18 March 2010

Air gula pengganti susu ; Apa Taib Mahmud Nak Jawab ni?

by Mohd Hafiz Arshad March 18, 2010, Thursday

KOTA SAMARAHAN: Akibat dihimpit kemiskinan Rabuyah Narawi, 32, hanya mampu memberikan air gula sebagai pengganti susu untuk membesarkan anak bongsunya yang berusia dua tahun.


DAIF: Rabuyah bersama empat orang anaknya mengharapkan bantuan serta pertolongan daripada pihak yang sudi menghulur bantuan.


Justeru, dia tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat anaknya itu memberontak dan menangis kerana menginginkan susu.
Ibu kepada empat orang anak ini telah mendirikan rumah tangga sejak 2002 dan menetap di Kampung Sambir, Asajaya di sini bersama ibu mertuanya yang sudah menjangkau usia 70 tahun.
“Saya tidak dapat menahan sebak di hati bila melihat anak saya yang paling kecil menangis kerana inginkan susu.
“Ibu mana yang tidak sayangkan anak. Budak kecil bukannya tahu erti kehidupan tapi apalah yang mampu saya buat untuk mereka,” katanya pasrah dengan nasibnya.
Suaminya, Sahari Arbi, 42, hanya bekerja mengambil upah menjaga kambing orang kampung dan memperolehi pendapatan RM5 sehari untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Selain itu, Sahari turut menambah pendapatan dengan mengambil upah memetik buah kelapa dan menebas rumput kebun-kebun penduduk kampung.
Bagaimanapun masalah kesihatan yang dihadapi Sahari menjadi penghalang untuk mencari pekerjaan lebih baik.
Sahari kini menghidap penyakit darah tinggi yang serius dan masalah rabun mata kanan akibat katarak yang menyelaputi mata hitamnya.
Rabuyah pula pernah menjalankan pemeriksaan kesihatan di klinik kesihatan berhampiran dan disyaki menghidap ketumbuhan dalam hidung tapi tiada pemeriksaan lanjutan dibuat kerana masalah kewangan.
“Bukan saya sengaja membiarkan sakit saya berlarutan tapi kesempitan yang kami alami ini menghalang saya meneruskan pemeriksaan di Hospital Umum Sarawak.
“Saya lebih rela tempuh semua ini daripada melihat anak saya tidak makan,” katanya sebak mendukung anak bongsunya.
Menurut Rabuyah pernah juga keluarga mereka berlapar kerana tiada duit untuk membeli keperluan dapur seperti beras.
Selain itu, beliau sanggup menyimpan rasa malu datang mengetuk rumah jiran tetangga bagi mendapatkan sesuap nasi untuk anak-anaknya.
“Saya tahu apa yang saya buat ini sangat memalukan tapi saya tidak sanggup melihat anak saya menangis kelaparan,” ujarnya.
Bagaimanapun, Rabuyah tidak menjadikan kesempitan hidup yang mereka alami sebagai alasan untuk anaknya ketinggalan dalam pelajaran.
Anak sulungnya Norfazira yang bercita-cita untuk menjadi seorang guru akan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.
Menurut Norfazira, dia ingin melihat dan mengubah kehidupan keluarga mereka serta membalas budi kedua-dua orang tuanya.
Walaupun di sekolah dia sering diejek oleh rakan sekelas tetapi dia tetap kuatkan diri menghadapi semua itu kerana dia tahu pelajaran sahaja yang dapat mengubah segalanya.
“Di sekolah saya lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sains.
“Sukar untuk saya mendapatkan rujukan yang lebih dalam membantu untuk meningkatkan penguasaan saya dalam mata pelajaran tersebut,” katanya semalam.
Bagaimanapun Norfazira tetap akan meneruskan pembelajaran dalam menghadapi UPSR yang semakin dekat walaupun dalam serba kekurangan.
Dalam kegembiraan melihat semangat anak sulungnya, Rabuyah tetap berasa risau dengan masa depan pelajaran anaknya.
Tahun ini, anak sulungnya tamat persekolahan di sekolah rendah dan akan meneruskan pembelajaran di sekolah menengah.
Terdetik di hatinya bertanya, adakah dia dan suaminya mampu meneruskan pembelajaran anaknya ke peringkat yang lebih tinggi?
Jika diberi peluang Rabuyah sanggup mengambil upah untuk menjahit baju atau membuat sulaman tetapi semuanya memerlukan duit untuk membeli peralatan.
Menurut Rabuyah setakat ini belum ada satu bantuan pun yang mereka terima daripada mana-mana badan kebajikan.
“Tahun lepas ada pihak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat datang melihat keadaan keluarga kami tapi sampai sekarang belum ada bantuan yang diterima.
“Bukan mengharap tapi kalau ada peruntukan untuk kami apa salahnya menerima,” katanya.
Rabuyah berkata pernah juga Pegawai Daerah datang melihat keadaan rumah kami tapi belum ada sebarang tindakan susulan dibuat dalam membantu keluarga kami.
Selain itu, suaminya pernah pergi memohon bantuan di Pejabat Daerah Samarahan untuk mendapatkan rumah baru bagi menggantikan rumah mereka yang sungguh usang.
Pegawai yang bertanggungjawab pernah datang mengambil gambar dan memeriksa keadaan rumah kami sebelum permohonan diluluskan.
Bagaimanapun, tiada satu perubahan pun yang dilakukan bagi membantu keluarga kami.
Rabuyah sekeluarga berharap agar ada pihak yang sudi datang menghulurkan bantuan bagi membantu mereka sekeluarga.

No comments: