01 August 2011

Puasa Mengikut Cara Rasulullah s.a.w

Posted on Sunday, July 31 @ 08:40:59 PDT Oleh: zharifjenn

Sahabat yang dihormati Allah, Ramadhan yang kita nanti-nantikan telah tiba untuk sekali lagi kita berada di dalamnya. Ini tanda Allah masih sayang kepada hamba-hambanya dengan memberi sekali lagi peluang untuk kita bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan ini. Berpuasa adalah aktiviti terpenting dalam bulan ini. Persoalannya bagaimana tips-tips yang diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk puasa kita dinilai tinggi oleh Allah? Mari kita telusuri satu persatu.
Rasulullah s.a.w Bersahur
Rasulullah menganjurkan kita untuk bersahur sebelum aktiviti menahan diri dari makan dan minum di siang hari dimulakan. Bagaimana Rasulullah s.a.w bersahur? Bersahur bukanlah dilakukan ditengah malam, tetapi ia dilakukan di awal pagi, iaitu waktu yang sangat hampir dengan waktu solat subuh. Bersahur juga memberi kesegaran untuk kita menghabiskan hari siang kita dengan berpuasa. Rasulullah s.a.w bersabda: Dari Anas Bin Malik r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan. (HR: al-Bukhari)
Rasulullah s.a.w juga menekankan kepada kita untuk bangun bersahur kerana ia adalah salah satu dari cirri-ciri bersahur orang Islam. Sabdanya:  Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahlu al-Kitab adalah makan sahur  (HR: Muslim)
Rasulullah Menyegerakan Berbuka
Tidak melewat-lewatkan berbuka puasa adalah salah satu tips berpuasa yang di ajar oleh Rasulullah. Ini kerana, perbuatan itu sangat mendatangkan kebaikan untuk mereka yang menahan diri dari makan dan minum.  Rasulullah s.a.w di dalam hadithnya menerangkan kepada kita seperti mana yang dilaporkan oleh al-Bukhari & Muslim: Manusia itu akan terus berada dalam kebaikan selagi mana dia menyegerakan berbuka puasa. Perbuatan melambat-lambatkan berpuasa puasa adalah salah satu perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Masyarakat kita sering melihat perkara ini sebagai satu isu remeh. Apa yang terjadi dalam rata-rata masyarakat kita di Malaysia, ketika masuknya waktu solat maghrib (waktu untuk berbuka puasa), mereka masih lagi berada di bazaar-bazar ramadhan untuk membeli juadah mereka. Penjual juga masih lagi melayan pelanggan tanpa terus berbuka walaupun azan maghrib telah berkumandang. Ibu-ibu di rumah pula masih berada di dapur menyiapkan juadah berbuka puasa ketika azan maghrib bergema. Ini kerana melewat-lewatkan berbuka puasa adalah amalan Yahudi dan Kristian. Persiapan seharusnya dilakukan dengan segera agar seruan Rasulullah s.a.w untuk kebaikan umatnya dapat diamalkan sebaiknya. Rasulullah telah bersabda di dalam satu hadithnya yang dilaporkan oleh Abu Daud & Ibn Majah yang sanadnya berstatus hasan seperti yang dinilai oleh al-Albani r.h: Agama ini akan sentiasa zahir (jelas) selagi mana umatnya menyegerakan berbuka puasa, ini kerana orang-orang Yahudi dan Kristian, mereka melewat-lewatkannya. Dikeluarkan dari Musannaf Abdul Razzak dan Fathul Bari (kitab syarah sahih al-Bukhari) ‘Amr Bin Maimun r.h berkata:  Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling cepat (ketika) berbuka puasa dan yang paling lewat (ketika) bersahur.Dari Abi ‘Atiyyah katanya: Aku dan Masruq telah bertemu Ummu al-Mu’minin r.anha dan kami berkata kepadanya: “Dua orang lelaki dari sahabat Muhammad s.a.w, salah seorang darinya mempercepatkan berbuka dan mempercepatkan solat, manakala seorang lagi melewatkan berbuka dan melewatkan bersolat...” Ummu al-Mu’minin berkata: “Siapakah diantara mereka berdua yang mempercepatkan berbuka dan menyegerakan bersolat?” Kami berkata: “Abullah iaitu Ibn Mas’ud.” Kata (Ummu al-Mu’minin): “Perbuatan (menyegerakan berbuka) Itulah yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w”.
Berbuka Dengan Beberapa Biji Kurma
Antara kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w adalah memulakan memakan beberapa biji kurma basah ketika berbuka puasa. Ini untuk memudahkan dirinya bersolat dalam keadaan tidak terlalu kenyang. Pernah diriwayatkan dari Anas Bin Malik, seperti yang dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi katanya: Rasulullah s.a.w apabila baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dgn kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air.Ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Ramai diantara kita yang sering meninggalkan sunnah ini. Mereka menyegerakan berbuka puasa serta makan dan minum sehingga kekenyangan lalu melewatkan bersolat maghrib. Rasulullah makan dengan beberapa biji kurma, kemudian bersolat. Apabila Rasulullah s.a.w terasa lapar, Rasulullah s.a.w makan selepas baginda solat.
Tidur Qailulah
Nabi s.a.w mengajarkan kepada kita agar sentiasa cergas ketika berpuasa di siang hari dan bersemangat melakukan amal ibadat di malamnya. Antara kaedah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah dengan tidur sebentar sebelum solat zohor, perbuatan itu dinamakan dengan Qailulah. Ini untuk memudahkan kita bangun di waktu malam mengerjakan amal ibadat. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadith yang dilaporkan oleh Ibn Majah: Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda; Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari dan melalui Qailulah (tidur sekejap sebelum Zohor) untuk mendirikan ibadah malam. Apa yang terjadi hari ini pada sesetengah masyarakat kita, mereka tidak menerapkan sunnah ini bahkan perbuatan mereka menyalahi sunnah ini. Mereka terutama anak-anak muda menghabiskan waktu siangnya dengan tidur sepanjang hari dan hanya bangun untuk berbuka puasa sahaja. Berpuasa bukanlah bulan tidur kerana keletihan. Puasa adalah bulan untuk melakukan seberapa banyak amalan sunnah kerana padanya pahala dilipatgandakan.
Menjaga Lidah
Terlalu rugi jika kita berpuasa, tetapi tidak mendapat sedikitpun pahala dari amalan tersebut. Akibatnya, kita hanya mendapat lapar dan dahaga. Antara faktor berlaku kerugian rohani tersebut adalah kerana tidak menjaga lidah. Mengumpat, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, mengadu domba, banyak bercakap, berbohong, menyanyi lagu-lagu yang lagha juga dilakukan ketika berpuasa. Umumnya perbuatan ini adalah perbuatan haram untuk dilakukan walaupun bukan pada bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sepotong hadith yang dilaporkan oleh Ahmad dan al-Tabarani:  Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah mengantuk (tiada pahala) Rasulullah s.a.w bersabda lagi dalam sebuah hadith yang dilaporkan oleh Imam al-Bukhari:Apabila seseorang daripada kamu berada dalam hari puasa, maka janganlah ia memaki dan mengherdik orang lain. Andainya ia dicela oleh seseorang atau dimusuhi, hendaklah ia berkata "Saya berpuasa".  Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi sepertimana yang dilaporkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibn Majah: Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda : Sesiapa yang tidak menghentikan percakapan dusta dan terus melakukannya, Maka Allah s.w.t tidak mempunyai hajat pada orang tersebut untuk dia meninggalkan makan minumnya.
Memberi Makan Orang Yang Berpuasa
Antara amalan dan tips yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk meningkat neraca kita adalah dengan cara menginfaqkan sedikit harta dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka-mereka yang berpuasa. Terlalu besar ganjarannya seperti yang diberitahu Rasulullah di dalam hadith-hadith baginda yang mulia. Antaranya ialah seperti yang dilaporkan oleh Tirmidzi dan Ibn Majah: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya. Bagi mereka yang dijemput untuk berbuka puasa bersama, wajib baginya untuk memenuhi undangan tersebut. Ini kerana, berpuatan membelakangi undangan tersebut dicela oleh Rasulullah dan ianya seoalah-olah telah menentang Rasulullah s.a.w. Adalah sunnah mereka yang dijemput untuk berbuka puasa mendoakan orang yang menjemput dengan doa-doa yang baik setelah selesai berbuka puasa. Antara doa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah seperti berikut: Ya Allah, berilah makan orang yang memberiku makan, dan berilah minum orang yang memberiku minum (riwayat Muslim).Ya Allah, Ampunkanlah mereka, rahmatilah mereka dan berkatilah apa yang telah kau rezekikan kepada mereka(riwayat Muslim).
Doa Ketika Berbuka Puasa
Nabi s.a.w memberitahu kepada kita bahawa berdoa ketika berbuka puasa adalah mustajab berdasarkan hadith-hadith sahih yang warid dari baginda s.a.w. Kita disyorkan untuk berdoa apa sahaja yang kita ingini ketika menunggu waktu tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda seperti yang dilaporkan Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibn Hibban: Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Pemimpin yang adil, Orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa mereka yang dizalimi... Rasulullah s.a.w juga mengajarkan cara berdoa ketika berbuka puasa. Berikut adalah doa yang baik untuk dibacakan oleh kita sebagai memenuhi tuntutan ittiba’ al-Sunnah. Imam al-Darulqutni menilai sanad hadith ini sebagai hasan. Doa tersebut adalah: Telah hilang kehausan, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala-pahala insyaAllah.Marilah sama-sama kita berpuasa sepertimana puasanya Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang mulia. Semoga puasa kita pada tahun ini mampu mengubah dimensi hidup kita yang bercerminkan sunnah Rasulullah dalam beribadat. Perbanyakkanlah membaca al-Quran dan berzikir, nasihat menasihati serta berdakwah kepada Islam. Jadikan ramadhan kali ini penuh makna untuk diri kita dan masyarakat. Wallahu A’lam. - Sumber : zharifalimin blog
Ramadhan: meletakkan Islam dan perintah Allah mengatasi segala kepentingan
Posted on Sunday, July 31 @ 09:06:39 PDT Buletin Online
Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh umat Islam. Bulan kita dijemput menjadi tetamu Allah SWT, menyahut seruan Allah SWT dengan firmanNya yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa. Sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu di kalangan mengikut Nabi-nabi di zaman dahulu, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah Ta’ala”.
Di bulan yang mulia ini, kita dihidangkan oleh Allah SWT dengan rezeki makanan rohani dan jasmani, yang menyuburkan kehidupan kita di alam dunia dan menuju ke alam akhirat. Kita dihidangkan bukan sahaja dengan amalan puasa yang diwajibkan. Pahalanya, berlipat kali ganda tidak terhingga hanya diketahui oleh Allah SWT. Diampunkan dosa dalam masa setahun sekiranya kita menunaikan puasa dengan sempurna mengikut syarat rukun dan adap-adapnya.  Dihidangkan dengan ibadah-ibadah wajib yang telah sedia ada seperti sembahyang lima waktu dilipat-gandakan pahalanya. Disamping ibadat-ibadat yang sunat yang biasa dilakukan dan ibadat sunat yang dikhususkan di bulan Ramadan seperti sembahynag terawih, bertadarus al-Quran. Semua ibadah-ibadah ini ialah untuk membersihkan roh dan menguatkan rohani kita.  Kita dihidangkan juga dengan makanan-makanan jasmani seperti bersahur, berbuka puasa. Di mana makanan sahur dan buka puasa adalah makanan yang dikaitkan dengan puasa. Bukan sebarangan seperti makanan-makanan lain. Ianya, mengandungi keberkatan yang tersendiri.  Inilah ibadat yang merupakan hadiah yang sangat berharga daripada Allah SWT yang wajib kita terimanya. Di mana pulangannya, kembali kepada kita. Allah Ta’ala tidak berhajat kepada apa-apa faedah. Itu ialah sumbangan percuma yang mahal harganya daripada Allah SWT.  Kita hendaklah mengambil kesempatan ini dengan sepenuh-penuhnya. Kemuncak daripada ibadat yang kita tunaikan sepanjang sebulan. Sekiranya dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Maka, kita mencapai matlamat dan tujuan yang dinyatakan oleh Allah SWT.  Sifat “taqwa”, kepatuhan kepada Allah SWT sehingga menjadi sifat yang tertanam di dalam hati yang membentuk peribadi kita. Mengerjakan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang merupakan penentuan, martabat, harga diri manusia. Kerana Allah SWT meletakkan harga diri manusia bukan dengan keturunan, warna kulit, harta benda tetapi dengan ukuran ketaqwaan kepada Allah SWT.  Firman Allah yang bermaksud; “Wahai manusia, sesungguh kami telah mencipta kamu kepada seorang lelaki dan seorang perempuan. Berbangsa-bangsa, bersuku kaum supaya kamu berkenalan antara satu sama lain. Dan yang paling baik di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling banyak bertaqwanya kepada Allah SWT”. Ibadat puasa meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Apabila kita sanggup meninggalkan perkara-perkara yang dilarang walau pun perkara yang dihalalkan di masa yang lain. Sudah tentu melatih diri kita untuk meninggalkan perkara yang dilarang sepanjang hidup kita.
Sekiranya kita bersedia meninggalkan makan minum, meninggalkan hubungan antara lelaki dan perempuan atau suami dan isteri. Yang diizinkan oleh Allah SWT dibulan Ramadan, yang menjadi keperluan naluri manusia rukun hidup. Kita sanggup melaksanakan perintah Allah SWT dengan penuh kesabaran, dengan penuh keimanan. Percaya kepada janji Allah SWT. Maka, melatih diri kita menjadi seorang yang sungguh bertaqwa kepada Allah SWT. Ini merupakan suatu natijah yang sangat penting daripada keimanan seseorang itu kepada Allah SWT.   Di sinilah juga, Allah memilih dibulan yang mulia berlakunya peristiwa-peristiwa yang besar yang menguji umat Islam dalam menjalani kehidupan dunia sebelum bertemu dengan Allah SWT. Allah Ta’ala memilih dibulan ini diturunkan al-Quran Karim yang menjadi kitab petunjuk kepada umat Islam.
 Yang membeza antara perkara yang betul dan perkara yang salah.   “Bulan Ramadan yang diturunkan baginya al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia dan yang membezakan antara perkara yang betul dan perkara yang salah”. Oleh kerana berlakunya pertembungan di antara perkara yang benar dengan perkara yang salah. Maka, Allah Ta’ala memilih berlakunya perang Badar di bulan Ramadan. Peperangan yang memaksakan Nabi SAW dan para sahabatnya yang kecil jumlahnya, yang kurang kelengkapannya berdepan dengan musuh-musuh Islam. yang menegakkan kebatilan, kezaliman dan kejahatan.  Walau pun mereka tahu benarnya Islam. Baiknya diri  Nabi SAW, tidak ada kesalahan dan dosa yang dilakukan. Melainkan kerana melaksanakan perkara yang baik yang diperintah oleh Allah SWT. Perkara yang jahat, itu pun disanggah dan ditentang habis-habisan. Memaksakan berlakunya pertembungan secara bersenjata di bulan Ramadan. Yang menentang itu di kalangan bangsa Arab, keluarga Nabi SAW. Peristiwa yang sangat menguji perasaan hati nurani umat Islam yang dipimpin oleh Nabi SAW. Allah Ta’ala pilih peristiwa yang menyayat hati berlaku di bulan Ramadan. Mereka yang sanggup meletakkan Islam perintah Allah mengatasi segala kepentingan yang lain. Sanggup melakukan peristiwa Badar ini.  Maka Allah memberi keistimewaan kepada mereka yang terlibat dalam perang badar dengan firmanNya mengikut riwayat hadis Qudsi yang bermaksud, “Hai, ahli Badar buat apa yang kamu mahu lakukan. Aku ampunkan dosa-dosa kamu”. Keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada ahli Badar kerana mereka menjadi orang beriman sebenarnya. Yang sanggup sabar menghadapi ujian. Adalah menjadi suatu hikmat yang besar Allah pilih peristiwa ini berlaku di bulan Ramadan.  Marilah kita mengambil kesempatan ini bukan sahaja membentuk peribadi dengan mengerjakan ibadat yang diwajibkan dan disunatkan. Dalam masa yang sama kita membuka minda kita dengan mengkaji, mempelajari dan memahami kisah-kisah yang berlaku di bulan yang mulia ini. Supaya kita meninggalkan bulan yang mulia ini dengan keadaan menjadi orang Islam dan orang yang beriman yang sebenarnya dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.  Sekian, selamat berpuasa.  Dato’ Seri Abdul Hadi Awang  Presiden PAS

No comments: