26 December 2011

Ziarah Da'awah ke Ulu Kota Siri - 9

Berikut adalah laporan ziarah da'awah YAM Cwg Sarawak yang ditulis dalam dua bahagian. Pertama oleh Zahin Razak yang melaporkan tentang aktiviti yang dijalankan semasa berada di Kpg Nur Azhar, Ulu Kota. Manakala laporan yang kedua disediakan oleh Uhkti Hakimah Mohammad yang berkisar tentang aktiviti muslimat dalam ziarah da'awah Siri ke-9 ini.

Sheikh Sambal.

Ziarah AMAL ke Ulu Kota, Pakan, Sarikei
oleh Zahin Razak

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala kekuatan dan keinginan untuk terus berjalan di atas muka bumi diberikan kepada hamba-hambanya yang rela berkorban tenaga, masa dan harta dalam menyebarkan dakwah.



Para Mujahid AMAL sedang bersiap untuk bernujahadah ke Ulu Kota, Pakan

Segala puji bagi Allah, Ziarah AMAL ke Ulu Kota, Pakan kali ini adalah misi ziarah kali ke-10 anjuran Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak. Dengan ahli ziarah seramai 13 orang, kami menuju ke destinasi yang dituju. Perjalanan yang panjang bermula pada hari Jumaat, 25 November 2011 pada jam 8.15 malam. Kami berkumpul di Masjid Al-Ehsan, Piasau untuk solat maghrib dan Isya’ terlebih dahulu.  Saudara Ali bin Murad selaku Amir Zairah memberi sedikit taklimat dan taujihad dan bacaan doa diketuai Ustadz Al-Amin bin Daud, Pegawai Agama PETRONAS Carigali, Sarawak Operation. Kami berangkat dengan 4 buah kenderaan termasuk 3 pacuan empat roda.
Berhenti di BIC (Bintulu Iqra' Centre) makan malam pukul 11.30pm







Suadara Addy, pemandu 4WD import. Dalam perjalanan ke Sarikei, berhenti  rehat di  restoran sebelum simpang Mukah.
Pada jam 11.30 malam, kami tiba di IQRA’ Center Bintulu untuk berehat sebentar sambil menjamu makan malam kami. Selesai makan, Ustad menyampaikan sedikit sumbangan dari IQRA Center. Perjalanan kami diteruskan menuju ke daerah Sarikei. Tepat waktu Subuh, kami tiba di Masjid al-Muttaqin Sarikei. Selepas menunaikan solat fardhu Subuh, kami mencuri sedikit masa untuk menhilangkan penat selepas hampir 6 jam perjalanan. Pada jam 7.30 pagi, kami mengadakan sedikit perbincangan mengenai perjalan kami seterusnya. Turut bersama dalm perbincangan itu ialah Ust. Fadhli selaku orang yang sangat berpengalaman dalam misi-misi dakwah di Sarawak. Ust fadhli merupakan seorang Pegawai Agama dalam HIKMAH. Turut bersama adalah En. Azhar bin Abdullah selaku Tuai Rumah, Perkampungan Nur Al-Azhar. Beberapa perancangan telah dijalankan utntuk memastikan perjalanan kami sepanjang hari berjalan lancar.
Beli ayam segar di Pasar Basah Sarikei utk buat kenduri di Ulu  Kota
Selepas selesai perbincangan ringkas kami, kami meneruskan perjalanan. Namun sebelum kami sampai ke destinasi sebenar kami iaitu Ulu Kota, Pakan, kami singgah sebentar di Pasar Sunagi Rejang untuk membeli bekalan makanan utama seperti ayam dan beberapa bahan lain. Kami meneruskan perjalana kami terus ke Ulu Kota. Tiba di Pakan dalam pukul 10 pagi. Alhamdulillah, dengan kemampuan kenderaan pacuan 4 roda, kami berjaya mandaki dan menuruni  beberapa bukit yang curam dan merbahaya.


Jalan ke Ulu Kota melalui kem balak...semakin kecik saiz pokok balak yg ditebang. Banyak hutan  kena tarah  hidup  penduduk semakin parah.



Tetapi ganjaran yang diterima sangat berbaloi. Kami sempat berhenti di puncak bukit dan kami dihidangkan dengan pemandangan yang sangat cantik. Subhanallah, Maha Suci Allah yang menciptakan langit dan bumi dengan sangat indah.
Pemandangan di Tanah Tinggi Ulu Kota, Pakan...segala penat lelah perjalanan yang mencabar berbaloi dengan suasana alam sekeliling yang indah.
Surau AMAL Al-Azhar, Ulu Kotan, Pakan., azan bergema di tengah hutan


Alhamdulillah kami tiba di Perkampungan Nur Al-Azhar pada jam 12 tengah hari. Perkara pertama yang kami lakukan adalah menurunkan semua muatan yang kami bawa dari Miri dan beberapa tempat lain termasuklah tong cat, bekalan makanan dan sumbangan pakaian. Kehadiran kami disambut ramah oleh penduduk perkampungan ini. Kepada yang baru pertama kali tiba di sini, sempat juga berkenalan secara ringkas dengan penduduk kampung. 


Muslimat Yayasan Amal sedang beramah mesra bersama dengan  muslimat tempatan Kampung Nur Azhar, Ulu Kota



Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.. para muslimat sedang bergotong royong memasak untuk makan kenduri.
Kemudian kami mengadakan aktiviti memasak beramai-ramai yang dikendalikan oleh penduduk kampung wanita dan dibantu oleh beberapa peserta ziarah. Menu yang dicadangkan mudah, sup ayam dan sayur goreng. Masa yang diambil tidaklah lama untuk menyiapkan hidangan apabila kerja-kerja memasak dilakukan bersama-sama. Dengan sedikit rezeki yang Allah beri kepada kami, kami dapat menikati makanan yang lazat tambahan pula dimasak oleh penduduk kampung di sini. Semau aktiviti memasak dijalankan di kawasan Surau AMAL Al-Azhar.  Selesai menjamu selera, kami bersiap-siap mendirikan solat secara berjemaah. Selepas solat, kami dibawa berjalan-jalan sekitar kawasan perkampungan. Di sini terdapat 6 biji rumah dan kebanyakannya adalah ahli kaum keluarga En Azhar.


Bila kerja berjemaah, makan pun berjemaah juga, lebih berkat.
Di sebelah malam pula, kami mendengarkan tazkirah yang disampaikan oleh Ust Fadhli. Tazkirahnya disampaikan dalam bahasa Iban. Selepas itu majlis diambil alih oleh Ust Amin untuk majlis penyerahan sumbangan dari PETRONAS Carigali, Sarawak. Turut hadir bersama dalm majlis penyerahan sumbanagn ini adalah Tuai Rumah Julin dan anaknya. Selepas selesai majlis, kami dihidangkan dengan makan malam yang menyelerakan. Kemudian, kami sempat berborak panjang dengan penduduk kampung di sini. Ada yang mengambil peluang untuk mempelajari bahasa Iban.


Projek mengecat surau untuk para muslimin..
Warna baru utk Surau AMAL yang baru...



Keesokan harinya, kami menjalankan kerja gotong-royong di kawasan perkarangan surau termasuklah mengecat surau. Alhamdulillah, dengan kerjasama semua penduduk kampung, kerja-kerja mengecat tidak mengambil masa yang lama. Turut bersama kami ialah penduduk kampung yang belum menerima Islam. Kepenatan dan keletihan kami segera dapat dihilangkan selepas kami menjamu makan tengah hari. Alhamdulillah. Keesokan harinya ialah hari kami berangkat pulang ke Miri. Alhamdulillah banyak urusan dapat kami laksanakan sepanjang kami berada di sana. 

Rumusan Slot Bersama Muallaf Muslimat
oleh Hakimah Mohammad

Seramai 3 orang muslimat terlibat dalam ekspedisi Ziarah Amal kali ini, iaitu Mardhiah (ahli BAKIP, PETRONAS), Hasmawati (daripada Sarawak Shell Berhad) dan Hakimah (AJK Yayasan Amal Unit Miri).
Sepanjang program, muslimat banyak terlibat dengan aktiviti masak-memasak bersama para muslimat muallaf di samping beramah-mesra dan mendekati mereka.

Pengisian khas bersama muslimat saudara-saudara baru ini dibuat pada hari kedua ziarah, sementara para muslimin bergotong-royong mengecat Surau Al-Azhar. Pada jam 10 pagi, semua muallaf muslimat diajak untuk duduk bersama di ruang tamu Rumah Encik Azhar untuk slot pengisian  yang dikelolakan oleh Hakimah, Hasma dan Mardhiah.

Slot dimulakan dengan taaruf ringkas dan kata2 aluan. Seramai 10 orang muallaf yang bersama untuk slot itu, iaitu Makcik Supinah, Makcik Fatimah, Kak Syafiqah, Kak Noraini, Kak Aminah, Razziah, Asyikin, Maryam, Adik Baiyah dan Adik Fatimah. Hakimah memulakan pengisian dengan bertanya kepada hadirin tentang Rukun Islam dan Rukun Iman. Maryam dan Asyikin menjawab soalan dan membantu mengingatkan saudara-saudara yang lain tentang rukun-rukun tersebut. Hakimah menekankan kepentingan Rukun Islam dan Rukun Iman bagi seorang muslim dan kewajipan berpegang kepada kedua-dua rukun ini.

Slot kemudian diteruskan dengan pengisian fardhu ain yang menyentuh topik wudhu, tayammum, istinjak dan mandi wajib. Rukun-rukun dan cara-cara berwudhu dan bertayammum diajar dengan cara demonstrasi dengan bantuan daripada adik-adik. Kemudian mereka diajar tentang rukun-rukun dan cara-cara menunaikan solat. Demonstrasi solat dilakukan untuk memudahkan penerangan setiap rukun. Kemudian kami membincangkan perkara-perkara yang membatalkan wudhu dan solat. Kepentingan solat ditekankan berkali-kali kepada para muallaf dengan mengaitkan keperluan bergantung dan mengabdikan diri kepada Allah dalam kehidupan seharian.

Selepas itu, pengisian disambung dengan memeriksa bacaan Surah Al-Fatihah setiap orang. Bacaan Al-Fatihah diperdengarkan oleh mereka seorang demi seorang dan ulasan diberikan untuk motivasi dan penambahbaikan. Kemudian kami membahagikan mereka kepada 3 kumpulan kecil, mengikut tahap kelancaran bacaan masing-masing. Pendekatan yang diambil adalah dengan cara menghafal, melancarkan dan membetulkan bacaan yang salah.

Secara umumnya, adik-adik (Fatimah, Baiyah, Maryam dan Asyikin) kelihatan lebih mantap dari segi ilmu pengetahuan agama dan praktis kerana mereka mendapat pendidikan agama di sekolah masing-masing. Muallaf dewasa kelihatan masih belum mempunyai pengetahuan yang cukup jelas dan mantap tentang asas-asas fardhu ain dan masih perlu memperbaiki kelancaran dan ketepatan bacaan Al-Fatihah masing-masing. Makcik Supinah dan Makcik Fatimah sangat memerlukan perhatian kerana mereka langsung tidak dapat membaca Al-Fatihah. Namun, semasa sesi latihan hafalan dalam kumpulan, kedua-dua makcik ini dapat dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk belajar menyebut dan menghafal. Perasaan sebak tidak dapat ditahan apabila mendengar Makcik Supinah beriya-iya mengikut setiap ayat yang diperdengarkan walaupun banyak perkataan yang dituturkan tidak berjaya disebut dengan betul olehnya.

Pengisian diakhiri dengan menjawab sebarang persoalan daripada mereka dan memberikan kata-kata semangat kepada saudara-saudara baru ini untuk terus belajar walaupun secara perlahan-lahan mengikut tahap dan kemampuan masing-masing. Kami juga mencadangkan agar anak-anak yang mendapat pendidikan agama agar menolong ibu bapa dan nenek mereka dalam memahami dan melaksanakan ibadah seperti yang dituntut. Hafalan dan pelajaran akan lebih berkesan jika ada usaha yang berterusan, dan ini mungkin tidakk mampu dilakukan oleh sumber tenaga dari luar yang mempunyai limitasi untuk datang melakukan ziarah secara berkala.