17 April 2011

Hikayat Sheikh Sambal


Maka setelah seminggu Sheikh Sambal berkampung di Kota Kuching, maka berkemas-kemaslah dia untuk balik ke Uatara Negeri Kenyalang itu. Gegak gempitalah alam Kota bila mendapat berita bahawa Sheikh itu mahu pergi. Bertangisanlah segala soldadu dan dayang-dayang apabila mendapat berita itu. Maka disuruh oleh Sheikh itu bertenang lalu berhemahlah dia dengan mereka. Walaupun jerih berhempas pulas berperang melawan Sang Uban masih terasa, akan sheikh itu tiadalah sampai hatinya melihat para soldadu dan dayang-dayang itu bersedih hati. Setelah habis dipujuk dengan taujihah perjuangan, maka kembalilah mereka tenang dan sabar.

Setelah siap berkemas, maka dipanggilah orang menggangkat segala barang dan ghanimah yang dapat diangkut. Pada sheikh itu tiadalah gunanya semua itu kecuali mahu ia memberi hadiah kepada sanak saudara bila berjumpa dia nanti di Kota Minyak. Satu persatu barang disusun dengan zikrullah. Yang berat dengan Allahuakbar dan yang ringan dengan Alhamdulillah. Pada yang pelik rupanya dikirimkan Subhanallah pula.

Maka sibuklah sheikh itu memikirkan akan perihal perang yang baru berlalu. Kata pujangga, menang jadi arang, kalah jadi abu. Tetapi pada sheikh itu menanglah dia sentiasa kalaupun dilihat orang kalah pada zahirnya. Bahawa para mujahid sentiasa saja menang dia disisi Allah. Tiada arang atau abu, kecuali mendapat pahalah semuanya di sisi Tuhan Azza Wajalla. Tiada Tuhan itu melihat akan menang atau kalah tetapi dilihatnya daya usaha dan ikhlas manusia. Pada sheikh itu tersa ia sebak dalam dada. Muhasabahlah ia akan dirinya, di manakah letak ikhlasnya. Lalu bersyukurlah dia memuji akan Tuhan kerana masih ia dapat bernafas dan dengan segala ni'mat yang ada padanya.

Sabar. Itulah kalimat yang tersebut apabila sheikh itu terkenang akan musibah yang menimpa kepada jundullahnya di medan Maro, Tuang, Datu, Sebuyau dan Sadong. Tiadalah dapat diucapkan melainkan sabar sahaja. Sabar ia dari berhenti akan kerja-kerja da'awah yang telah dimulakan. Sabar ia dalam meneruskan da'awah illallah. 

Maka sheikh pun berdoa ia setelah bersyukur dan bersabar dia itu. Maka sekali lagi gegak gempita cakerawala sebelum tiba-tiba pula ia senyap membeku dan segala makhluk di laut dan darat mahu mendengar dan mengaminkan doa sheikh itu.

" Ya Allah ya Tuhanku..tiadalahlah aku layak kepada syurgaMu melainkan Engkau kurniakan rahmat\Mu..."

Setelah sampai waktu berangkat, turunlah Sheikh Sambal ke tanah lalu diangkatnya akan tangannya ke langit mrmohon Allah memberi dia perlindungan dan hidayah pada sekelian alam. Bertangisanlah para dayang dan soldadu yang akan berpisah dengan sheikh itu. Setelah bersalaman Sheikh Sambal pun melompat naik ke atas kuda perangnya yang telah bersedia, dengan sekali pacu, terbanglah kuda itu ke arah mentari terbit.

Sebelum ghuyub dari penglihatan, terdengarlah kepada para orang yang ditinggalkan...." Wahai manusia, bertaqwalah kamu kepada Yang Esa. Syukur, Sabar dan Doa...." berluang-ulang sebutan itu sehingga tiadalah terdengar lagi...

Wasalam...

2 comments:

muzaha said...

teruja syeikh ana baca hikayat ni...lebih hebat lg daripada hikayat Hang Tuah dan hikayat merong mahawangsa...syeikh ..enta ni org berjiwa seni & sastera lah!ditambah satu lagi berjiwa ISLAM! takbir!

Sheikh Sambal said...

Terima kasih Ya Ustaz.. ana sekadar mencuba-cuba.. mana ada hebat dari sastera Hang Tuah dan Merong M. Terlalu byk perlu dibaiki..
Allahu Akbar!