Setiap kali aku memandu sekeliling negeri ini ,Tanah Kenyalang, aku sentiasa bertanya ke mana perginya segala hasil mahsul negeri yang kaya raya ini. Kalau dibanding keluasan tanahnya, sebesar Semenanjung Tanah Melayu. Balaknya melambak.Kayu-kayannya bermutu tinggi. Mana ada Kayu Belian di tempat lain. Petroleum dan gas telah dipungut sejak 100 tahun lalu dan masih banyak dalam perut buminya. Telaga minyak yang pertama di Malaysia terletak di atas Bukit Kanada di Miri. Mula operasi penghasilan minyak pada tahun 1910. Tahun ini 2010, Sarawak Shell Berhad merayakan 100 tahun Telaga Minyak Miri No.1. Seratus tahun royalti minyak dan gas pergi mana? Ok sebelum merdeka Orang Putih kebas bawak balik Eropah. Tapi selepas merdeka pula mana duit minyak yang berbilion setahun tu?
Kalau ikut duit dari hasil mahsul negeri, Sarawak sudah patut mempunyai sistem jalanraya sehebat 'Autobahn' Negara German dan semestinya tanpa tol!. Rangkaian keretapi yang menghubungkan setiap bandar besar dan kecil dah sepatutnya ada lamdah. Kalau dikatakan negeri ini tak sesuai dengan jalan keretapi sebab bentuk mukabumi yang banyak sungai dan bukit-bukau dan berpaya. Itu alasan yang sangat dangkal kerana teknologi prasarana kita kini diekspot ke luar negeri. Berapa banyak syarikat-syarikat pembinaan Malaysia pergi ke luar negara membina jalanraya dan prasarana orang.
Sarawak memang kaya raya. Rakyatnya tak ramai. Dengan harta sumber asli yang banyak dan berbagai, sepatutnya Orang Sarawak tak payah bayar cukai pun. Jika harta negeri diagihkan seadilnya, pasti tiada lagi orang miskin di negeri yang indah ini. Tapi... realitinya, tol perlu dibayar pada siapa nak pakai jambatan di beberapa tempat. Yang lagi lawak peliknya, motosikal pun kena bayar tol. Di Semenanjung, bawaklah motosikal sebesar gajah pun, tol tetap percuma.
Aku sedih setiap kali memandu dari Bintulu ke Sibu. Jalan amat menyedihkan. Aku sedih bila melalui Jambatan Tun Salehuddin di Kuching. Orang kampung disekitar terpaksa bayar tol walaupun pakai motosikal. Walaupun hanya 50sen tapi itu banyak bagi orang kampung yang kerja nelayan di Sungai Sarawak.
Aku sedih bila melawat kampung di gigi air dan pinggir-pinggir sungai. Rumah usang dah senget dicelah-celah kapal gah yang diparkir di jeti sebelah. Letrik tak ada. Air minum masak air sungai. Hidup miskin dengan hasil ikan sungai yang semakin kurang hari ke hari.
Aku sedih bila masuk ke kampung dan rumah-rumah panjang di pendalaman. Jalan tanah merah yang digunakan menjadi bubur di kala musim hujan dan pekat berdebu di kala musin kering. Kaum Iban memang perkasa. Mereka tahan dengan keadaan hidup begitu. Tapi walaupun perkasa mereka, apakah dosa mereka tidak diberikan prasarana yang sepatutnya. Tanah adat mereka dirampas dan diberikan kepada syarikat kroni untuk dijadikan ladang kelapa sawit. Ada tanah hutan mereka dijarah hasil hutan kayu kayannya dan mereka dipujuk dengan bayaran RM250 seekar. Syarikat yang menjarah itu ada saham orang berkuasa.
Aku sedih melihat anak muda Melayu mabuk di Tebingan Sungai Sarawak. Anak-anak sekolah bergaya makan pil khayal di sekolah. Botol Langkau Cap Apek (sejenis arak murahan) bersepah di kampung-kampung. Masalah arak makin membarah di kalangan masyarakat Melayu tetapi pemimpin tempatan buat endah tak endah. Bilamana Lembaga Kebajikan Masjid berbangga dengan duit tabungan berjuta-juta, anak-anak orang Islam terbiar jahil di jalanan.
Baitulmal punya banyak harta tetapi umat Islam masih terkebelakang. Apa salah diusahakan kebajikan mereka sewajarnya. Berikan mereka pancing untuk mengail, bukan sedekah yang habis dimakan sekali hadap. Kawaan pendalaman perlu dibela. Bila pimpinan negeri datang, hanya kala itulah orang kampung dapat makan sedap sikit. Para penguasa pula datang ke sana pakai helikopter, mana nak nampak jalan balak yang hanya dapat dilayan dengan kenderaan pacuan 4Roda. Manalah orang kampung mampu memiliki 4WD. Jalan kaki la....atau pakai perahu menyusuri sungai yang meliok-liok alirnya. Sepatutnya dapat sampai dalam masa 1 jam jadi 4 jam naik perahu.
Banyak lagi yang aku sedih bila menganggapi negeri ini. Aku mahu ada perubahan di sini. Semuga pilihanraya yang akan datang membawa angin baru. Pimpinan yang lebih amanah dan bertanggung jawab dan dapat menguruskan hasil mahsul negeri dengan baik dan adil. Itu saja yang aku harapkan...untuk kaum kerabat negeri tanah bertuah ini.
Sheikh Sambal