26 December 2008

KESAH PUSO

Baru-baru ini penulis bertemu dengan seorang pesara guru yang pernah berkhidmat sebagai guru penyelia di Miri, Sarawak. Penulis memanggilnya Pak Uhai. Beliau berasal dari Bintulu dan boleh berinteraksi dalam berbagai dialek suku kaum di Sarawak. Satu kebanggaan beliau ialah beliau mempunyai darah keturunan Orang Ulu - Kenyah Sebob. Bila bercerita tentang nenek-monyangnya beliau akan bercerita dengan penuh bersemangat dan penuh bangga.


Ini ceritanya.

Lama sebelum para mubaligh Kristian bergerak cergas menyebarkan Agama Kristian ke pelusuk Pulau Borneo, khasnya, Sabah dan Sarawak, orang-orang Islam dari Kesultanan Brunei telah lama mempunyai hubungan perniagaan dan pentadbiran dengan orang-orang pribumi Sabah & Sarawak. Pada sekitar awal tahun 1800an Sultan Brunei memerintah hampir seluruh Borneo dan pulau-pulau sekelilingnya. Untuk mentadbir kawasan yang sangat luas, wakil-wakil Sultan dilantik untuk mentadbir kawasan-kawasan di ulu pendalaman dan yang terlalu jauh dari pusat pemerintahannya.
Di kawasan Ulu Baram, di Ulu Sg Tinjar, di mana satu suku kaum Orang Ulu -Kenyah Sebob menetap, Sultan Brunei telah melantik seorang ketua yang bernama Aban Jau untuk menjadi wakil sultan atau raja Sebob. Maren (gelaran untuk orang bangsawan Sebob) Aban Jau telah dikurniakan beberapa mariam dan senjata untuk mempertahankan tanahair dari di ceroboh oleh Rajah Putih Brooke. Semasa Rajah Brooke menghantar wakilnya untuk memaksa Ulu Tinjar tunduk kepada pemerintahan Rajah Putih, Aban Jau menyindir wakil Rajah itu dengan mengatakan bahawa benderanya sentiasa berkibar di belakangnya dan dia tidak perlukan bendera baru dari Rajah Brooke. Apa yang dimaksudkan oleh Aban Jau adalah kain cawatnya yang menutup bahagian buntutnya.
Aban Jau mempunyai seorang cucu perempuan dari anak tungalnya yang benama Lata. Seperti kebanyakan Orang Ulu, Lata mempunyai kulit yang putih kemerahan dan agak tinggi lampai. Dia sangat disayangi oleh Aban Jau dan seluruh masyarakat Sebob.
Pada masa dulu ramai pedagang Brunei masuk ke pendalaman untuk berdagang dan berniaga. Mereka membawa berbagai jenis keperluan seperti barangan tembaga dan tembikar untuk dijual atau ditukar dengan barangan hutan seperti kayu kayan, geharu, manik dan kraf tangan. Salah seorang pedagang Brunei bernama Awang Rajit telah datang ke penempatan Kenyah Sebob di Ulu Tinjar untuk berniaga barangan tembaga. Semasa di sana beliau telah terpikat dengan kecantikan Lata dan bertekat untuk mengahwini Lata. Olehkerana Awang Rajit adalah pedagang dari istana Brunei Aban Jau telah bersetuju untuk mengahwinkan Lata dengan beliau. Maka hiduplah Awang Rajit di Rumah Panjang Aban Jau sehingga lahir anak lelaki yang dinamakan Puso.
Setelah beberapa tahun mendiami Rumah Panjang Aban Jau, Awang Rajit berhajat untuk pulang ke kampung halamannya di Kuala Belait, Brunei. Walaubagaimanapun hajatnya itu di tentang oleh Aban Jau kerana beliau tidak mahu Awang Rajit membawa Lata dan Puso pergi dari situ. Sebagai cicit lelaki dari darah dagingnya, Puso bakal menjadi penggantinya menjadi raja Sebob di Ulu Tinjar. Olehkerana rindukan kampung kelahirannya yang sangat kuat dan keadaan Awang Rajit yang sakit, beliau terpaksa juga meninggalkan Lata dan Puso lalu pulang ke Brunei untuk berjumpa keluarga dan berubat.
Tinggallah Lata dan Puso meneruskan kehidupan dalam jagaan penuh kasih sayang oleh Aban Jau dan seluruh kaum kerabat mereka.
Sementara itu, sakit Awang Rajit semakin teruk. Sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, dia telah berpesan kepada saudara kandungnya agar pergi ke Ulu Tinjar dan membawa Puso pulang. Maka bersiaplah serombongan orang-orang Brunei untuk pergi ke Ulu Tinjar dengan membawa barang dagangan dan rancangan rapi bagaimana mahu menculik Puso dari jagaan Aban Jau.
Seperti biasa rombongan peniaga dari Brunei disambut dengan suka ria oleh Aban Jau dan masyarakatnya. Lebih-labih lagi yang datang kali ini juga adalah bapak saudara Puso. Setelah melepaskan penat, pedagang-pedagang Brunei itu punt pun mulalah membuka barang dagangan masing-masing. Kaum wanita dan kanak-kanak sibuk berkerumun melihat 'design' terbaru barangan tembaga dan tembikar Cina yang dibawa mereka. Kaum bapa pula tidak ketinggalan melihat dan mencuba tembakau yang baru datang.
Setelah tuntas urusan berniaga beberapa hari di sekitar Ulu Tinjar, bapa saudara Puso pun meminta kebenaran daripada Aban Jau untuk membawa Puso bersiar-siar melawat kawasan Sg Tinjar, memancing dan mandi di jeram. Olehkerana yang mengajak itu adalah bapa saudara Puso sendiri, maka Aban Jau pun membenarkan Puso dibawa olehnya untuk pergi berjalan-jalan. Tidak diketahui oleh Aban Jau bahawa orang-orang Brunei tersebut telah bersiap sedia untuk melarikan Puso pada masa itu.
Tanpa membuang masa Puso pun dibawa oleh mereka pergi dari rumah panjang Kenyah Sebob itu. Setelah hari semakin jauh malam, maka sedarlah Aban Jau bahawa Puso telah dilarikan oleh orang-orang Brunei. Tanpa berlengah lagi, Aban Jau pun mengerahkan semua panglima dan orang-orang kuat Sebob untuk memintas penculik-penculik yang tidak disangkanya itu.
Pada masa yang sama para pedagang Brunei tersebut telah jauh meninggalkan runah panjang mereka. Puso yang dikendong di dalam bakul, tidak faham apa-apa. Beliau tetap sahaja bermain-main dengan mereka. Sambil mencantas pokok-pokok renek yang menghalang lalaun mereka, orang-orang Brunei tersebut meneruskan perjalanan mereka menuju ke jeti di hilir Sg Tinjar. Walaupun malam semakin gelap perjalanan tetap diteruskan kerana jika mereka dipintas oleh orang-orang Sebob sudah tentu kepala mereka akan dipenggal dan dijadikan piala kebanggaan oleh panglima-panglima Sebob. Ini adalah soal hidup dan mati. Walau apa pun terjadi, mereka mesti sampai ke jeti tepat pada masa kapal kerajaan yang berlabuh di situ bertolak.
Oleh kerana malam tersangat gelap di dalam hutan Tinjar, orang-orang Sebob yang bersenjatakan tombak dan parang ilang, tidak dapat meneruskan perjalanan dengan pantas. Susah untuk mereka menjejak laluan yang digunakan oleh penculik-penculik itu. Cahaya jamong yang mereka bawa tidak begitu kuat untuk menilik ke mana arah yang diambil oleh orang-orang Brunei itu. Ini melambatkan lagi perjalanan mereka. Aban Jau sungguh cemas dengan keadaan ini. Beliau sangat menyesal kerana terlampau percaya kepada bapa saudara Puso itu. Kalaulah dapat ditangkapnya, sudah tentu putus semua kepala orang-orang Brunei durjana itu. Dalam keadaan kelam kabut begitu mereka pun terjumpa laluan yang digunakan oleh orang-orang yang mereka kejar.... (bersambung...)






No comments: