11 March 2012

Piasau Syurga Nyamuk Aedes

Setiap kali penulis datang berziarah ke Piasau terutamanya Piasau Jaya + Piasau Garden, tangan sentiasa saja tepis menepis dan menepuk nyamuk yang mengerumuni kulit yang terdedah. Sekejap sekejap ada sahaja nyamuk yang mendarat dan menghisap darah dengan rakusnya.


Piasau adalah kawasan perumahan yang terawal di Miri. Dulu kawasan ini adalah kawasan kampung tradisi Melayu tetapi kini telah menjadi kawasan pinggir bandar yang amat strategik. Ia berada di tengah-tengah antara Lutong dan Bandar Miri sebelah Utara dan Selatan dan juga antara Pujut dan Pulau Melayu /Sungai Miri sebelah Timur dan Barat.

Tempat yang strategik seperti Piasau ini sepatutnya diberikan perhatian yang istimewa oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM). Sistem longkang dan perparitan yang lama sudah seharusnya dimodenkan. Disebabkan parit dan longkang terbuka dan banyak yang tersekat oleh sampah sarap dan runtuhan, menyebabkan air bertakung. Air bertakung inilah yang memberikan habitat terbaik untuk  nyamuk terutamanya aedes membiak.

Kanak-kanak yang belajar di beberapa tadika dan taman asuhan yang berdekatan selalu sahaja menjadi mangsa gigitan nyamuk. Asyik menggaru sahaja budak-budak yang sedang belajar. Masuk sahaja kelas, pintu perlu segera ditutup. Jika tidak sang nyamuk akan masuk mengerumuni kanak-kanak ini.

MBM harus ambil perhatian tentang masalah nyamuk. Janganlah sampai ada yang mati disebabkan oleh  DENGGI barulah nak bertindak. Fogging harus dilakukan secara berkala dengan kerap.

MBM bertindaklah sebelum terlambat!!

No comments: