12 June 2009

Mir Houssein Mousavi

Hari ini, Republik Islam Iran akan memilih seorang Presiden baharu. Sekiranya terdapat jumlah undi yang hampir sama banyak, pilihanraya pusingan kedua akan berlangsung sekali lagi minggu hadapan dengan dua calon tertinggi (terdapat empat calon) bakal berdepan untuk kali terakhir.
Barat, khusus Amerika Syarikat memberi perhatian besar kepada calon Presiden - Mir Houssein Mousavi yang disifatkan sebagai calon jalur moderat di Republik Islam Iran.
Sesuatu yang harus anda ketahui ialah terma seperti moderat, liberalis, sederhana, ekstrimis, keras dan konservatif di Republik Islam Iran sama sekali tidak dapat 'terpakai' atau sama dengan apa yang ada di Malaysia mahupun apa yang difahami di Barat. Mereka yang masih terkial memahami wilayatul faqih akan bingung dengan permainan terma ini di Iran. Justeru istilah konservatif dan moderat di Iran tidak sama sekali menyerupai istilah 'konservatif' dan 'erdogan' dalam PAS. Kesederhanaan dan janji lunak golongan moderat di Iran tidak sama dengan kecenderungan dan keliberalan pemimpin Turki, Recep Tayyip Erdogan terhadap Amerika dan Israel.
Ambil sahaja Presiden sekonservatif Mahmoud Ahmadinejad, hampir dua tahun lalu beliau adalah Presiden yang berani membuka ruang untuk membenarkan wanita menonton perlawanan bola sepak kebangsaan di stadium. Ini bermakna penonton wanita menyaksikan perlawanan bola yang pemainnya adalah lelaki secara terbuka di awam (sesuatu yang sebelumnya tidak berlaku). Pun keizinan Mahmoud Ahmadinejad tersebut divetokan oleh Ayatullah al Uzma Ali Khamenei, pemimpin tertinggi Republik Islam Iran dan pemimpin politik umat Islam syiah usuli seluruh dunia. Alasan beliau 'persekitaran di stadium tidak sesuai untuk wanita'. Jika ingin menonton, ya lihat sahaja menerusi siaran langsung di televisyen.
Justeru jika ada yang menyangkakan Mir Houssein Mosavi seorang reformis dan bukan konservatif. Fikirkan semula.
Ambil sahaja Zahra Rahnavard, isteri Mir Houssein Mousavi berusia 61 tahun. Seorang nenek, pelukis,dan mantan canselor sebuah universiti. Beliau jua adalah seorang penulis drama pentas. Salah sebuah drama pentas beliau yang paling diingati ialah mengenai Salman Rushdie yang digambarkan sebagai 'iblis'. Nah, sebagai seorang moderat Rahnavard sama sekali tidak seperti orang itu (yang liberal dalam konteks Barat) di mana sanggup dan tergamak memuji Salman Rushdie penghina Nabi Muhammad saw sebagai 'profound writer'.
Zahra Rahnavard juga penulis esei yang diketahui umum di Barat berjudul The Colonial Motives for the Unveiling of Women and The Beauty of the Veil yang jelas menyatakan kepentingan hijab sebagai menjaga maruah wanita Islam. Hijab menurut beliau menjaga wanita "from being mere (sex) objects and makes them intellectually and spiritually valued people."
Betul, sebagai reformis Zahra Rahnavard dalam tahun 2000 menganjurkan kempen untuk membenarkan wanita mengenakan cadur yang bukan sahaja hitam. Ini bermakna mereka menuntut hijab yang lebih berwarna-warni. Pun itu tidak bermakna beliau bersetuju supaya hijab ditanggalkan dari kepala wanita Islam.
Siapa pula Mir Houssein Mousavi yang mencabar Mahmoud Ahmadinejad ini? Benarkah beliau kurang berbahaya? Beliau adalah Perdana Menteri Republik Islam Iran ketika Ayatullah Ali Khamenei menjadi Presiden antara tahun 1981-89. Mendiang Ronald Reagan, Presiden Amerika Syarikat pernah melabel beliau "terrorist kingpin" sebagai mengecam peranan Mousavi dalam menyokong dan mendanai gerakan revolusi dan pemberontakan di Amerika Tengah. Benar, beliau adalah penasihat untuk bekas Presiden 'reformis' Iran Mohammad Khatami dalam tahun 90an tetapi beliau juga antara pemimpin Iran yang bertanggungjawab memimpin Iran ketika perang dengan Iraq (yang merupakan proksi Amerika dan Arab Saudi awal tahun 80an). Terdapat dakwaan beliau juga antara beberapa orang tokoh politik Iran yang mempunyai sumbangan dalam penubuhan Hezbullah, gerakan Islam yang amat digeruni Amerika, zionis dan Arab Saudi di Lubnan dan Timur tengah amnya.

2 comments:

wisata riau said...

aslmm pak cik... aku datang.. salam ziarah...

Sheikh Sambal said...

W'salam....Sdr Prima,

Sila datang lagi...