Seperti namanya sememangnya tempat ini ulu. Sungguh ulu. Perjalanan darat yang kami gunakan memerlukan kenderaan pacuan roda untuk sampai. Kereta biasa, taubat lahum tak sampai. Keadaan muka bumi yang berbukit-bukit dengan jalan tanah liat akan lebih sukar dan berbahaya bila hari hujan.
Walaubagaimana pun ekspisi kali ini lebih bermakna kerana tujuan utama adalah untuk memecah tanah pembinaan Surau Amal Al Azhar di perkampungan muallaf tersebut. Duit telah lama terkumpul tetapi suraunya masih menjadi tanda tanya. Setalah bermesyuarat entah yang ke berapa kali, Pimpinan AMAL Sarawak telah membuat keputusan bahawa tidak boleh tidak surau untuk saudara kita di sana mesti dibangunkan segera.
Maka dengan niat kerana Allah demi untuk memertabatkan syiar Islam di pendalaman Ulu Kota, cuti Tahun Baru Cina 12-16 Februari 2010 telah disepakati untuk melabuhkan cita murni para penderma dan penduduk tempatan. Yayasan AMAL Malaysia (Cawangan Sarawak) dengan kerjasama HIKMAH dan JAIS telah melakukan ekpidis ziarah ke sini dengan berbekalkan 30 tenaga sukarelawan AMAL, HIKMAH dan JAIS.
Selain dari tujuan untuk memecah tanah bagi pembinaan surau, tujuan ziarah kali ni juga adalah untuk merapatkan silaturahim yang sedia mantap, melihat perkembangan perkampungan baru Orang Islam di sana dan untuk memberi dan membawa sumbangan para dermawan yang tidak dapat ikut bersama.
Berikut adalah catatan yang sempat Sheikh Sambal coret semasa bersama sukarelawan AMAL, HIKMAH dan JAIS dalam misi ziarah kali ini.
Hari Pertama (12/02/10)
Mesej dari Amirshab Muhtar Suhaili mengarahkan semua berkumpul di rumahnya pada pukul 5ptg diterima semasa ana masih didepan PC di pejabat. ‘Eh..Muhtar ni, ana abis kerja pun pukul 5, mana nak ambik anak-anak dari sekolah lagi, mana nak bersiap lagi. Tapi takpa lah, kalau ana lambat pun depa kena tunggu jugak sebab ana ditugaskan untuk jadi drebar. Hehehe... kang pukul 5.30ptg kita jumpalah...’ Pun begitu ana cuba habiskan kerja secepat mungkin dan telefon zaujah agar segera datang menjemput.
5.15pm selepas berpesan-pesan pada anak dan zaujah tercinta, ana segera bergegas ke rumah Amirshab Muhtar (merangkap Pasti Al Amalulillah dan Pejabat YAM Sarawak) untuk mendengar taklimat dan menunggu arahan selanjutnya.
Sampai di sana hanya Saudara Mizan dan Kamarul sahaja yang baru tiba. Geng dari IKBN masih belum sampai. Alhamdulillah, ana tidaklah terlambat sangat rupanya. Geng IKBN katanya perlu membuat beberapa persiapan terakhir. Jadi ana ambil kesempatan untuk bertanya khabar dengan Kamarul yang sejak program ziarah yang dulu belum pernah berjumpa lagi.
Pukul 6pm baru semua ahli expidisi dapat berkumpul. Akhi Muhtar telah memberikan taklimat ringkas tentang perjalanan dan objektif ziarah kali ini. Memandangkan waktu maghrib telah hampir, perjalanan akan dibuat selepas Solat Maghrib.
Sarjan Safarudi dari Geng IKBN sedang membuat pemeriksaan terakhir. ` Pasang kanvas jap, kok ujan tak basah den...’ Eh ...jang tu tompek barang, bukan orang...
Sheikh Sambal ditugaskan untuk memandu kereta Pick-Up Storm kuning, yang di infaqkan oleh Vehaya untuk expidisi kali ini. Kereta memang canggih kerana setiap kali nak hidupkan enjin perlu swipe anti-teft card dahulu. Nak berjalan pun kena swipe juga kalau tidak alarm akan terpasang. Leceh jugak kalau canggih sangat ni!.
Dari Miri kami direncana akan bertolak dengan 3 buah kenderaan pacuan 4 roda (Storm Kuning Vehaya, Hi-Lux Muhtar dan Mazda Kamarul) dan sebuah kereta Geng IKBN yang akan ditukar dengan Triton adik Akh Muhtar, Mustamin, di Bintulu.
Selepas solat Maghrib dan taujihat ringkas beserta doa peserta expidisi dilepaskan oleh Saudara Azwani SU YAM Sarawak untuk memulakan perjalanan yang akan singgah di Bintulu sebelum meneruskan perjalanan ke Sarikei. Dari Miri Cuma ada 10 peserta. Ramai akan menyertai konvoi ini di Bintulu dan selebihnya di Sarikei peserta dari HIKMAH dan JAIS.
7.30pm Semua kereta mengisi minyak di Petronas depan Boulevard dan hati yang penuh syukur menyambung perjalanan melalui jalan pantai ke Bintulu. Sampai di Bekenu, Kereta Akhi Muhtar terpaksa berhenti untuk membetulkan barang-barang di belakang masuk bawah kanvas betul-betul supaya tidak kena hujan. Hari nampak macam nak hujan tapi alhamdulillah perjalanan ke Bintulu lancar tanpa ada apa-apa masalah. Cuma Sheikh Sambal rasa sedikit mengantuk kerana rakan co-driver tak kaki borak.
Isi minyak dulu. Kasi penuh tangki. Amirsahab bayar.
10.30pm Kami semua selamat sampai ke Bintulu. Arahan dari pengarah program Ustaz Ibrahim agar semua pergi ke Anjung Selera di RPR Assyakirin untuk makan malam. Selepas tersasau sedikit kami pun sampai di Anjung Selera di mana sahabat-sahabat dari Bintulu sedang meraikan kedatangan Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok dan Sheikh Salmi yang didatangkan khas dari YAM Pusat untuk menyertai misi kali ini. Inilah kali pertama Sheikh Sambal berjumpa dengan Pak Daeng Sanusi. Biasa baca dalam akhbar saja. Orangnya dah tua tapi banyak tenaga. Ilmunya luas tapi kelihatan sederhana. Beliau adalah Penasihat Yayasan Amal Malaysia. Beberapa bulan dulu beliau bersama Muhtar dan sukarelawan lain pergi ke Padang untuk membina telaga tiub untuk mangsa gempa Padang.
11.30pm Makan malam selesai dan semua diminta berkumpul di Bintulu Iqra’ Centre(BIC), Kidurong. Di sini kami disertai oleh sahabat-sahabat lain untuk ke Sarikei. Jumlah peserta adalah 20 orang diketuai oleh Ustaz Ibrahim. Ada 5 buah 4WD dan setiap kenderaan diisi dengan 4 peserta dan barang-barang dan kelengkapan untuk memecah tanah bagi menyediakan tapak surau. Kereta Sheikh Sambal akan disertai oleh Akhi Zahari Ochit, Sarjan Safarudi dan Abdul Rahman (pelajar ITB dari Ulu Kota).
Memandangkan Sheikh Sambal memerlukan seorang yang rancak bercakap (untuk mengelakkan mengantuk), Abdul Rahman ditukarkan dengan Ustaz Salehuddin. Maklumlah memandu sepanjang malam memerlukan kewaspadaan yang tinggi. Kiri kanan gelap. Kalau semua penumpang pakat tidur, pemandu pun boleh tidur sama. Nanti bukan Sarikei kita sampai tapi tempat lain kalau tak hospital, barzakh.
Taklimat perjalanan dan pembahagian kenderaan 4WD oleh Ustaz Ibrahim. Ada 5 kereta, setiap kereta 4 orang. Mesti ada pemandu simpanan setiap kererta.
Sebelum bertolak Pak Daeng membacakan doa memohon pertolongan dan berkati Ilahi
Hari Kedua (13/02/10)
12.30am Alhamdulillah, perjalanan ke Sarikei dimulakn. Ustaz Saleh walaupun mengantuk tetap menjadi rakan borak yang baik. Macam-macam cerita keluar walaupun dah minta izin untuk lelap sebentar. Dah ustaz biasa bawak ceramah. Kalau bagi mikrofon lagi rancak ni.
01.05am Berhenti rehat dan isi minyak di Selangau. Ada Nordiana Cafe. Sheikh Sambal mintak Kopi Radix tapi yang ada Tongkat Ali CNI. Sebab nak tenaga tambahan bagi mata tak kuyu CNI pun jadilah. Boss HPA Hj Ismail, kena fikir macamana Kopi Radix patut sampai ke sini.
Sambil berehat kami sempat mendengar celoteh Pak Daeng. Orang lama ni memang banyak pengalaman. Orang lain mungkin lebih selesa duduk rumah jaga cucu tapi dia pula lebih suka cari susah di medan dakwah. Banyak nasihat dalam gerak kerja organisasi dakwah diberikan oleh Pak Daeng. Kami amat bertuah kerana dapat bersama beliau dalm misi kali ini.
Pak Daeng: ‘Masa di Padang Ya Akhi, telaga tiub yang kami gali tu ada yang dalam sampai 100 kaki! Dalam sehari kami dapat buat 3 ke 5 buah. Tapi saya tak buat la tukang tengok je...”
Selepas menghabiskan kopi panas kami pun menyambung perjalanan ke Sarikei. Ustaz Saleh pula memandu. Tadi masa sejam sebelum Selangau dia dapat lelap. Hah...Sheikh Sambal ada can tidur pulak. Zahari dengan Sarjan memang sonyap yo layan mato kek belakang.
5.11am Rombongan AMAL selamat sampai ke Masjid Al Muttaqin, Sarikei. Kalau ikutkan jadual, sepatutnya sampai pukul 1am. Tapi disebabkan banyak hal, sampai pukul lima suku pg pun ok. Kami disambut oleh Dr Awang Ismail Ketua HIKMAH Sarikei.
Masjid Al Muttaqin, Sarikei.
Dr Awang : `Ahlan wa sahlan wal marhaban...’ Muhtar: ` Wah... orang sini cakap Aarab lah...’
Sheikh Sambal: ` Aduss...my neck is still sleeping...’ `Sheikh Muhtar enta ada minyak unta? Ana mau urut ini leherlah..’
5.31am. Kami Solat Subuh. Seusai solat, tuan imam memperkenalkan kami kepada jemaah dan meminta seorang ustaz dari rombongan kami memberikan tazkirah subuh. Amir rombongan meminta Ustaz Salehuddin untuk tidak menghampakan permintaan orang tempatan. Walaupun mengantuk dan letih memandu sejak dari Selangau, Ustaz Saleh sempat memberi peringatan kepada kami semua. Antara lain beliau mengingatkan:-
· Hendaklah kamu bertaqwa wala di mana kamu berada, dengan sebenar-benar taqwa.
· Hendaklah kamu melakukan kebaikan jika melakukan kejahatan kerana sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan. Seperti beristighfar dan bersedeqah.
· Hendaklah kamu banyakkan bersedeqah kerana sedeqah dapat menghapuskan dosa-dosa terdahulu.
· Hendaklah kamu berakhlak dengan akhlak yang mulia seperti Nabi Muhammad s.a.w
Ustaz Saleh juga menceritakan kisah yang beliau lihat sendiri semasa di Madinah. Ada seorang Makcik Arab yang miskin duduk bersandar di tiang dalam keadaan yang sangat dhoif. Arakian, datang seorang lelaki Arab yang kacak dan lawa dengan pakaian putih yang mahal lalu menyeluk saku jubahnya dan tanpa melihat apa yang diseluknya terus diletakkannya di atas riba makcik itu. Ustaz Saleh nampak duit yang sangat banyak telah diberikan oleh lelaki tadi tanpa berfikir-fikir atau mengira jumlah yang patut diberi.
Dengan cerita itu Ustaz Saleh menggalakkan para jemaah untuk berbuat kebajikan tanpa berfikir panjang. Oleh kerana tujuan kita datang untuk membina surau di Ulu Kota, maka para jemaah jangan lepas peluang untuk bersama-sama memberi infaq kepada usaha murni ini. Ramai juga ahli qariah masjid ini memberikan sedeqah untuk itu. Ustaz Saleh, terima kasih. Enta memang pakar membakar semangat jihad.
Ustaz Saleh: ` Janganlah kamu mati selain dari Islam!’ Eh..Saudara Kamarul kusyuk benar tu...asyik mengangguk-ngangguk je!.
Selepas tazkirah kami terus ke Taski ABIM yang bersebelahan dengan masjid untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke Ulu Kota, Pakan, Sarikei. Walaupun Taski tu sebelah masjid tapi kena buat satu pusing baru jumpa jalan masuk. Dari 3 kereta, 3 sesat jalan. Ini mesti pasal kepala dah lunyai. Maklumlah semalam-malam memandu. Amirsahab bersama Sheikh Sambal pergi mencari . 2 jumpa disimpang. Triton geng IKBN jumpa di Shell dalam bandar Sarikei.
6.45am Ada sarapan nasi lemak dan karipap dan kopi panas. OK ni. Sementara menunggu ada yang minum terus dan ada pula yang melunjurkan badan. Kamarul pula mandi dulu. Sheikh Sambal pula, apa-apa hal nasi lemaklah dulu lepas tu baru luruskan badan.
Berbincang sambil sarapan. Dr Awang Ismail (depan pintu) bersusah payah menyambut kami dengan air kopi panas dan nasi lemak. Eh...Tu nulis ke tidur....
8.30am Mesyuarat dengan sahabat-sahabat dari Sarikei HIKMAH dan JAIS, dimulakan dengan majlis ta'aruf. Alhamdulillah JAIS menghantar 3 orang Ustazah iaitu Ustazah Nurazian, Ustazah Zubaidah dan Ustazah Rohanawati. Dalam siri ziarah yang terdahulu cuma siri 1 sahaja muslimat ikut serta. Dengan ada ustazah dari JAIS ini maka lebih mudahlah proses pengajaran muslimat muaalaf di sana nanti, terutamanya bab-bab orang perempuan.
Ustazah Norazian, Ustazah Rohanawati dan Ustazah Zubaidah. Yang nampak muka je tu..Ustaz Zambri Rejab.
Pak Daeng telah memberikan sedikit Tazkirah selepas majlis ta'aruf. Beliau menghuraikan tentang sebuah hadis yang mahfumnya. "Orang yang terbaik di antara kamu adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain". Yayasan AMAL Malaysia ditubuhkan untuk membuat kerja-kerja amal bagi membantu orang lain. Maka bertepatan dengan hadis tadi, kita harus menjadi sukarelawan YAM untuk menjadi manfaat kepada orang lain. Atas sebab itu juga kata Pak Daeng beliau bergiat dalam YAM bagi menghabiskan sisa-sisa hidup yang tinggal.
Beliau menyeru semua sukarelawan, ahli dan pimpinan YAM agar bersungguh-sungguh membuat kerja-kerja amal.
Kushuk benar Akhi Zahari mendengar nasihat Pak Daeng. Beginilah bakal menantu yang baik....ehem..ehem...
Dalam mesyuarat ini juga YAM Sarawak mengambil kesempatan untuk menubuhkan AJAK penaja bag YAM Sarawak (Unit Sarikei). Ustaz Zambri Rejab telah diberi taklifan untuk menerajui pasukan penaja yang baru dilantik ini. Ustaz Zambri sungguh bersemangat untuk membantu pergerakan da'awah di Sarawak ini. Semuga dengan adanya penaja Sarikei, YAM Sarawak akan lebih berjaya.
Akhi Muhtar gumbira sebab ada sahabat yang sanggup memikul tanggungjawab untuk mendokong YAM Sarawak (Unit Sarikei)... Ustaz Zambri: `Muhtar mu jange hepi sangak, kalu mu tok bantu kawe...kawe luku palo mu..'
Seleps majlis penubuhan penaja Sarikei, mesyuarat diteruskan. Perbincangan menumpu kepada program yang akan dijalankan di Ulu Kota nanti.
10.00am Mesyuarat selesai dan semua peserta expidisi bersiap untuk meneruskan perjalanan ke Ulu Kota. Tetapi sebelum itu, tugasan untuk membeli bekalan minyak , makanan dan perkakas yang perlu, diselesaikan dahulu.
11.30am Rombongan expidisi yang kini disertai oleh Cikgu Asrin & Ustaz Zafri (dari SMK Pakan), Ustaz Amir, Ustaz Fazli, Ustaz Mustajab & Dr Awg Ismail (HIKMAH) dan 3 ustazah dari JAIS bersama Man pemandu JAIS, memulakan perjalanan yang mengambil masa lebih 3 jam. Itu pun ia bergantung kepada keadaan jalan, maklumlah jalan balak je yang masuk ke sana. Kalau hujan, mau makan 5 jam. Tu pun kalau tak tersangkut dalam lumpur. Dengan rasa penuh debar anxious para peserta memulakan adventure ini.
Bersambung......
No comments:
Post a Comment