar Venice. Berbagai kata-kata dan syair dilukis pada kertas-kertas buatan China yang cantik dijual oleh pedagang-pedagang dari Timur Jauh itu.
Valentino pun terfikir bagaimana pula kata-kata pujangga Eropah yang terkenal pada masa itu seperti Diego Da Vinci, Vasco Pulee dan Stalini Chakovsky dapat dicetak ke atas kertas dan dijual kepada orang ramai. Bermula dari hari itu dia mula menulis kata-kata pujanga dan melukis berbagai gambar yang mengisahkan hal yang ditulis ke atas kertas kad jualannya. Oleh kerana para pujangga tersebut hanya bersyair tentang cinta dan perasaan maka itulah yang ditulis semula oleh Valentine di atas kad ucapannya.
Pada satu hari iaitu pada 14hb Februari 1434 Armada Admiral Zheng He telah berlabuh di Lisbon Portugal . Valentino yang pernah bersahabat dengan Admiral Zheng He semasa beiau berlabuh di Venice, telah memperkenalkan Admiral Zheng He kepada Raja Manuel. Semasa mengadap Raja Manuel, diceritakanlah oleh Admiral Zheng He tentang perlayarannya dari Timur Jauh dan peri kehebatan Kerajaan Dinasti Ming di bawah pemerintahan Maharaja Zhu Di. Tercenganglah Raja Manuel mendengar cerita Zheng He. Baru dia tahu bahawa tiadak ada raksasa di hujung dunia dan kapal tidak akan jatuh lalu dimakan oleh raksasa tersebut jika berlayar jauh ke hujung dunia!.
Merayulah Raja Manuel agar diajarkan dia dan pegawainya tentang pelayaran jauh dan ilmu bintang. Memandangkan itu akan menjadikan Negara China akan dikagumi dan dihormati oleh orang sebelah Barat, maka Admiral Zheng He sebagai wakil Maharaja China, bersetuju mengajar Raja Manuel dan para pegawainya tentang ilmu pelayaran dan ilmu bintang.
Raja Manuel amat berbesar hati dan bangga kerana Kerajaan Dinasti Ming sudi menghantar guru-guru China datang mengajar orang-orangnya maka Raja Manuel telah memberikan satu kad ucapan Valentino kepada Admiral Zheng He untuk disampaikan kepada Maharaja Zhu Di. Raja Manuel juga sangat terhutang budi kepada Admiral Zheng He kerana meminjamkan peta dunia untuk ditiru. Peta ini kemudiannya digunakan oleh Hendry The Navigator untuk memberanikan diri menjelajah dunia menerusi jalan laut mengikuti jejak langkah Admiral Zheng He.
Oleh kerana terlalu gembira memperolehi sekeping peta dunia yang dicarta oleh orang China Muslim dan baru pula diyakinkan bahawa dunia ini sebenar bulat shere dan bukan mendatar flat sahaja seperti yang disangka mereka turun temurun, maka Raja Manuel mengambil kesempatan menganugerahi cuti kepada rayat setiap 14hb Februari (sempena mengingati hari mendapat peta dan ilmu baru).
Maka pada hari itu mereka berpakatlah orang ramai membeli kad ucapan dari Valentino (kerana beliau yang memperkenalkan orang China kepada Raja Manuel) dan menghadiahkannya kepada sesama sendiri dengan ucapan tahniah dan kata-kata cinta.
Lama kelamaan hari tersebut bertukar kepada hari kekasih kerana tiada lain yang ditulis oleh Valentino kecuali berkenaan cinta cintun sahaja. Kayalah Valentino sejak dari itu dan Portugal pula menjadi penjelajah laut dan penjajah yang hebat.
Demikinalah cerita asal usul Hari Valentine.