30 June 2010

Bantulah Perjuangan Al Quran

Maaf, Sheikh Sambal dah lama tak update blog...tiada alasan cuma cuti panjang, merehatkan minda dan jiwa.

Pagi tadi SS terima email dari seorang sahabat yang memperjuangkan ma'ahad tahfiz. Usaha murninya sekarang agak terkesan oleh keadaan ekonomi semasa. Walaupun beliau bertekad untuk tidak manikkan yuran, masih ramai juga pelajar-pelajar terpaksa berhenti dan masuk ke sekolah biasa kerana ibu-bapa tidak mampu lagi. Jumlah pelajar yang sudah lama tidak membayar yuran juga agak tinggi tetapi masih bertahan belajar. Dalam email tersebut, beliau meluahkan rasa kesal kepada orang yang hanya pandai mengkritik dari belakang tetapi tidak mahu tampil membantu. Usaha yang murni dengan niat yang baik tidak patut diumpat, dikeji atau di'surat layangkan'.

Diharap sahabat-sahabat pembaca dan pengunjung sekelian dapat membantu usaha beliau walaupun dengan secebis doa. Untuk maklumat lanjut sila baca petikan email beliau dan kunjungilah laman sesawang madrasah beliau seperti yang tertera di bawah.

Sheikh Sambal.

>>>>>>>>>>>>>...<<<<<<<<<<<<<<<<<<<

Assalamu'alaikum, semoga berada di dalam maghfirah dan rahmat ALLAH azza wa jalla. Di harap dapat mewar-warkan perkara berikut untuk meneyedarkan umat Islam di negara kita.

Keadaan ekonomi yang tidak menentu serta kenaikan harga barang bukan sahaja menjejaskan orang berniaga dan bekerja tetapi juga maahad-maahad tahfiz. Banyak maahad tahfiz yang terpaksa menaikkan yuran. Sebenarnya tindakan ini bukan satu penyelesaian sebab kesannya menyebabkan ramai pelajar yang terpaksa berhenti dari pengajian al-Quran mereka dan memasuki sekolah-sekolah biasa.

Madrasah Qasimul Ulum (MQU) juga tidak ketinggalan dari berhadapan dengan kesan dari gelombang ekonomi yang di hadapi sekarang namun kami bertegas untuk tidak menaikkan yuran. Walaupun didalam keadaan yuran kami yang merupakan di antara yang terendah di negeri Selangor (Rm160), hampir 40% pelajar-pelajar kami tidak dapat membayar yuran dengan konsisten atau tidak membayar yuran langsung. Kesan dari kekurangan dana yang paling ketara ialah- mengekalkan guru khususnya para guru yang berkualiti.

Ramai dari kalangan masyarakat yang tidak menyedari betapa sukar mentadbirkan sebuah maahad tahfiz di Malaysia, berbeza dengan di negara-negara lain. Jumlah maahad tahfiz yang tutup setiap bulan sama banyaknya dengan yang baru di buka. Masyarakat hanya melihat secara luaran dan mencemuh perkara-perkara yang sengaja dibesar-besarkan yang dikatakan banyak berlaku di maahad-maahad tahfiz seperti pelajar di dera, guru banyak berhenti, pelajar terlibat dengan masalah sosial dsb tetapi tidak ramai yang tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan wang dan tenaga kepakaran untuk memperbaiki keadaan.

Saya sendiri secara peribadi telah banyak berhadapan dengan pelbagai ujian semenjak mengasaskan MQU hampir 8 tahun lalu. Yang paling terbaru, semalam saya menerima sms layang secara bertalu-talu dari seseorang yang tidak dikenali yang melemparkan tohmahan kepada madrasah dan diri saya secara peribadi (mengatakan saya takbur, sakit jiwa dan tidak ada kelayakan untuk mentadbir dsb). Terdapat pelbagai sebab mengapa dia menghantar sms ini tetapi itu bukan isu yang ingin saya ketengahkan, isunya ialah orang kita lebih gemar mengkritik malahan mereka yang sebenarnya ada "masalah jiwa" sampai ke tahap kondem usaha-usaha yang baik (walaupun terdapat banyak kelemahan di dalam perlaksanaannya) dari membantu secara positif. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan di atas maahad tahfiz. Pengerusi PIBG-MQU baru-baru in berseloroh, MQU sebuah sekolah yang banyak keberkatan, para graduan yang lama menganggur -datang merayu untuk kerja mengajar dan tidak sampai setahun berkhidmat dengan MQU, nilai diri bertambah dengan pengalaman yang diperolehi lalu di tawarkan kerja di tempat lain yang menjanjikan insentif dan masa depan yang lebih baik (lalu cabut lari!). Sudahlah kita kehilangan guru, ada pula orang yang berhati busuk memberi komen terdapat masalah pentadbiran atau pentadbirnya tidak layak untuk menguruskan maahad tahfiz dsb. Para peniaga juga tidak kurang yang datang untuk menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan dengan mulut manis mengatakan hendak membantu maahad tahfiz tetapi akhirnya kami dapati mengenakan bayaran yang lebih tinggi dari pasaran atau memberi produk yang tidak berkualiti.

Alhamdulillah setakat ini saya masih belum sampai ke tahap putus asa malahan semua halangan-halangan ini menjadikan saya lebih bersemangat dan tabah untuk meneruskan perjuangan. Maka dengan itu, saya ingin mengajak, semua sahabat dan umat Islam di Malaysia supaya tampil kehadapan dan berikan bantuan anda kepada para pendokong yang memperjuangkan al-Quran. Bantuan ini hendaklah secara berterusan dan tidak sekadar menunggu rezeki lebih untuk datang dari khazanah ALLAH. Sepatutnya kita mengurangkan perbelanjaan bulanan untuk diri dan keluarga kita dan bangun untuk membantu agama yang telah ALLAH amanahkan di atas bahu kita, kerana inilah contoh tauladan yang para sahabat radiALLAHu ajma'in telah tunjukkan kepada kita. Kalau tidak mampu untuk memberi bantuan samada bantuan fizikal atau spiritual, maka adalah lebih baik jangan jadi seperti golongan munafiq yang kita tahu cerita mereka dari seerah Rasulullah. Semoga ALLAH subhabahu wa ta'ala memberi taufiq kepada kita semua.



Abu Muhammad.
Pengetua Madrasah (Tahfiz) Qasimul Ulum
http://qasimululum.blogspot.com/

.

No comments: