05 November 2008

Pesanan Untuk Najib

DS Najib,
Tahniah kerana telah terpilih tanpa bertanding untuk menjadi Presiden UMNO. Nampaknya orang UMNO sudah penat untuk berlawan di pucuk setelah berbulan-bulan menikam DS Abdullah supaya berhenti. Mahu tidak mahu DS Abdullah terpaksa akur kepada tekanan dari berbagai arah kiri, kanan, depan, belakang samada dari dalam UMNO sendiri mahupun dari parti-parti komponen BN. Tekanan dari pihak pembangkang sudah tentulah tidak perlu disebut lagi.
DS Najib,
UMNO kini yang boleh dikatakan dalam keadaan yang tenat. Ia seperti harimau tua yang sedang cedera, kedarat untuk memburu tiada lagi hanya mengharapkan apa yang ada di hadapan mata. Apa saja yang dapat dimaklan akan dibaham walaupun tikus kecil yang hanya sangkut celah gigi. Isu kecil seperti papan tanda dan perlantikan pemangku ketua PKNS diperbesarkan untuk dijadikan modal meraih sokongan. Ingatlah bahawa isu-isu seperti ini tidak banyak mendatang manfaat kepada UMNO, cuma sedikit tetapi ia boleh tersasar menjadi isu perkauman jika tidak ditangani secara berakal.
DS Najib,
Tahniah juga kerana sempat menyelamatkan diri dari skandal pembelian helikopter Eurocopter EC-725 Cougar. Tahukah DS jika anda terjebak amat susah untuk DS keluar kerana komplikasi kemasaan (timing) peralihan DS dari Kementerian Pertahanan ke Kementerian Kewangan. Sedangkan kes Altantunya dan Scorpene pun DS tenat dibuatnya, inikan pula satu lagi skandal pembelian helicopter. Tentu DS lega terlepas dari bala ini lebih-lebih lagi bila PAC mengesahkan bahawa tiada penyelewengan dalam prosedur pemerolehan helikopter itu. Semuanya mengikut prosedur standad antarabangsa. Tentunya standad tersebut diikuti, cuma yang tidak diikuti adalah harganya. Brazil beli helikopter Eurocopter EC-725 dengan harga RM82 juta sebuah, sedangkan Malaysia bakal membayar dengan harga RM193 juta sebuah jika transaksi jadi kenyataan. Walaupun prosedur tiada apa yang salah, adakah keupayaan kita berunding yang lemah (lihat posting saya tentang perkara ini).
DS Najib,
Pembentangan Pengembangan Bajet 2009 semalam menyaksikan usaha DS untuk meredakan kerisauan rakyat tentang kemelesetan ekonomi yang sedang menerjah kehidupan. RM7b yang dapat dijimatkan dari penarikan subsidi minyak tempoh hari mesti dibelanjakan dengan sebaik-baiknya. Rancangan DS untuk meningkat perbelanjaan dalam bidang teras seperti pembinaan (melalui pembinaan banyak rumah murah) dan meningkatkan modal insan boleh diterima. Sememangnya banyak perancangan kerajaan yang baik-baik, dari kementerian apa pun, tetapi yang merosakkanya adalah implementasi yang menyeleweng. Projek-projek mega untuk memangkinkan ekonomi tersasar menjadi pemangkin poket tertentu. Tender terbuka yang sepatutnya terbuka diberi secara terus tanpa telus. Tau-tau sahaja kompeni si anu-si anu telah dapat projek ratusan juta. DS harus mengkaji semula akan kewajaran rundingan terus terhadap projek-projek mega yang DS cadangkan. Kita tidak mahu 'ripple effect' dari projek-projek mega negara, yang diharapkan untuk menggerakkan ekonomi, tidak menjadi kerana penyelewengan oleh pihak yang berautoriti.
DS Najib,
Anda ini berada di ambang kuasa tertinggi di Malaysia. Jawatan Presiden UMNO kini hanya berada dihujung jari DS. Datang bulan Mac '09 DS akan menjadi Presiden UMNO dan jika BN masih lagi memerintah Malaysia, DS akan menjadi PM Malaysia yang ke-6. DS perlu terlebih dahulu mengemaskan UMNO sebelum dapat mengemaskan Malaysia. Rasuah politik sangat membarah dalam UMNO. DS perlu membersihkan parti DS jika mahu UMNO dihormati semula oleh kawan dan lawan. Lihat sahaja sekarang MCA pun sudah berani menyuarakan rasa marah pada UMNO secara terang-terangan. Konsep ketuanan Melayu yang diperjuangkan UMNO selama ini kini dipersoalkan oleh MCA dan Gerakan, rakan kongsi dan penyanjung UMNO dalam kerajaan. Mungkin konsep ini tidak relevan lagi sekarang. Zaman globalisasi mendambakan bangsa yang berdaya saing untuk maju. Konsep tuan dan hamba tidak lagi sesuai dan tidak akan membawa bangsa Melayu ke mana-mana. Jika DS mahu UMNO terus relevan, konsep ketuanan bangsa ini harus ditinggalkan dan diganti dengan ketuanan rakyat.
DS Najib,
Melayu ugamanya Islam dan bahasanya Melayu. Itulah Melayu mengikut perlembagaan Malaysia. Bukanlah Melayu itu mesti jadi tuan baru jadi Melayu. Melayu yang memegang Islam sekuat-kuatnya sahaja dapat membawanya ke mercu kejayaan. Sejarah telah membuktikan bahawa dengan Islam sesuatu bangsa itu akan menjadi cemerlang. Sekali ia meninggalkan Islam hilanglah daya maju dan daya saingnya. Lihatlah Turki sebagai contoh. Dulu semasa Islam menjadi tonggak, Turki adalah tuan di Eropah tetapi sejak Kamal Attaturk membawa Turki meninggalkan Islam, Turki kini menjadi pengemis di pinggir Eropah. Tentunya kita tidak mahu Malaysia serupa nasibnya seperti Turki.
Ketahuilah DS, UMNO yang DS pangku selama ini mengarah ke arah jalan yang dilalui Turki. Sekurang-kurangnya Turki di bawah Erdogan kini cuba balik ke pangkal jalan. Tetapi Malaysia di bawah UMNO semakin menjauh. Lihat sahaja program Islam Liberal yang sedang hebat menyerang keutuhan Islam asli. UMNO seolah-olah membiarkan sahaja dan dalam banyak hal menggalakkannya (hiburan yang melampau, misalnya). Kita lihat akhlak Melayu baik yang tua mahupun orang muda, semakin parah. Ini berlaku di depan mata Islam Hadhari yang dibawa oleh PM Abdullah. Gejala dadah, rempit, bohsia, riddah (murtad) dan jenayah semakin berleluasa dan majoriti pelakunya adalah orang Melayu. PM Abdullah seperti tidak dapat membendung gejala-gejala negatif ini. Bagaimana pula DS? Dapatkah DS membendung segala gejala-gejala tersebut di kala DS jadi PM nanti?
Ingatlah, selagi pemerintahan DS tidak menjalankan hukum-hukum Allah selagi itulah masalah-masalah yang dihadapai oleh PM-PM yang terdahulu akan mengganggu DS. Olehitu, sekali lagi diingatkan, selagi DS tidak mengambil undang-undang yang beteraskan Al Quran selagi itulah masalah Melayu dan Malaysia tidak akan selesai.
DS Najib,
Demokrasi Malaysia perlu lebih dibuka. Mungkin tidak seluas demokrasi di Amerika tetapi pihak pembangkang perlu di berikan peluang yang sama. Akses kepada media perlu diberi kapada semua bukan dibolot oleh BN semata-mata. Undang-undang drakonian ISA perlu dibuang. Badan Kehakiman mesti diberikan maruahnya semula dengan memberi mereka kebebasan bekerja tanpa campurtangan pihak eksekutif.
Berikan taring kepada BPR bukan hanya gusi yang tidak dapat mengunyah, hanya menelan segala kes-kes berprofil tinggi yang singgah di sana. Letakkan BPR di bawah tanggung jawab Yang Di Pertuan Agaong atau Parlimen supaya tiada penguasa yang boleh menempelak mereka.
Akhirkata DS Najib,
Waktu untuk DS berbulan madu telah lama tamat. Kerja keraslah untuk meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan negara kita yang tercinta. Malaysia perlu dinakhodai secara bersih, telus dan berhemah bukan dinodai ikut serakah rimba. Ingat! para pengundi kini bukan lagi seperti zaman Tun Mahathir. Mereka lebih bermaklumat dan matang memilih. Pakatan Rakyat adalah pilihan mereka bila datang PRU13, jika DS kecundang memimpin bangsa Malaysia.

No comments: