22 February 2012

Catatan Ziarah Ukhwah Sempena Sambutan MaulidurRasul s.a.w 1433H (4-6 Feb 2012)

Safar Bermula
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak telah sekali lagi mengadakan  Ziarah Da’awah Ukhwah fillah ke atas Saudara Kita di Kampung Nur Azhar,  Ulu Kota, Pakan.  Satu rombongan dengan menaiki sebuah Kenderaan 4WD  yang diketui oleh Timbalan Pengerusi YAM Sarawak, Saudara Mohd Ali Murad dan disertai oleh Akhi Zahin (Miri), Ustaz Fadzli (Sibu) dan Akhi (Dr/Ustaz)Nuzul (Kuching)
Perjalanan dari Miri bermula pada pukul 7.23pg. Singgah di Bintulu jam 10pg untuk berjumpa dengan Pengerusi Amal Sarawak Ustaz Ibrahim untuk taklimat safar kali ini dan mengambil sumbangan pakaian untuk diagihkan kepada orang-orang Islam Ulu Kota dan Pakan nanti.

Alhamdulillah cuaca amat baik. Sepanjang perjalanan tiada hujan tetapi banyak kali Akhi Zahin yang memandu terpaksa mengelak lubang dan tampalan jalan yang teruk. Jalanraya antara Bintulu dan Sibu sangat menyedihkan. Ia tidak menggambarkan lansung negeri Sarawak yang kaya raya dengan hasil bumi ini.

Kami tidak singgah mana-mana, hatta untuk mengisi perut sekali pun kerna waktu hampir pukul 2ptg tatkala  kami tiba di Sibu. Destinasi kami, Sarikei hanya 40minit saja dari Sibu jika ikut Jambatan Tol Lanang (ya! di Sarawak pun ada TOL).

Sampai di Sarikei
Kereta  4WD kami sampai tepat pukul 3.23ptg dipinggiran Sarikei. Ustaz Fadzli telah pun lama menunggu di Pejabat Hikmah Sarikei. Bekalan ayam dan ikan untuk dibuat kenduri Maulud Nabi telah pun dibeli, cuma menunggu kami sampai sahaja.

Saudara Zahin mencadangkan agar kami berdua makan tengahari dahulu. Ustaz Fadzli dah makan, jadi kami berdua sahaja pergi menjamu selera di ‘Foodcourt’ atas Pasar Tamu Sarikei, tempat kami sering makan bila singgah di bandar pinggiran Batang Rejang ini.

Saudara Nuzul dari Kuching dijangka sampai pada pukul 5ptg. Jadi selepas makan tengahari (makan petang sebenarnya) kami pun pergi ke pasar untuk menggambil dan membayar ayam dan ikan yang ditempah oleh Ustaz Fadzli dan juga membeli bekalan lain untuk urusan makan minum di Ulu Kota dan di Rh Julin nanti.

Cuaca Bertukar
Cuaca terang benderang semasa kami dalam perjalan ke Sarikei telah mula bertukar rupa. Awan hitam makin pekat dilangit Sarikei. Ustaz Nuzul masih dalam perjalanan dari Kuching. Pukul 4.17ptg beliau masih di Simanggang. Memang pukul 5ptg lah beliau sampai. Mahu tidak mahu terpaksalah kami menunggu beliau dan sementara itu hujan pun turun dengan lebatnya di Bandar Sarikei.

Perasaan risau mula menghantui lubuk fikiran kami. Kalau hujan begitu lebat  memang tak dapat naik ke Ulu Kota seperti perancangan, iaitu pergi Ulu Kota tidur semalam di sana – ceramah Maulidur Rasul dan keesokan harinya baru pergi ke Rumah Julin @ Zulkarnain. Semasa menungu Sheikh Nuzul, Ustaz Fadzli membeli barang-barang keperluan untuk makan maulud malam nanti.

Hujan pun turun selebat-lebatnya, Selepas mengisi minyak kereta, Sheikh Nuzul pun sampai. Rupanya beliau datang seorang sahaja. Saudara Abd Rahman Kuching tak jadi datang. Ada hal penting pada minit akhir. Itulah namanya ketentuan Allah. Ada orang mahu datang tak dapat tapi yang tak terfikir nak datang sampai pula.

Berlumba Dengan Angin
Kami teruskan perjalanan ke arah Pakan. Angin pula kencang bertiup membawa awan mengarah ke Pakan. Hujan lebat mencurah-curah agak mengahalang pemandangan. Seribu doa dapanjatkan dalam hati masing-masing minta dimudahkan perjalanan. Dari pengalaman yang lepas-lepas, hujan lebat begitu memang mustahil dapat digagahi Bukit Amal @ Alum yang curam. 4WD berbunga OFFROAD pun tak dapat naik inikan pula tayar berbunga pekan seperti ‘kuda perang’pinjam kami ni.

Semakin dekat pekan Pakan hujan semakin ringan. Suasana kering sahaja bila tiba di Pakan. Hati kami sedikit gembira tetapi tetap ada sedikit gusar kerana awan hitam berarak laju ke arah tuju yang sama. Kami singgah di Pakan untuk membeli beberapa keperluan dapur yang tak sempat dibeli di Sarikei tadi.
Nuzul yang memandu kereta Unser dari Kucing kelihatan bersemangat dan gembira. Setelah berbasa basi beliau terus memunggah barang-barang sumbangan dari Kuching untuk diagihkan kepada para Muallaf Ulu Kota dan Rumah Julin, Sungai Amut Pakan.

Masuk ke Ulu
Kami bergabung dalam satu kereta dan kereta Unser Sheikh Nuzul ditinggalkan di Pakan. Nasihat sahabat elok kereta ditinggalkan di Balai Polis Pakan atau di laman rumah penghulu, tetapi selepas beberapa kali pusing tak jumpa kereta pun diparkir saja didepan kedai. Kata pekedai di situ, kereta tu selamat tak ada siapa pun akan usik. Memandangkan hujan dah mula lebat pula di Pakan ini, maka kami pun meninggalkan kereta yang dibawa Sheikh Nuzul di depan kedai tempat kami membeli barang dapur dan jajan.

Hujan lebat seperti mengekori kami. Tak sampai 15minit kami di Pakan, awan Kumulus Nimbus yang berarak ditiup angin kencang ke arah Pakan mula membaraikan kandungannya. Kereta  Pacuan 4Roda yang diinfaqkan oleh Sheikh Muhtar Suhaili untuk program ziarah kali ini meluncur laju membelah Pakan.  Doa tidak henti-henti dipanjakkan kepada Ilahi agar memudahkan safar kami. Langit yang pekat mendung hitam seperti mahu menghimpap kereta dalam hujan lebat yang membingitkan.

Pertolongan  Allah
Makin jauh kami masuk ke ulu makin kurang awan hitam dan hujan, namun kelihatan di langit gerakan awan laju berarak. Sampai di simpang Rh Julin, hujan tiada lagi. Lalu kami teruskan perjalanan ke Kampung Nur Azhar, Ulu Kota. Alhamdulillah, berkat doa sahabat agar perjalanan kami dimudahkan, rupa-rupanya yang nampak seperti rekahan terang dari gerombolan awan hitam pekat di ufuk langit tadi, itulah Ulu Kota. Jalan balak yang kami lalui kering dan baru di’grader’.  Pemanduan  mudah dan selamat. Alhamdulillah.....

Sampai di Bukit Amal @ Alum, kami tidak berhenti seperti kebiasaan. Takut juga kalau berhenti, awan yang kami tinggalkan tadi akan sampai pula. Syukur kepada Allah lebih kurang waktu maghrib kami pun sampai di Surau AMAL Al Azhar, Ulu Kota.

Berprogram di Kpg Nur Azhar, Ulu Kota
Tuai Azhar yang telah menunggu sejak pagi tadi bersama-sama anak-anak buahnya  kelihatan lega. Beliau bimbang kalau apa-apa berlaku kerana kami sepatutnya sampai sejak Asar tadi. Beliau amat bersyukur kerana rombongan kami selamat sampai ke kampung beliau.
Ceramah Maulidirrasul oleh Usaz Nuzul dari YAM, Unit Kucing 
Selepas Solat Maghrib yang dijamakkan sekali  Solat Ishak, Ust Nuzul telah memberikankan Ceramah MaulidurRasul sempena sambutan maulud Nabi keesokan hari. Beliau menceritakan semula sirah Nabi Muhammad dari hari kelahirannya sehingga beliau dilantik jadi Nabi dan Rasul dan seterusnya berhijrah ke Yathrib untuk mendirikan Negara Islam, Madinah.
 Selepas ceramah, mesuarat pendek dibuat untuk membincangan aktiviti di Rh Julin esoknya.  Rombongan diputuskan untuk bergerak ke Rumah Julin selepas zohor jika cuaca baik. Jika Nampak hari macam nak hujan, akan pergi lebih awal.
Selepas ceramah Ustaz/Dr (H) Nuzul buka klinik pula. Beliau sangat popular di Ulu Kota. “ngececk darraahh meh ....”
Selepas makan malam, kami beramah mesra dengan penduduk kampung. Ustaz Nuzul yang juga seorang pengamal rawatan Alternatif Hemeopathy, merawat orang yang datang untuk berubat. Penduduk rumah panjang Bandok (rumah panjang asal penduduk kampung Nur Azhar) ada juga yang datang menziarahi rombongan kami. Memang begitulah selalunya. Bila mereka mendengar ada orang luar datang, terutamanya dari Yayasan Amal, mereka akan datang untuk berjumpa kami walaupun mereka belum memeluk agama Islam lagi. Semuga Allah memberi mereka hidayah dari minat yang mereka tunjukkan
Suasana hening dipagi Ulu Kota ; mentari mula menyinsing memukau indah. 
Esok paginya, Ahad  5 Feb 2012 bersamaan 12 Rabiul Awal 1433, kami mengadakan gotong royong mengangkat pasir dari anak sungai berdekatan. Pasir itu nak digunakan untuk membuat ‘pavement’ jalan naik ke surau. Kalau dah siap nanti tidaklah licin lagi jalan naik ke surau jika hari hujan.

Mengaut pasir anak sungai untuk membuat jalan simen naik ke Surau Amal Al Azhar 

Berposing dengan Abu Bakar, muslimin termuda di Ulu Kota 
Anak sungai yang berbatu kerikil dan berpasir...jernih dan bersih dari pencemaran.Kolam dibina untuk kemudahan penduduk kampung mandi dan membasuh pakaian...

Beli Tanah Untuk Pindahkan Rumah Dari Lereng Bukit
Malam sebelumnya juga diadakan perbincangan berkenaan pembelian tanah untuk membesarkan Kampung Nur Azhar. Rumah-rumah penduduk sekarang semuanya dibina di lereng bukit. Keadaan ini sangat merbahaya terutamanya pada musim hujan. Sebahagian dari rumah panjang mini 5 pintu yang dibina dengan biaya YADIM telah mula menunjukkan runtuhan tanah. Jika rumah ini tidak dipindahkan, kita risau sesuatu boleh berlaku dan menyebabkan malapetaka.
Tanah yang  hendak dibeli. .
Kanan: Kelihatan Tanah dah mula meruntuh rumah di sebelah tepi panjang kampung Nur Azhar, bertambah bahaya bila hujan
Cadangan tanah yang hendak dibeli adalah tanah ayah kepada salah seorang muallaf di sini, iaitu ayah kepada Saudara Musa, Apai Musa. Beliau pernah menyatakan hasrat untuk menjual tanah tersebut. Olehkerana kekangan kewangan Tuai Azhar tidak dapat membelinya.









Setelah berbincang, YAM Sarawak bersetuju untuk membeli tanah tersebut dan mewakafkannya untuk digunakn sebagai tambahan kepada kawasan kampung. Untuk tujuan itu, kami menghantar Ustaz Fadzli dan Tuai Azhar disertai juga oleh Tim. Pengerusi AMAL Sarawak,  untuk berunding dengan tuan tanah Apai Musa. Lawatan tapak juga dibuat pada masa yang sama. Selepas berunding panjang dengan Apai Musa, harga tanah itu pun dipersetujui. Apai Musa setuju untuk menjual tanahnya yang seluas 3 ekar lebih itu pada harga yang sangat berpatutan. Ia seperti infaq Apai Musa lah kepada kampung.

Tanah NCR memang murah tetapi tidak boleh dibeli oleh orang luar terutamanya orang Semenanjung. Hanya untuk orang Sarawak sahaja. Cara jual beli pun dengan surat dari Ketua Kampung yang mengesahkan transaksi dan tuan tanah yang baru.

(AMAL Sarawak sekarang membuka tawaran waqaf sebanyak 20 bahagian dengan RM500/bahagian, kepada sesiapa yang berminat nak beramal jariah bolehlah menghubungi Yayasan AMAL Malaysia (Sarawak). Duit yang terkumpul akan digunakan untuk membeli dan memajukan tanah tersebut , Rujuk AMAL Sarawak)

Meneruskan Ziarah Ke Rumah Julin @ Zulkarnain
Selepas selesai memeriksa tanah yang hendak dibeli dan berunding dengan Apai Musa, kami terus bersiap-siap untuk bertolak ke Rumah Julin kerana langit mula menggelap. Takut kalau hujan turun kereta tak dapat mendaki sebab jalan licin. Hati bertambah risau bila rintik-rintik hujan mula jatuh padahal kami baru nak berkemas.

Tak sampai 5 minit hujan pun turun selebat-lebatnya. Saling berpandangan kami pun letak semula beg dan duduk semula menunggu hujan berhenti. Sambil Akhi Zahin mengambil gambar Ulu Kota dalam hujan, Ustaz Fadzli mengesyorkan kalau tak dapat pergi hari itu, kami masih ada lagi sehari untuk ke sana. Yang penting kita bersyukur kerana hujan adalah rahmat Allah.

Alhamdulillah, selepas setengah jam hujan turun, ia pun berhenti dan matahari keluar semula menghangatkan suasana. Tak sampai satu jam jalan pun kering semula. Kami pun bersiap untuk bertolak ke Rh Julin. Ucapan selamat tinggal dan pesanan akhir pun diberi kepada ahli kariah Surau Amal Al Azhar. Sungguh pun dah beberapa kali kami berziarah ke sini, perpisahan masih terasa sayu di hati. Semuga Allah kurniakan lagi rezeki untuk kami berukhwah dengan para muallaf di sini.

Rumah Julin @ Zulkarnain
Perjalanan ke Rh Julin berjalan lancar. Hari panas yang menyengat meruntun rasa kesian pula kepada Tuai Azhar dan Ismail yang duduk di belakang pick-up. Tuai Azhar gunakan kanvas penutup  sebagai pelindung dari panas terik mentari. Ismail koboi jer, memang dia selamba sahaja menahan panas. Jalan sedikit lembat dek hujan tadi tetapi tidak licin. Bagus juga begitu kerana habut tidak naik melempias bila dilalui kereta.

Tak sampai satu jam kami pun sampai di simpang  ke Rh Julin tetapi perjalanan diteruskan ke pekan Pakan kerana semalam kami lupa untuk membeli bekalan minyak disel. Kita tak mahu kedatangan kita menyusahkan mereka yang baru masuk Islam itu. Setelah membeli tong gelen dan membasahkan tekak dengan air tin di Iban Cafe, kami pun bergegas ke kedai Penghulu yang menjual minyak disel. Harga disel di sini lebih mahal dari Sarikei sebab tiada stesen minyak yang biasa seperti Shell atau Petronas. Kedai Penghulu itulah satu-satunya tempat menjual minyak di Pakan, maka sebab itulah dia mahal. Pandai penghulu ni berniaga.

Saudara Kita Ulu Kota; dari kiri, Tuai Azhar, Ismail, Jeffery dan Abd Rahman. Jeffery dan Abd Rahman adalah bekas pelajar Pusat Dakwah Serantau, Bangi.

Dalam perjalan ke Rh Julin kami singgah di Rh Entingi untuk menjemput Tuai Julin yang bekerja menebang pokok dengan saudaranya di situ.  Kami sampai di Rumah Julin lebih kurang pukul 1.30pm. Seperti biasa Orang Iban yang amat ramah menyambut kami dengan gembira. Bahkan mereka komplen kerana tak datang awal lagi kerana musim durian dah di penghujungnya. Pakan memang terkenal dengan durian. Bahkan maskot pekan itu pun Buah Durian besar yang dibina di persimpangan masuk pekan itu.

Anak Tuai Azhar, Jeffry dan sepupunya Abdul Rahman datang juga ke Rh Julin dengan menaiki motosikal. Dua pendakwah muda graduan Pusat Dakwah Serantau (PDS) ini amat bersemangat untuk mengembangkan Islam di kalangan kaum Iban mereka. Berkat usaha mereka jugalah ramai ahli Rh Julin masuk Islam.

Kanak-kanak ini amat dahagakan ilmu. Sedang mengajar baca Al Fatihah.

Rumah Julin adalah sebuah rumah panjang 7 pintu. Ia adalah serpihan dari rumah panjang yang lebih besar dan tua tidak jauh dari situ. Tidak diketahui mengapa mereka berpecah tetapi Tuai Julin dan anak-anaknya telah berpindah dan mendirikan rumah panjang mereka sendiri di pinggir Sungai Amut. Semua anak-anak Tuai Julin dah berkahwin dan mereka menyambung rumah panjang itu. Bila cucu-cucu Tuai Julin berkahwin pula nanti mereka juga akan menyambung dan menambah satu lagi pintu untuk setiap keluarga baru.

Dari 7 pintu itu, 4 pintu telah mengucap dua kalimah shahadah. Pengislaman telah dilakukan oleh pegawai JAIS yang datang ke sana. Unit Saudara Kita (USK) juga sudah 2 kali datang berziarah ke sana. Walaupun begitu mereka masih terlalu baru dan belum mengatahui seluk beluk agama Islam. Belum ada yang tau bersolat dan bacaan kalimah pun masih belum betul. Anjing masih berkeliaran di ruai.

Surau Amal Zulkarnain

Inilah tugas kita untuk mengajar mereka. Ilmu sangat diperlukan di sini. Atas keperluan inilah Yayasan Amal Malaysia (YAM) pusat memperuntukan RM30k untuk membina surau di Rh Julin ini. Salah satu tujuan kedatangan kami ke sini ialah untuk berunding berkenaan pembinaan surau tersebut. Siap nanti surau ini akan dikenali sebagai Surau AMAL Zulkarnain. Ia akan menjadi pusat ilmu untuk penduduk sekitar Sg Amut dan Pakan.
Berunding dengan Tuai Julin@Zulkarnain (3 dari kiri) dan Ngadan@ Mohd Safar (baju putih kanan sekali) 


                              
Tapak cadangan pembinaan Surau Amal Zulkarnain   

Kebun lada hitam kepunyaan Tuai Julin yang di waqafkan untuk surau. 

Setelah berbincang dengan Tuai Julin, Ustaz Fadzli dan Tuai Azhar, YAM (Sarawak) selaku pemegang amanah bersetuju untuk melantik  Mohd Safar @ Ngadan Ak Julin sebagai kontraktor pembinaan surau ini. Kontrak ini hanyalah upah membina manakala segala bahan-bahan binaan akan dibeli oleh YAM.
                             
Penyerahan kontrak upah membina dan menyiapkan Surau Amal  Zulkarnain
Pecah tanah oleh wakil Yayasan Amal Malaysia dan Tuai Julin @ Zulkarnain
Majlis menandatangi kontrak dilakukan pada sebelah malam dan majlis pecah tanah pula dilakukan pada pagi Isnin sebelum rombongan YAM balik.

Durian Pakan - kuning dan lazat
Durian Pakan
          
Satu keistimewaan Pakan ialah duriannya. Pakan ialah nama sejenis durian yang berasal dari Pakan. Warnanya sangat kuning dan sangat sedap! Semasa kami berandau di ruai Rh Julin sambil berbincang soal surau dan kontrak pembinaan, kami dijamu dengan durian pakan dan juga kampung. Walaupun dah di hujung musim, durian yang dijamu boleh tahan banyaknya. Bayangkan kalaulah kami datang sebulan sebelum, dah tentu santak makan durian saja. Isinya sedikt nipis tapi warna nya kuning bak durian tembaga.


Sambil ’berandau’ di ruai makan durian pakan...sungguh mulia sifat memuliakan tetamu orang-orang Iban.

Berangkat Pulang
Kedatangan kami ke Rh Julin selain dari ziarah ukhwah dan dakwah, adalah untuk mengatur pembinaan surau di sana. Objektif perlantikan kontraktor dan mengadakan perasmian pecah tanah sudah pun tercapai. Oleh kerana cuti hanya sehari, maka kami perlu berangkat pagi Isnin  untuk sampai di Miri dan Kucing dalam hari masih siang.
Foto kenang-kenangan bersama dengan ahli Rh Julin  
Sebelum bertolak pulang kami tak melepaskan peluang untuk mengambil gambar kenang-kenangan. Selepas mengucapkan selamat dan bersalaman dgn penduduk Rh Julin, kami pun berangkat pulang. Azam kami akan datang lagi untuk berandau (berbual mesra) dan bergulai (beramah mesra) bersama kaum Iban yang sangat baik budi dan sangat menghormati tetamu. Walaupun baru berkenalan rasa ukhwah amat terasa. Seguni buah embang dan beberapa kontena tapawey tempoyak diberikan oleh Kakak Ngadan. Terima kasih banyak-banyak.



 “Kak datai baru”



Mohd Ali Bin Murad
Timbalan Pengerusi YAM (Sarawak)

19 February 2012

Tipu Daya Jin Untuk Menyesatkan Manusia





Asalamualaikum semua,

Ketahuilah makhluk jin tak boleh dipercayai 100%, lebih2 lagi yang suka mengganggu orang. Kalau manusia suka menipu, jin yang tak nampak tu lagilah kuat tipu. Sebab dia halimunan dari pandangan kita maka amat senanglah dia menipu kita.

Begitu juga dengan kerja keji titnah memfitnah. Ia adalah mainan syaitan dari golongan jin dan juga manusia. Syaitan tidak mahu orang Islam hidup aman damai. Lebih-lebih lagi pada golongan orang yang mahu menegakkan Islam di muka bumi ini.

Syaitan ini akan cuba sedaya upaya menipu dan berhelah untuk memecah-belahkan ukhwah dan kasih sayang manusia. Salah satu cara syaitan jin ini menghuru-harakan silaturrahim manusia ialah dengan merasuk dan mengaku dia adalah belaan si fulan si fulan.

Kalau Johan Raja Lawak boleh meniru gaya cakap dan lengok bahasa Dato' Fadzilah Kamsah, syaitan jin ini apa lagi!! Olehitu janganlah mudah mempercayai kata-kata jin jahat ini. Sesungguhnya dia hanya mahu hubungan manusia rosak. Biar manusia saling tuduh menuduh dengan dendam kesumat. Jemaah Islam akan punah kalau kita mudah termakan tipu daya mereka. Kalau tidak berhati-hati iman pun boleh terjunam. Itulah yang dikehendaki oleh jin syaitan ini.

Kuat pertahanan diri dengan quran dan zikir. Jangan sekali-kali percaya dengan kata-kata yang keluar dari jin jahat itu. Amalkan zikir al mathurat pagi dan petang. Mintalah perlinduingan dari Allah sentiasa.

Semuga kita semua selamat dari gangguan dan tipu helah golongan jin jahat ini.

Wasalam.

Sheikh Sambal