Penulis sangat terperanjat dan sedih dengan tindakan Persatuan Pengguna Islam (PPIM) menyokong agar undang-undang zalim ISA dikekalkan di Malaysia ini. Semalam PPIM bersama-sama dengan 32 NGO Melayu (yang membentuk Majlis Pemuafakatan Ummah atau PEWARIS) berarak Wisma Sejarah ke Balai Polis Jalan Ampang untuk membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pihak yang memainkan isu-isu perkauman.
Presiden PPIM Datuk Dr. Ma'amor Osman yang juga merupakan Setiausaha Agung PPIM mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan supaya mengekalkan penggunaan ISA bagi menjamin keharmonian negara ini daripada diganggu-gugat oleh anasir-anasir jahat. "ISA masih relevan dan melalui ISA, keharmonian negara dapat dikekalkan, dan dalam prinsip Islam pencegahan adalah lebih baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pewaris di Wisma Sejarah semalam.
Sangat menyedihkan sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak-hak orang Islam sangat lantang juga memperjuangkan akta zalim ISA. Tidak tahukah Dr. Maamor dan PPIM bahawa orang Islamlah yang paling lama di kurung tanpa bicara dalam kem tahanan Kemunting? Sepatutnya Dr. Maamor memperjuangkan nasib para tahanan Islam yang telah di tahan tanpa bicara ada yang sudah merengkok di sana selama 8 tahun. Sedarkah Dr. Maamor bahawa bukan sahaja orang yang kena tahan sahaja merana, keluarga mereka juga sangat terseksa. Ada anak-anak mangsa ISA yang terpaksa berhenti sekolah kerana terlalu miskin disebabkan pencari rezeki atau 'bread winner' mereka diambil dari mereka.
Nasib penjenayah yang dipenjarakan mungkin lebih baik dari segi 'ketidakpastian' kerana mereka telah dibicarakan di mahkamah dan mereka tahu apa salah mereka dan berpapa lama mereka di penjara. Berlainan dengan tahanan ISA kerana mereka tidak pernah dibicarakan secara adil di mahkamah dan mereka ditahan tanpa ada had waktu. Terpulang kepada Menteri Dalam Negeri untuk melepas atau terus menahan mereka. Ketidaktahuan mengenai sampai bila mereka ditahan itulah yang menyeksakan. Jika benar mereka yang ditahan itu mengancam negara, ayuh bawa mereka ke mahkamah untuk diadili.
Islam adalah agama yang sangat adil dan Dr Maamor sangat arif tentang hal ini. Mengapalah tidak diperjuangkan agar mangsa-mangsa ISA itu dapat keadilan?.
Apa yang saya nampak, PPIM kini telah dijajah oleh UMNO untuk meneruskan agenda politik perkauman mereka. Dengan ISA mereka mahu menyekat kehendak rakyat Malaysia untuk mendapatkan keadilan. Sesiapa sahaja yang dilihat boleh menggugat keselamatan mereka maka ISA akan digunakan. Mungkin ISA ada baiknya tetapi keburukannya jauh lebih teruk. Seperti arak, arak ada kebaikannya yakni boleh digunakan sebagai bahan perubatan tetapi keburukannya sangat besar sehingga Allah mengharamkannya dan dihukumkan najis. Sehingga begitu sekali.
ISA merosakkan institusi suci keluarga, menghalang keadilan, menyekat da'wah, menyiksa para tahan secara fizikal dan mental, menyeksa ahli keluarga mangsa sehingga ada ibu yang terpaksa bekerja sebagai GRO untuk menampung perbelanjaan mereka anak beranak dan berbagai lagi perkara buruk yang timbul disebabkan oleh ISA. Jika memakai konsep yang sama, keburukan lebih banyak dari kebaikan, maka penulis menegaskan disini bahawa ISA itu HARAM.
Olehitu sebagai sebuah organisasi Islam, PPIM juga patut mengharamkan ISA dan bukan membenarkan diri menjadi alat dan bersubahat.
No comments:
Post a Comment