09 July 2008

Mat Rempit....Imam Rempit

Tok Guru Nik Abdul Aziz menyarankan, semasa menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri Kelantan semalam (7 Julai 08), agar kurikulum JPJ diselitkan dengan tazkirah tentang pentingnya menjaga nyawa pada bakal-bakal penerima lesen baru. Tok Guru kata, iman perlu diasah dalam hati bakal pemegang lesen agar lebih bertanggung jawab menjaga nyawa sendiri dan pengguna jalanraya yang lain. Untuk melakarkan iman dalam hati pengguna jalanraya khasnya para Perempit, Kerajaan Negeri Kelantan telah menyediakan RM1.5juta untuk membangunkan satu litar lumba di Tanah Merah, Kelantan. Di situ Mat-Mat Rempit akan diberikan peluang untuk mengasah bakat mereka di samping ditarbiah untuk menjadi insan mukmin yang sejati. Program membawa Mat-Mat Rempit kepada kemantapan iman ini akan dapat melahirkan imam-imam di kalangan Mat Rempit.

Keberanian Mat-Mat Remit yang luar biasa memang tersohor. Dengan iman yang sahih keberanian luarbiasa itu akan dapat dijanakan kepada keberanian memperjuangkan agama Islam yang murni seperti para remaja zaman Nabi s.a.w seperti Ali Bin Abi Talib, Tariq Ibnu Ziad, Amru Bin Al 'As dan Khalid Ibnul Walid.




Telah banyak litar lumba dibina di tempat lain tapi gejala rempit semakin menjadi-jadi. Semuga dengan adanya litar lumba baru yang diasaskan atas iman dan amal ini akan dapat mengurangkan gejala rempit di kalangan remaja Kelantan.

Walaupun peruntukan telah ada, perlaksanaannya haruslah dijalankan dengan baik. Janganlah projek Imam Rempit ini menjadi satu lagi projek "hangat-hangat tahi ayam". Janganlah nanti litar ke mana, iman Mat Rempit semakin merana.

No comments: