28 July 2010

Bila Guru Boleh Berpolitik

Sambutan berbelah bagi bila kebenaran guru boleh masuk politik. Baguslah. Dulu memang para gurulah yang memikul tanggung jawab politik negara. Merekalah yang menyedarkan rakyat tentang kuasa politik mereka. Mereka mengajar rakyat tentang kepentingan memilih pemimpin yang betul-betul memperjuangkan nasib rakyat. Dan biasanya merekalah yang menjadi penggerak parti politik baik pro atau anti kerajaan.
Guru adalah orang yang membaca. Mereka juga menulis. Merekalah yang ada ilmu dan ilmu disebarkan melalui tulisan. Perjuangan nasib bangsa ditintakan untuk tatapan khalayak. Akhbar dan majalah menjadi wadah untuk ilmu politik disampaikan kepada rakyat jelata. Maka rakyat pun sedar tentang nasib mereka. Bila rakyat sedar akan apa yang berlaku atau dilakukan ke atas mereka, mereka pun bersatu di bawah naungan guru-guru yang mengajar mereka. Itulah guru. Mengajar dan menyedarkan jelata akan hak politik mereka.


Guru pula ada banyak cabang fahamnya. Yang baca buku sosialis maka ke arah situlah dibawa pengikutnya. Yang faham Islam, kepada gerakan Islamlah pula. Yang Nasionalis ke parti kebangsaanlah mereka. Pendek kata guru akan membawa pengikut atau murid-murid mereka kepada fahaman masing. Di sinilah demokrasi tumbuh mekar.


Inggeris pada masa dulu mahu mengekang fahaman komunis dengan mengajar orang Melayu tentang fahaman Kebangsaan. Maka lahirlah sekolah-sekolah Melayu yang melahirkan ramai pemimpin UMNO. Sekolah-sekolah pondok yang membawa fahaman Islami melahirkan pula para ulama yang cenderung mahu Islam memerintah maka lahirlah PAS pecah dari UMNO yang tidak mahu Islam menjadi dasar parti. Semua gerakan kumpulan ini digerakkan oleh pendukung yang bertaraf guru kebanyakannya.


Jadi bila kerajaan membenarkan guru-guru kembali boleh aktif dalam politik, petanda baik untuk masyarakat lebih celik politik. Walaubagaimana pun, perlaksaannya agak mencurigakan. Kenapa perlu mendapat kelulusan dari pihak atasan dahulu baru boleh memegang jawatan politik. Nah.... inikah sebenar muslihatnya. Siapakah orang atasan itu. Bolehkah dia berlaku adil kepada semua parti dan fahaman politik.
Kalau orang atasan itu adalah pemimpin UMNO, mahukah dia memberi kebenaran kepada orang bawahnya aktif dlam parti musuh? Apakah jaminan para guru yang menyokong parti pembangkang akan selamat bila dia diketahui bossnya yang dia adalah musuh politik. Adakah ini sebenarnya muslihat untuk 'menangkap' para guru yang menyokong pembangkang? Pastinya diskriminasi akan berlaku jika kebenaran adalah hak orang atasan.
Kebenaran untuk para guru berpolitik sepatutnya tidak bersyarat. Barulah itu adil dan demokrasi namanya. Kalau tidak, ia hanyalah gimik muslihat UMNO sahaja...



.
Sheikh Sambal.
.

No comments: