09 February 2010

Seloka Memanda Negeri Sebuah

Ada negeri emas sebuah,
Letaknya dia di Semenanjung Indah,
Rakyatnya ramai rezeki melimpah,
Negerinya makmur Sultannya ramah.

Datanglah musim memilih ketua,
Berebutlah yang mahu mendapat kuasa,
Rakyat memilih yang berkenan di jiwa,
Membeli janji yang ditabur mesra.


Ada yang ikhlas memberi diri,
Berkhidmat untuk rakyat sendiri,
Hukum nan adil bekalan hakiki,
Rakyat menilai undi diberi.


Ramai juga yang kelinking berkait,
Manis dimulut bukan sedikit,
Janji ditabur berbukit-bukit,
Bila menang mengumpul duit.


Arakian berlalu pesta mengundi,
Kertas dikira berkali-kali,
Memanda lama bersedih hati,
Undinya kurang tidak terperi.
Sultan berkenan terima mengadap,
Memanda baru penuh beradab,
Ilmunya tinggi tawaduk bersikap,
Gembiralah rakyat negeri segenap.


Cina India Mamak Melayu,
Hidup harmoni bersatu padu,
Yang tiada bertanah dapat selalu,
Pelabur datang berpusu-pusu.

Memanda pandai banyak bahasa,
Rakyat sayang tidak terhingga,
Adil saksama dasar terbuka,
Walaupun pembangkang diberi juga.


Hasad dengki orang yang kalah,
Benci dan marah mendidih menanah,
Helah diatur strategi diolah,
Tampuk perintah mesti dijarah.


Mesyuaratlah mereka sambil menjeling,
Jangan didengar walaupun dinding,
Lompatan katak harus dirunding,
Umpan dihulur katak menginding.


Memanda Perdana memasang tuba,
Katak bertiga sudah terkena,
Dilarikan sampai ke Putra Indra,
Jurutulis dipanggil berita disua.


Huru hara haru biru,
Negeri sebuah tidak menentu,
Memanda dilucut Sultan yang satu,
Hemat baginda sokongan layu.


Dititah Memanda menanggalkan dusturnya,
Arahan perdana sudah diterima,
Walhal negeri akan bencana,
Maka baginda disembah derhaka.


Memanda memujuk Sultan yang kasa,
Dibubarkan sahaja Dewan yang mulia,
Tetapi di mana entah silapnya,
Nasihat berguna tiada mengena.


Memanda Lanun pula dilantik,
Jika melawan akan dijentik,
Si kepala merah sedia membidik,
Rakyat diluku berbijik-bijik.


Merayulah Memanda yang sah,
Supaya Sang Lanun segera diubah,
Tetapi rintihan sentiasa disanggah,
Jentera negeri dipesong arah.


Memanda melawan berkali-kali,
Di bawah pokok bersidang sendiri,
Hendak ke Dewan tiada diberi,
Si Kepala Merah tegak berdiri.


Cubalah pula pergi mengadu ,
Lembaga Hakim rajuk diseru,
Hujah diberi bertalu-talu,
Gembira sekejap Lanun mengutu.


Pergi pula ke Lembaga Agung,
Keadilan di situ sentiasa disanjung,
Tetapi kecewa bertambah murung,
Kalah jua dengan dengan lima kosong.


Rakyat jelata sedih meratap,
Memanda Lanun mengetap-ngetap,
Mana dinar mahu disonglap,
Negeri sebuah biarlah bankrap.


Sultan dipujuk supaya sejuk,
Rakyat patutnya memegang tampuk,
Menentu siapa Memanda yang elok,
Supaya aman tidak direngkuk.


Bersambung.......


Sheikh Sambal

9 Feb 2010

Nota: Seloka di atas hanyalah rekaan semata-mata dan tiada kena-mengena dengan sesiapa pun yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.

No comments: