21 October 2008

Kemahiran Berunding Kita Lemah?

Brazil beli helikopter Eurocopter EC-725 dengan harga RM82 juta sebuah, sedangkan Malaysia bakal membayar dengan harga RM193 juta sebuah. Kontrak Brazil itu juga mewajibkan Eurocopter memindahkan teknologi ke kilang di Brazil tetapi pembelian di Malaysia langsung tidak mempunyai sebarang asas timbal balik yang mendatangkan keuntungan buat Malaysia sama ada jangka pendek mahupun jangka panjang. Begitulah bunyi laporan polis yang dibuat oleh Angkatan Muda Keadilan(AMK) semalam.
Kontroversi pembelian ini muncul selepas Mentari Services Sdn Bhd mempertikaikan tatacara perolehan helikopter tersebut minggu lalu dan isu yang sama dibangkitkan oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, Isnin lepas. Pengerusi syarikat itu Kapt (B) Datuk Zahar Hashim mendakwa keputusan kementerian mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."
Laporan polis telah dibuat dan kerajaan juga telah menyerahkan kes pembelian ini untuk diteliti oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memperhalusi isu pembelian Eurocopter EC-725 itu bagi menggantikan helikopter Nuri. Biarlah siasatan dibuat, kalau salah hukum dan kalau tidak lepaslah.
Kita sebenarnya patut belajar dari Eurocopter dan Brazil. Eurocopter sebagai penjual memang seboleh-bolehnya cuba membuat keuntungan sebanyak mungkin. Kalau dengan Brazil dia untung sedikit tetapi transaksinya dengan Malaysia Eurocopter nampaknya untung besar. Brazil pula amat pandai dalam dalam tawar menawar. Brazil beli 50 buah helicopter dengan harga RM4 bilion bersama dengan pemindahan teknologi berbanding dengan Malaysia 12 buah pada harga RM2 bilion tanpa ada apa-apa keuntungan timbal balik.
Kedua-dua Eurocopter dan Brazil mempunyai negotiation skill yang hebat. Kenapa Malaysia amat kurang dalam skill ini. Banyak transaksi antarabangsa kita membuat kita kelihatan bodoh. Baru-baru ini Sime Darby rugi lebih RM80juta dalam urusan menjual minyak sawit ke China. Dulu kita pernah beli jet pejuang tapi tersadai kat padang pasir. Kita tempah kapal perang dengan syarikat dalam negeri pun boleh rugi. Bayar dah berlebih tapi siapnya idak.
Apakah sebenarnya yang terjadi? Kalau kemahiran berunding kita lemah, kita pernah melarikan Guthrie dari bawah batang hidung mat salleh London dan bawa balik ke Kuala Lumpur. Itu bukan kecil anak punya kemahiran. Mat salleh pun terlelan. Itu bukti orang kita memang pandai berunding.
Jadi bukanlah kemahiran berunding yang kita lemah sebenarnya. Ada perkara lain yang kita lemah dan menyebabkan kita membayar lebih dari yang sepatutnya. Apakah perkara itu? Hah...itulah yang AMK cuba cungkil dan PAC patut siasat.



No comments: