Showing posts with label Dunia Islam. Show all posts
Showing posts with label Dunia Islam. Show all posts

08 October 2011

Nota Mudah Memahami Hukum Hudud. - Siri Pertama


Nota Mudah Memahami Hukum Hudud. - siri pertama

Oleh Ustz Nasrudin Tantawi



                                                                                                بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله الحَكَمُ الْعَدْلُ اللطيف الخبير له ملك السموات و الأرض و هو على كل شئ قدير   و الحمد لله الذي فضل العلماء بإقامة الحُجَجِ الدينية و معرفة الأحكام  و الصلاة و السلام على رسول الله أرسله الله بشيرا و نذيرا بين يدي الساعة فأدى الأمانة و بلغ الرسالة و نصح الأمة و جاهد في الله حق جهاده و على أصحابه  إمامِ كلِّ إمامٍ و من تبعه و نصره و والاه

Muqaddimah.

1. Hudud adalah hukuman atau pembalasan ke atas penjenayah sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah swt akan bentuk dan jumlah hukumannya dengan nas yang jelas di dalam al quranil karim. Justeru sebagai manusia yang beriman kepada Allah swt dan kitabNya, kita tidak mempunyai pilihan melainkan dengar dan taat terhadap apa yang telah ditetapkan oleh Allah swt. 

Ingatlah penegasan wahyu Allah swt kepada kita semua melalui surah al Ahzab ayat ke  36 :

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

maksudnya :

"dan tidaklah layak bagi orang yang beriman samada lelaki atau perempuan, apabila telah ditetapkan oleh Allah swt dan RasulNya akan sesuatu perkara, bahawa ia membuat pilihan yang lain selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang mengingkari Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan suatu kesesatan yang nyata."

2. Hudud bukan sekadar hukum Allah swt yang telah ditetapkan secara tekstual di dalam al Quran dan kemudiannya dibuku dan dibekukan, tetapi ia suatu ketetapan yang wajib dilaksanakan dalam kehidupan ummat manusia sebagai proses keadilan untuk mengurus dan mengatur kehidupan ummah dari Tuhan pencipta manusia. Lihat ketetapan Allah swt di dalam surah al Maaidah, ayat 49 :

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

maksudnya :

"dan hendaklah engkau menjalankan hukuman diantara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga - jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah swt kepada kamu."

3. Hudud adalah ketetapan syara' yang tidak boleh dipinda atau diubahsuai apalagi dibuang atau diketepikan. Tiada siapa yang memiliki authoriti untuk meminda ketetapan Allah swt hatta Rasul saw sekalipun. Firman Allah swt di dalam surah al Baqarah, ayat 229.



تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

maksudnya :

"demikianlah batasan hukum Allah swt maka janganlah kamu melampauinya dan barangsiapa melanggar sempadan hukum Allah swt maka mereka adalah orang - orang yg zalim"

4. Hudud adalah hukum yang berteraskan kepada prinsip keadilan dan hikmah yang sangat besar buat kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Mencerca, menghina dan memperlekehkan hukum Allah ini seperti mengatakan hukum Hudud tidak adil, kejam, primitif, ketinggalan zaman, tidak sesuai di zaman moden, mencetus huru hara dan sebagainya  adalah perbuatan yang boleh menggugurkan iman seseorang justeru ia telah memperkecil dan mendustakan Allah swt. Allah tegaskan akibat perbuatan mereka di dalam surah an Nisa' ayat 56.


إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا


"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan panggang mereka diatas api neraka. Setiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah swt adalah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Insafi juga penegasan Allah swt di dalam surah al A'araf ayat 40 - 41.


إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لَا تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّىٰ يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ

"Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah dan ketetapan) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga lah unta masuk di dalam lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan jenayah."

5. Hudud memberi keadilan dan mengembalikan kehidupan yang sejahtera dan aman. Tidak perlu takut dan cuak kepada hukum Hudud ini kecuali satu golongan sahaja iaitu penjenayah justeru hukum Hudud adalah hukum yang dijatuhkan keatas penjenayah yang telah sabit kes. Non muslim juga tidak perlu takut dan bimbang terhadap hukum Hudud. Mereka tidak dipaksa untuk menerima hukum Hudud jika mereka tidak mahu berhukum dengan hukuman Hudud bahkan mereka kekal di bawah perlaksanaan hukum sedia ada. Firman Allah swt. di dalam surah al Maaidah ayat 42 :

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِن جَاءُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

"Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

03 May 2011

Hentikan Kenyataan Dangkal Berkenaan Kematian Osama!!

29 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
Muhammad Nuruddin Bashah

Dewan Pemuda PAS Gopeng merasa kesal dengan kenyataan pemimpin utama Negara kita yang menyatakan keamanan dunia amat diharapkan selepas berita kematian Osama. Adakah beliau terlupa bahawa gejala keganasan atau military action bukan suatu fenomena sebaliknya suatu dielektika yang berlangsung akibat hambatan tertentu seumpama pembersihan etnik, diskriminasi dan tindak balas terhadap kekejaman empirelis?

Adakah pemimpin umat islam yang giat mengampu AS yang mengeluar kenyataan bahawa keganasan serata dunia berkaitan dengan kegiatan umat Islam terlupa bahawa punca utama keganasa serata dunia adalah disebabkan penjajahan dan campurtangan pihak kuasa besar terhadap negara-negara umat islam? Terlalu lemahkah otak pemimpin umat islam untuk mengingati kekejaman zionis yang saban hari mejarah tanah umat islam Palestin sehingga menjadi sekangkang kera? Maklumat terkini menyaksikan statistik 1.2 juta jenayah penculikan anak-anak dan wanita yang lemah rakyat Palestin oleh polis-polis Yahudi yang sepatutnya difokuskan keganasan mereka.

Catatan rasmi FBI menunjukkan bahawa hanya 6% daripada serangan pengganas di wilayah AS antara tahun 1980 hingga 2005 dilakukan oleh mereka yang digelar 'ekstremis' Islam. Bakinya 94% berasal dari kelompok-kelompok lain (42% dari Latin, 24% dari kelompok sayap kiri ekstrim, 7% dari ekstremis Yahudi, 5% dari komunis, dan 16% dari semua kelompok lain).

Data yang dikumpulkan oleh Europol menguatkan lagi pernyataan ini. Setiap tahun Europol menerbitkan laporan tahunan berjudul 'Pengganas Kesatuan Eropah: Situasi dan Laporan Trend' dan laporan ini boleh diakses di laman web rasmi mereka.

Hasil laporan tersebut jelas membuktikan bahawa tidak semua pengganas adalah Muslim. Malah, 99.6% dari serangan pengganas di Eropah dilakukan oleh kelompok-kelompok bukan Muslim; dan 84.8% daripadanya berasal dari kelompok yang sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan Islam. Maksudnya hanya 0.4% sahaja kes sahaja yang berkaitan dengan Muslim. Itupun kerana alasan tertentu seperti penindasan, diskriminasi dan lain-lain.

Namun begitu tidak juga kita mampu nafikan kematian Osama sekadar suatu propaganda AS yang kini kian tenat menapung perbelanjaan untuk memerangi manusia yang mungkin masih wujud atau tidak. Kini hutang AS tertakluk pada jumlah yang dibenar mencecah $14.001 trilion apabila dagangan ditutup, berdasarkan kenyataan harian Perbendaharaan U.S.

Obama yang mengeluar kenyataan bahawa keadilan dunia telah tercapai dengan kematian musuh nombor 1 AS itu, kian cuak dengan jumlah kematian dan perbelanjaan dana peperangan anti pengganas yang diwarisi daripada dinasti Bush sebelumnya. AS mungkin tidak akan memberi komen implikasi mengejar manusia bernama Osama, 2 buah negara umat islam Iraq dan Afghan telah menjadi padanh jarahan tentera AS. Kini Libya pula akan diselongkar atas nama membebaskan rakyat Libya daripada tangan Gaddafi walaupun jelas serangan udara berkenaan bermotifkan egoisme dan neo-koloni teradap hasil alam Libya.
___________________

Muhammad Nuruddin Bashah merupakan Ketua Penerangan DPPK Gopeng

02 February 2011

Kebangkitan rakyat Mesir: Saat sekutu Israel dijatuhkan Allah

Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut. Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam. Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti dengan rahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas). Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini? Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa. Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat. Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasih umat Islam di tanah yang bersempadan dengan Mesir iaitu Palestin. Padanlah kalau pihak yang kecut perut sekarang ini dengan perkembangan yang berlaku ialah Israel.

Sekian, wasalam.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS.
Bertarikh : 27 Safar 1432H bersamaan 1 Februari 2011M